Selepas kerjayaan filem Black Panther dan Avengers Infinity Wars yang mendapat sambutan hangat tahun ini, Marvel Studios mengumumkan mahu memperkenalkan beberapa adiwira terbaru selepas filem Avengers 4 yang bakal ditayangkan tahun hadapan.

Hal ini telah disahkan oleh Ketua Pembangunan Kreatif Stephen Wacker, “Kami ingin menghasilkan banyak adiwira selepas ini. Antara filem adiwira yang kami ingin hasilkan ialah adiwira yang berasal dari India, kerana kami ingin memperkenalkan budaya dari negara tersebut ke seluruh dunia.”

Ketika ditanya siapa pelakon yang paling sesuai untuk memegang watak ini, Wacker menambah beliau pastinya akan mencari pelakon legenda Bollywood, Shah Rukh Khan. “Jika kami mahu buat perkara ini, kami perlu ambil Shah Rukh Khan. Beliau perlu ada dalam filem ini,” katanya.

Shah Rukh Khan akan berusia 52 tahun pada tahun ini. Jika benar Marvel mahu melakukan sesuatu seperti Black Panther, mungkin seorang yang lebih muda adalah lebih ideal untuk memegang watak ini. Bagi kami, pelakon yang lebih sesuai adalah Hrithik Roshan atau John Abraham yang kini berusia 40an.

Robert Downey Jr sendiri memegang watak Iron Man buat pertama ketika beliau berusia 40an. Tetapi tidak mustahil untuk menjadikan Shah Rukh Khan sebagai hero kerana beliau pernah muncul sebagai adiwira untuk filem Ra.One. Jadi pada pandangan anda, siapa yang lebih sesuai untuk memegang watak superhero Marvel India pertama?