Kejadian ini berlaku semasa saya masih belajar di Universiti Sains Malaysia. Saya masih ingat ketika itu saya berada di tahun 4 pengajian, dan apa hobi saya setiap malam minggu? Pergi ke Jabatan Kecemasan HUSM, kerana di sana, tidak kira anda pelajar perubatan mahupun kejururawatan atau pelajar pembantu perubatan, kerja pasti ada.

Pesakit yang memerlukan POP cast kerana patah tangan, pesakit yang perlu diambil darah, pesakit yang memerlukan IV drip, pesakit yang memerlukan dressing. You name it, they have it. Emergency, mana pernah free.

Ceritanya bermula apabila seorang pesakit, Pakcik Isa yang dihantar oleh keluarganya dan dia di triage ke zon merah, iaitu zon kritikal. Lelaki berumur 68 tahun itu kurus badannya, daripada luaran sahaja sudah nampak tulang rusuknya yang bergerak mengikut alunan pernafasannya. Rambutnya putih, berjanggut tetapi tiada misai, dan berkopiah.

Sebab dia dihantar ke wad kecemasan adalah kerana dia hampir pengsan di rumah. Dia mempunyai penyakit darah tinggi, dan masih merupakan perokok aktif.

Secara jujurnya, sewaktu menjadi pelajar perubatan, kebanyakan daripada kami nak tahu cerita tentang pesakit atas dasar ingin belajar semata-mata, tiada langsung rasa untuk menyelamatkan nyawa pesakit. Segalanya dilakukan atas sebab ingin belajar, mendapatkan ilmu sebanyak mungkin, itu sahaja.

Perokok atau tidak, jumlah pendapatan isi rumah berapa ringgit, anak berapa orang, semuanya ditanya. Maklumlah ketika itu pengalaman masih lagi tiada, jadi kadang-kadang tidak tahu mana yang penting dan mana yang tidak penting.

Naluri seseorang pelajar perubatan untuk menyelamatkan nyawa hanya akan ada ketika dia mula bekerja sebagai doktor kelak. Memang itu adalah hakikatnya. Itupun jika mereka bekerja dengan ikhlas, tanpa mengira masa dan wang ringgit.

Balik ke cerita asal, pesakit tersebut di-triage-ke zon merah kerana hampir pengsan, dan tekanan darahnya yang rendah, iaitu 90/60mmHg sahaja serta kadar denyutan nadinya yang laju.

Saya segera memasukkan branula hijau di kedua-dua tangan Pakcik Isa, salah satu segera dimasukkan normal saline (air garam) oleh jururawat di situ, dan sebelah lagi jarum bakal digunakan untuk memasukkan ubat-ubatan.

Sekali cucuk sahaja dah masuk, maklumlah pesakit lelaki, kurus, uratnya besar. Bak kata orang, kalau gagal nak masukkan branula untuk pesakit macam tu, pergilah tukar power cermin mata tu.

Yelah, pesakit yang masuk ke hospital pastilah ingin sembuh daripada penyakit, ini pula kita dok cucuk beberapa kali, tak ke kesian tengok mereka.

Keadaan Pakcik Isa sangat tenang, dan atmosfera di situ sungguh aman sehinggalah Pakcik Isa tiba-tiba bangun membongkok di atas katil serta memuntahkan darah. Sangat banyak jumlahnya.

Saya segera memberinya plastik kuning untuk muntah, keadaan yang aman damai jadi kelam kabut. Pegawai perubatan (doktor) kecemasan datang, ubat menghentikan darah terus diberi.

House officer di situ terus menghubungi bank darah, 4 pint diminta. Normal saline dialirkan sepantas mungkin, dan jarum kedua turut dimasukkan normal saline. Hal ini adalah bagi menstabilkan tekanan darahnya.

Darah yang keluar bukanlah darah lama, atau bukanlah coffee-ground vomitus (iaitu darah yang sebahagiannya sudah membeku), sebaliknya frank blood, darah merah yang dimuntahkannya membasahi katil dan lantai wad kecemasan.

Pakar Jabatan Kecemasan terus ke Pakcik Isa, pendarahan ulser peptik (bleeding peptic ulcer) menjadi diagnosis yang mungkin. Pakcik Isa diimbas di bahagian abdomen untuk menyisihkan (exclude) diagnosis lain, akan tetapi, benda yang ditakuti menjadi kenyataan.

Pakcik Isa mempunyai pendarahan triple A. AAA atau abdominal aortic aneurysm adalah penyakit dimana ada pembengkakkan di bahagian abdominal aorta, iaitu salur darah utama yang terletak di bahagian abdomen kita. Antara risikonya adalah merokok, dan juga darah tinggi.

Pembengkakkan salur darah ini menjadikan dindingnya lemah, dan pendarahan amat mudah berlaku di dinding yang bengkak. Oleh kerana ianya salur darah utama, pendarahan di situ mempunyai kadar kematian yang tersangat tinggi.

Pakar bedah dihubungi, Pakcik Isa masih sedar walaupun selepas muntah darah yang agak banyak. Dia hanya baring telentang sahaja, bernafas laju, dan setakat ini, tekanan darahnya masih stabil dengan normal saline.

Pakcik Isa tidak pernah ke hospital sebelum ini, dia hanya mengetahui dia mempunyai sakit darah tinggi pun kerana dia pernah periksa di klinik sebelum ini. Tidak pernah makan apa-apa ubat-ubatan langsung. Saya khuatir, bimbang inilah kali pertama dan kali terakhir dia ke hospital.

