Baru-baru ini, tular di media sosial satu keratan akhbar dari Berita Harian yang bertajuk “Industri batik tempatan ‘dibunuh'”. Laporan yang ditulis oleh Halina Mohd Noor, Nor Hatina Shuib dan Hanneeyzah Bariah Baharin pada 12 March 2019 itu kembali menjadi perdebatan buat netizen di laman Twitter.

Laporan itu menyebut bahawa industri batik tempatan telah dibunuh oleh rakyat Malaysia sendiri apabila kebanyakan anak muda lebih berminat untuk menggayakan batik Indonesia sehingga ia menjadi trend di majlis perkahwinan, acara formal dan santai.

Screenshot 2020-08-27 at 10.44.19 AM
Keratan akhbar Berita Harian.

Manakala Pengurus Besar Noor Arfa Holdings Sdn Bhd, Wan Mohd Hafiz Wan Mohd Ariffin, yang ditemuramah oleh Berita Harian tahun lalu menyatakan anak muda cenderung memilih batik Indonesia disebabkan harganya yang murah berbanding batik tempatan yang dijual pada harga yang mahal kerana dihasilkan 100% menggunakan tangan.

Mereka juga menambah bahawa golongan yang lebih berminat memakai batik Indonesia, “itu secara tidak langsung mempromosikan batik luar dan kurang pengetahuan mengenai rekaan, identiti dan asal-usul batik Malaysia,” kata laporan terbabit.

Reaksi netizen

Tidak pasti mengapa laporan tahun lalu kembali mendapat spotlight daripada netizen. Namun ia adalah isu yang baik untuk dibincangkan memandangkan batik juga adalah sebahagian daripada budaya Malaysia dan tidak dinafikan generasi muda sekarang lebih suka memakai batik Indonesia berbanding batik tempatan.

Seorang pengguna sosial media dengan nama Azielahaneem Idris telah tampil memberi reaksinya di laman Twitter. “Di mana silapnya? Industri atau rakyat?” Katanya sebelum menambah bahawa harga, rekaan dan material yang dibuat telah menjadi faktor kebanyakan daripada mereka memilih batik Indonesia.

Bagi Afiqto pula, dia lebih cenderung untuk memilih batik Indonesia disebabkan reka bentuk dan ukuran baju yang lebih menarik perhatiannya. Manakala Freaky Putra pula mencadangkan bahawa batik Malaysia sepatutnya mengikut peredaran zaman dan dijual pada harga yang murah.

Manakala bagi Bella pula, dia merasakan bahawa batik Malaysia sepatutnya dijual pada harga yang murah disebabkan kebanyakan anak muda sekarang tidak mampu untuk membeli batik tempatan yang dijual pada harga RM300 ke atas berbanding batik Indonesia yang dijual separuh daripada harga tersebut.

Nurul pula menyatakan bahawa industri batik tempatan tidak selari dengan budaya fesyen yang semakin hari semakin berkembang. “Orang memakai mengikut trend,” katanya memberi reaksi di laman Twitter.

Bagi Macky Ahmad pula, dia menyatakan bahawa batik tempatan selalu digayakan oleh golongan yang berkemampuan dan ia selalu dijual pada harga ‘premium’ untuk golongan yang berduit.

Iman Tanita al Ghul pula menyalahkan industri. Dia dalam ciapannya menyatakan bahawa dia suka dengan batik tempatan, namun ia sukar untuk diakses dan dijual pada harga yang tinggi. Tambah beliau lagi, negara jiran kita tahu bagaimana untuk memasarkan batik dan menjadikan ia mampu milik.

Kata pakar

Pereka fesyen, Datuk Radzuan Radzwill berkata kepada Malay Mail, pemain industri batik tempatan harus menghasilkan batik secara besar-besaran. Tambah beliau lagi, batik seharusnya tidak hanya digayakan untuk urusan rasmi, kerajaan harus mempromosikan batik tempatan sebagai pakaian umum.

Pengasas Butik Batik, Amy Blair menjelaskan bahawa faktor harga masih menjadi perhatian pengguna Malaysia dan harga batik cetak Indonesia jauh lebih berpatutan jika dibandingkan dengan versi cetakan tangan.

Manakala Faizal Tehrani dalam temubual dengan Malay Mail menyatakan bahawa kelemahan dalam kebebasan reka bentuk menjadi faktor mengapa industri batik tempatan kelihatan suram.

“Ya, batik Indonesia lebih pandai, berani dan kreatif. Saya menyalahkan Islamisasi. Pereka batik kita sangat peka dengan motif dan reka bentuknya. Sebagai contoh kerana Islam, motif tertentu yang muncul dengan simbol (haiwan dll) tidak dicetak/dilukis. Bebaskan motif dan rekaan dari agama. Dengan kebebasan datang kreativiti,” kata penyelidik Institut Dunia Melayu dan Tamadun Melayu (ATMA).

Tidak mahu mengambil sikap menunding jari, pengguna dan pembuat batik tempatan perlu tampil dengan sikap terbuka.

Bagi industri batik, mereka perlu tampil dengan satu mekanisme yang lebih terbuka dengan mengambil kira trend dan fesyen anak muda sekarang. Selain itu juga, sasaran pelanggan juga perlu diperluaskan dengan hanya tidak mensasarkan golongan kelas atasan – faktor harga yang tinggi memberi makna bahawa golongan yang tidak berkemampuan bukanlah sasaran bagi industri batik tempatan.

Untuk pengguna pula, mereka perlu lebih peka dengan perbezaan corak batik tempatan dan batik Indonesia kerana ada sesetengah daripada mereka memilih corak batik luar negara disebabkan kurang peka dengan corak batik tempatan.

Terdahulu, filem animasi ‘Batik Girl’ telah berjaya merangkul pelbagai anugerah antarabangsa. Klik pautan di bawah untuk membaca.

Filem Animasi Pendek ‘Batik Girl’ Terima Pelbagai Anugerah Antarabangsa

Rahsia Sebalik Baju Batik Menteri Yang Buat Penonton ‘Terliur’ Di Depan Kaca TV

Persis Baju Batik Sekolah, Pakaian Taehyung BTS Ini Curi Perhatian Netizen