Sebenarnya sudah lama saya ingin kongsikan kisah ini.

Walking
HYPE
‘Pembunuh’ Yang Datang Tanpa Diundang, Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Kanser
Baca lagi →

Namun, proses untuk terjemahan daripada Bahasa Jepun ke Bahasa Malaysia serta mendapatkan maklumat yang benar-benar sahih menyebabkan cerita ini hampir-hampir terkubur.

Terasa rugi jika tidak dikongsikan, lebih-lebih lagi apabila teringat detik-detik semasa saya bertanyakan beberapa soalan kepada Shiobara-san.

Disebabkan halangan bahasa, ramai juga yang datang membantu untuk terjemahkan soalan-soalan saya kepada Bahasa Jepun.

Saat manis itu jugalah yang menjadi kekuatan buat saya akhiri catatan ini.

Masih juga teringat, ada kala penterjemah pun sukar mencari perkataan yang paling sesuai untuk soalan-soalan yang saya ajukan.

Barangkali perbezaan dunia pengajian menjadikan ada istilah bisnes sukar diterjemah oleh adik-adik yang rata-ratanya daripada pengajian kejuruteraan.

Sungguh terasa ‘sayang seribu kali sayang’ jika tidak diteruskan menulis kisah ini.

Saya yakin ada pengajaran yang boleh diambil daripada kisah jatuh bangun bisnes pemilik kedai makan Naritaya ini yang menawarkan menu masakan tradisional Jepun 100% halal.

Beliau kini memiliki 10 buah kedai makan di seluruh Jepun. Hanya kedai atas jenama Naritaya sahaja yang masih dikekalkan 100% halal.

Buat masa ini, terdapat 3 buah kedai Naritaya di Jepun iaitu di Asakusa (Tokyo), Sendai dan Kyoto serta satu cawangan Naritaya (luar negara) di Danga City Mall, Johor Baharu. Dimaklumkan Naritaya kini dalam proses untuk membina jenama di Pakistan.

Antara menu yang menjadi pilihan adalah ramen (mee sup), gyudon (lidah lembu), karaage (ayam goreng bertepung) dan banyak lagi menu ala Jepun yang 100% halal.

Umumnya, seakan-akan sudah menjadi ‘trend’ kedai-kedai makan atau restoran di Jepun yang menggelarkan mereka sebagai kedai halal.

Namun, ia tidak semestinya 100% halal kerana masih menjual arak atau minuman beralkohol. Saya sendiri pernah ke restoran terkenal di Tokyo yang turut mendapat pengiktirafan sebuah institusi halal.

Tetapi, penjualan arak atau minuman beralkohol dilihat seakan tidak dapat dipisahkan.

Setakat hari ini, Naritaya satu-satunya kedai makan milik nihonjin (orang Jepun) di Sendai yang mengambil risiko dengan tidak menjual langsung minuman beralkohol.

Kali terakhir saya bertemu dengan pemilik kedai Naritaya ini iaitu Shiobara-san sewaktu warga Malaysia di Sendai mengadakan sambutan Aidilfitri.

Sambutan pada waktu itu dirasakan lebih meriah berbanding tahun sebelumnya. Maklumlah warga ‘family’ Malaysia yang menetap di sini bertambah ramai. Sudah tentulah bukan sahaja anak-anak yang menggamatkan suasana, malah juadah dan menu yang disajikan juga lebih meriah.

Berdasarkan perkongsian bersama Shiobara-san, kewujudan Naritaya di sini rupa-rupanya hasil hubungan Malaysia dan Jepun yang sudah lama terjalin.

Menurut Shiobara-san, pada tahun 2005 beliau mengenali seorang warga Malaysia yang membuka kedai makan di Tokyo.

Sikap peramah dan mudah mesra Saudara Mohd Asri (Chef Asri) yang membina jenama ‘Pokok Pisang’ telah memberikan kefahaman kepada Shiobara-san perihal halal dan haram dalam makanan muslim.

Bukan itu sahaja, detik pertemuan ini jugalah yang menjadikan Shiobara-san mulai ‘jatuh cinta’ dengan agama Islam.

Kisah yang disampaikan Shiobara-san ini secara tidak langsung mengingatkan saya akan hubungan Jepun dengan Malaysia yang telah lama terjalin semenjak tahun 1982.

Kini, sudah melebihi 3 dekad atau 34 tahun hubungan 2 negara ini terjalin apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad melancarkan ‘Dasar Pandang Ke Timur’.

Semenjak itulah ramai warga Malaysia yang bukan sahaja ‘memandang’, malah datang ke sini dan akhirnya ‘jatuh hati’ serta ingin terus menetap di Nihon.