Perbincangan hangat berlaku antara pakar bedah dan pakar kecemasan. Peluang untuk selamat menjalani pembedahan adalah 10%, anak-anak Pakcik Isa dipanggil, untuk berbincang mengenai bapa mereka.

Anak-anaknya membuat keputusan untuk tidak membedah kerana risiko yang sangat tinggi, bak kata orang, bedah mati, tak bedah pun mati. Anak-anaknya mahukan bapanya pergi dengan tenang.

Pendarahan itu masih aktif, dalam erti kata lain, jika tidak dibedah, dia akan mati malam itu juga. Dan jika dibedah, 9 daripada 10 peluang dia akan mati di meja pembedahan.

Pakcik Isa muntah lagi, darah merah membasahi bajunya, lencun, serta sehingga menitik-nitik di atas lantai kecemasan. Tisu saya hulurkan, namun tidak cukup, saya segera ke sinki di Zon Kuning untuk mengambil lebih banyak tisu.

Saya urut-urut belakang Pakcik Isa, dia muntah lagi. White coat saya yang tadi putih, kini menjadi warna jersi pasukan Manchester United. Namun saya tidak kisah, walaupun sepatutnya saya perlu menjauhi darah pesakit yang mungkin membawa pelbagai kuman serta virus.

Pakcik Isa semakin restless, resah dan gelisah. Saya ke tepi untuk memberi laluan anak-anak dan cucu Pakcik Isa. Pakcik Isa yang tadinya berbaring kini duduk di atas katilnya, nafasnya semakin laju, namun masih berbicara seperti orang biasa.

Dia minta saya air kosong, segera saya mengambilkannya. Sambil saya hulurkan gelas kepadanya, sempat lagi dia minta maaf kerana muntah di kot putih saya. Saya melihat dalam-dalam matanya

Hanya Allah yang tahu perasaanya. Perasaan bahawa nyawa akan diambil dalam masa beberapa jam lagi, atau mungkin beberapa minit lagi.

Saya lihat sahaja muka Pakcik Isa, dalam hati saya, bukannya perasaan sedih, sebaliknya perasaan takut.

Takut yang amat sangat membayangkan sekiranya diri ini berada di tempatnya, membayangkan alam barzakh, alam kubur, perasaan ditarik nyawa oleh malaikat, membayangkan anak-anak bakal ditinggalkan.

Takut. Seksa sakaratulmaut, seksa kubur. Takut, amalan di dunia yang sedikit, sembahyang yang tidak cukup, puasa yang belum diganti, dosa sesama manusia. Ya Allah, takutnya hati ini.

Muka saya jadi pucat, jantung jadi sebegitu laju melihat kejadian tersebut. Ya, malah semasa saya menulis ini, saya masih merasakan benda yang sama.

Pakcik Isa duduk di atas katil, berbual-bual dengan anak-anaknya di akhir hayat, memberikan kata-kata akhir, wasiat dan apa yang terbuku di dalam hatinya.

Saya menyapa anaknya yang menangis, supaya tidak menunjukkan kesedihan kepada bapanya. Selawat dan istighfar, serta doa dan ungkapan 2 kalimah syahadah, itu sahaja yang boleh dibuat waktu itu

9.42 malam, Pakcik Isa tercungap-cungap. Oksigen diberikan, dia mula tidak sedar. Tidak berbicara.

Nafasnya semakin dalam, tetapi pendek, ibarat kelemasan. Mulutnya dibasahi darah, mukanya pucat, urat di dahinya timbul. Matanya terpandang ke atas.

Saya jadi takut, namun saya beranikan juga untuk melihat.

Tekanan darahnya 40/20 mmHg, denyutan nadinya mula perlahan. Satu denyutan dalam masa beberapa saat.

Mengikut sains, pancaindera yang pertama akan hilang adalah penglihatan, dan terakhir adalah pendengaran. Bacaan Yassin berterusan dibacakan warisnya.

Tiba –tiba mukanya berkerut, macam sakit yang amat sangat. 2, 3, 7 saat, segala-galanya terhenti.

Jantungnya berhenti berdegup, tiada lagi pernafasan. 0, semuanya kosong, tekanan darah 0, kadar nadi 0, anak matanya mengembang.

Dia diisytihar meninggal dunia jam 9.50 malam. Putus segala hubungan dengan dunia. Putus segala amal kebaikan didunia kecuali 3 perkara.

Tiada siapa yang tahu apa yang dirasainya, pendek kata, siapalah saya nak judge sama ada dia meninggal dengan cara elok atau tidak.

Itu adalah pengalaman saya kali pertama melihat bagaimana seorang manusia, yang daripada sihat dan normal, sehingga ditarik nyawanya. Takut, sangat menakutkan.

Juga memikirkan, seperti Pakcik Isa pada hari kematiannya, cuba anda bayangkan. Bangun pagi seperti biasa, tiba-tiba petang anda hampir pengsan, senja anda di hospital dan malam anda meninggal dunia.

Ya Allah, betapa tidak bersedianya, betapa tidak bersedianya hambamu ini untuk menghadapi kematian. Al Fatihah kepada pesakit tersebut, semoga rohya diletakkan di tempat orang yang beriman. Amin.

BACA: ‘Night Round’ Malaikat Maut, Pengalaman Aku Saksikan 4 Kematian Berturut Dalam Satu Malam