Banyak yang dikongsikan oleh Shiobara-san. Orangnya tidak lokek untuk berkongsikan pengalaman dan nasihat buat mereka yang berminat untuk berbisnes khususnya kedai makan seperti beliau.

Secara ringkas, terdapat 5 cabaran yang dihadapi Shiobara-san apabila membuka kedai makan 100% halal.

Beliau juga memberikan 5 nasihat buat mereka yang ingin berbisnes.

Antara 5 Cabaran Mengusahakan Perniagaan Ramen Halal:

1. 100% Halal

ramen-02

Apabila Naritaya membawa pendekatan 100% halal, kesukaran yang mereka hadapi adalah untuk memberikan kefahaman tentang makna sebenar halal kepada para pelanggan.

Menurut Shiobara-san, istilah halal masih tidak difahami oleh kebanyakan orang Jepun.

Pada peringkat awal beliau sendiri dan pekerjanya sukar menjelaskan perihal halal yang sebenar khususnya kepada para pelanggan bukan Muslim.

Sebagai contoh, jika dikatakan halal itu ‘bersih’ maka seakan menyatakan daging-daging yang digunakan selain daging halal tidak bersih.

Ini barangkali akan memberikan tanggapan dan kefahaman yang salah kepada orang Jepun itu sendiri.

Selain itu, beliau turut menghadapi kesukaran apabila orang Islam sendiri yang bertanyakan pelbagai soalan terutama berkaitan sumber bahan mentah yang diperolehi.

Malah, terdapat juga soalan-soalan berkaitan cara sembelihan, badan atau institusi yang mengiktiraf dan memantau perjalanan Naritaya.

Ini secara tidak langsung menjadikan peringkat awal penubuhan bisnes Naritaya yang berusaha 100% halal seakan sukar direalisasikan kata Shiobara-san.

Sehinggakan, beliau sendiri terpaksa ‘gulung tikar’ kedai makan sebelum ini kerana mehnah dan tribulasi yang dihadapi.

Kini, bahan mentah Naritaya khususnya daging dikawal selia dan mendapat pengiktirafan halal daripada ‘The Federation of Islamic Association of New Zealand (Inc.).

2. Kurang untung

ramen-09

Menurut Shiobara-san, kedai-kedai beliau atas nama Naritaya yang 100% halal ini mendapat keuntungan yang agak sedikit berbanding kedai-kedai lain.

Antara faktornya adalah kerana tidak menjual arak atau minuman beralkohol. Menurut beliau, jualan arak berupaya menarik lebih ramai pelanggan bukan muslim, bahkan margin keuntungan jualan arak agak tinggi.

Selain itu, kos untuk mendapatkan bahan mentah halal juga agak mahal kerana penawaran yang rendah di Jepun kesan daripada kekurangan pengeluar dan pembekal bahan mentah halal di sini.

Meskipun demikian, beliau perlu memastikan harga makanan yang ditawarkan adalah berpatutan dan tidak terlalu tinggi.

Lebih-lebih lagi kebanyakan para pelanggannya terdiri daripada para pelajar dan pelancong.

Keadaan ini secara tidak langsung memberi kesan dan menjejaskan keuntungan bisnes Naritaya.

3. Imej Islam

ramen-03

Oleh kerana ‘Halal’ dikaitkan dengan Islam, ada kala bisnes beliau juga terpalit dengan imej Islam yang telah dicemari.

Lebih-lebih lagi apabila masih ramai lagi orang Jepun yang seakan dimomokkan dengan propaganda media barat.

Ini secara tidak langsung turut memberi kesan terhadap bisnes beliau.

4. Rakan kongsi

ramen-04

Menurut Shiobara-san, rakan berbisnes atau rakan kongsi juga dilihat penting untuk menyebarluaskan bisnes.

Oleh itu, antara cabaran lain yang beliau hadapi adalah untuk mencari rakan berbisnes yang sanggup susah dan senang bersama.

Bagi beliau bukan mudah berbisnes sendirian apatah lagi ingin mencari rakan berbisnes.

Kini beliau mempunyai 3 orang rakan berbisnes yang dianggap seakan sanggup ‘sehidup semati’ dalam perniagaan yang diusahakan.

5. Cipta menu baru

Cabaran lain yang dihadapi adalah apabila ingin mencipta menu-menu baru.

Menurut Shiobara-san, menu-menu baru perlu dicipta bagi menggekalkan para pelanggan sedia ada dan sebagai strategi menarik pelanggan baru.

Jika tidak, pelanggan akan bosan malah sehingga satu tahap boleh menyebabkan pelanggan beralih ke kedai lain.

Menu-menu ‘special’ ini turut penting sebagai strategi promosi.

Diakhir perkongsian, Shiobara-san turut berkongsikan 5 nasihat buat mereka yang berminat berbisnes khususnya perniagaan kedai makan seperti beliau.

Antara 5 Nasihat Bisnes Shiobara-san:

1. Berfikir penting, namun pelaksanaan lebih penting

ramen-05

Kata-kata Shiobara-san yang begitu menyentuh perasaan apabila beliau menyatakan:
“Berfikir penting, laksana lebih penting.”

Maksud beliau, tidak dinafikan penting untuk kita fikirkan strategi, cabaran dan ‘exit plan’ sebelum memulakan sesebuah perniagaan.

Namun, bertindak dan memulakan langkah itu lebih penting.

Jika terlalu banyak berfikir juga boleh menjadikan hasrat memulakan perniagaan sama ada terlalu lama untuk direalisasikan atau langsung terkubur hasrat tersebut.

Atas sebab itu, memulakan langkah atau perjalanan lebih penting daripada terlalu memikirkan strategi perjalanan.

2. Rakan kongsi

ramen-06

Turut ditekankan sekali lagi pentingnya untuk mencari rakan kongsi dalam berbisnes.

Beliau tidak menafikan bahawa bisnes boleh bergerak tanpa rakan kongsi.

Namun, dengan memiliki rakan kongsi atau rakan berbisnes, perniagaan akan dapat berkembang dengan lebih cepat.

Malah, banyak kelebihan berbanding keburukan apabila memiliki rakan berbisnes.

3. Kepelbagaian bisnes

ramen-07

Beliau juga menyatakan bahawa penting juga memiliki kepelbagaian bisnes.

Sebagai contoh, pengalaman dan bisnes beliau dalam senihias dalaman dan landskap selama hampir 15 tahun telah memberikan kelebihan kepada bisnes beliau.

Ini kerana, kebanyakan proses restorasi dan hiasan dalaman kedai dibuat sendiri.

Dengan cara itu dapat menjimatkan banyak kos dalam membuka sesebuah kedai.

Ini secara tidak langsung turut mempromosikan bisnes senihias dan landskap beliau.

4. Gunakan laman sosial sebaiknya

ramen-08

Beliau turut menasihatkan agar generasi muda sekarang menggunakan laman sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan pelbagai lagi dengan sebaiknya.

Beliau melihat pentingnya laman sosial dalam menjadi medium promosi secara percuma.

Sebagai contoh, media sosial seperti Facebook dilihat yang sangat baik dalam memperkenalkan jenama Naritaya.

Bukan itu sahaja, malah mereka boleh mendapatkan maklum-balas daripada para pelanggan secara terus.

Namun, beliau melihat laman sosial bersesuaian untuk para pelanggan jarak jauh.

Untuk para pelanggan yang dekat, ziarah-menziarahi dan bersua muka itu dilihat sangat penting untuk kelangsungan berbisnes.

Kata Shiobara-san, bersua muka lebih mengeratkan hubungan dan dirasakan lebih mesra.

5. Kanji Jepun 運動 (Undou)

Akhir kata, beliau juga berkongsikan berkaitan kanji Jepun iaitu 運動 ‘undou’. Dalam bahasa Jepun, kanji 運動 ‘undou’ membawa makna ‘bergerak’.

Menurut beliau, hanya orang yang bergerak adalah mereka yang bertuah.

Shiobara-san melihat kanji 運動 ‘undou’ daripada sudut pandangan yang berbeza. Kata beliau, “orang yang bertuah dan berjaya adalah mereka yang bergerak atau memulakan langkah.”

Ini juga memberikan makna yang berbeza iaitu orang yang selesa dan tidak mahu berganjak dalam ‘zon selesa’ tidak akan kemana-mana.

Beliau juga berkata, “orang yang terlalu banyak berfikir untuk memulakan langkah berbisnes berkemungkinan lambat bergerak atau terpendam terus hasratnya.”

Shiobara-san juga melihat kanji 運動 ‘undou’ sebagai membawa maksud mengembara.

Bagi beliau, melalui mengembara akan meluaskan lagi pandangan dan juga jaringan hubungan seseorang.

Oleh itu, untuk kita berjaya dalam kehidupan dicadangkan untuk kita terus bergerak dan usah kekal di ‘zon selesa’ atau di sesuatu tempat.

Diingatkan sekali lagi, “berfikir itu penting, namun bergerak (bertindak) dilihat lebih penting”, kata Shiobara-san diakhir perbualan saya bersama beliau.

Sekadar perkongsian dari kejauhan.

Sayonara! Sampai jumpa lagi.

Artikel di atas disumbangkan oleh Isma Addi Jumbri. Pelajar PhD, Pensyarah. Boleh ikuti beliau di sini.

BACAAN SETERUSNYA

© 2018 Vocket Media Sdn Bhd (1173405-W), a part of Media Prima Group