Artikel ini cuba mengeksplorasi makna yang dipergaduhkan sejak dahulu lagi, iaitu siapa itu backpackers, dari sudut pengamatan budaya. Dan siapa yang layak memasuki liganya?

Sebelum industri pelancongan dikomersilkan, dunia pengembaraan memang dunia minimalis. Orang yang mengembara (secara individu atau dalam kafilah) hanya membawa apa yang perlu sahaja.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Dan mereka mempunyai tujuan yang jelas dalam berkelana. Samada menuntut ilmu, berdagang, lawatan diplomasi politik & penjajahan, lawatan spiritual, melawat keluarga, atau menjelajah mencari sesuatu yang baru serta membuat catatan.

siapakah-backpackers-2

Dan dahulukala kalau mahu mengembara memang perlukan belanja duit yang banyak. Kemudian dengan kemajuan teknologi, pelancongan menjadi semakin mudah dan semakin murah (sepertimana teknologi-teknologi lain).

Dahulunya mereka mengembara dengan tujuan yang jelas kerana mengembara bukan sesuatu yang mudah dan kos mengembara amat mahal. Akan tetapi hari ini kita mengembara mencari tujuan hidup, mencari idea, mencari inspirasi, untuk rileks, untuk menghilangkan diri daripada kerja buat sementara – sesuatu yang amat mewah untuk generasi nenek moyang kita.

Maka, dengan manusia yang semakin pudar tujuan hidup dan semakin banyak stress, tapi pada masa yang sama semakin banyak duit, berlakulah pengkomersilan secara berlebihan.

Penerbangan tiba-tiba ada kelas-kelasnya. Hotel tiba-tiba ada 3, 4, 5, 6, 7 bintang. Aktiviti menjelajah dan memahami budaya tempatan digantikan dengan aktiviti shopping dan spa. Kad kredit pun sudah ada yang khusus untuk traveler. Perlu ditekankan, ini semua tidak salah, namun persoalannya adakah ia perlu?

Tidak hairanlah masih ramai yg mengaitkan aktiviti mengembara itu sebenarnya memerlukan banyak wang. Padahal ia bukanlah memerlukan wang yang banyak sehingga perlu jadi kaya raya untuk mengembara, ia hanya perlu wang yang secukupnya sahaja.

Pengembaraan yang minimalis, tidak terpengaruh pada budaya konsumerisme, ialah asas pada budaya backpackerisme. Ia tidak bermaksud kembali pada zaman kuno membuang semua teknologi, tidur hanya di jalanan atau tempat ibadat, atau mengembara hanya berjalan kaki atau hitchike, tanpa insuran.

Ini tanggapan yg salah terhadap backpackerisme yang selalu dikaitkan dengan budaya murahan (“cheapskate”) dan menyusahkan orang.

Backpackerisme adalah budaya minimalis dalam pengembaraan. Penerbangan yang boleh membawa pengembara ke destinasi yang dituju itu sudah cukup. Penginapan asas yang selesa untuk membersihkan diri dan tidur malam dengan selamat sudah cukup.

Pakai pengangkutan awam sudah cukup. Bawa dua beg untuk mengembara sudah cukup, tak perlu shopping apa-apa dan beli beg ketiga, keempat dan kelima

Pada masa yang sama, ia juga bukan budaya ekstrim dan radikal. Mereka yang radikal dan ekstrim dalam backpackerisme ini dipengaruhi kompleks inferioriti dan “low self worth” sehingga perlu menunjuk-nunjuk berlebihan dan membuktikan pada dunia dia pun mampu lakukannya dengan kos lebih rendah. Akhirnya menjadi kompleks superioriti berego tinggi seperti contoh-contoh ini:

“Aku dah travel 100 negara semua dengan bajet rendah pada usia 22.”

“Tak layak kira backpacker kalau pergi India pakai ejen pelancongan.”

“Bukan nama backpacker kalau tak pergi negara ini dan buat ini.”

“Kau travel Korea bajet RM2000, aku belanja RM50 je.”

Backpackers hanya membeli, membawa dan menggunakan apa yang dia perlu sahaja. Mereka bersikap sederhana tetapi minimalis. Dalam erti kata lain, dengan cara yang minimalis sebegini, dia boleh lebih fokus dalam tujuan atau mencari tujuan pengembaraan itu sendiri.

Ia bebas daripada segala budaya konsumerisme atau kompleks superioriti berego tinggi yang membelenggu jiwanya daripada mengembara dengan merdeka.

Tetapi adakah mereka yang mengembara secara mewah dikira backpacker juga? Adakah mereka yang ada kompleks superioriti berego tinggi menunjuk-nunjuk pada dunia mereka mampu membuatnya dengan kos lebih rendah ini dikira backpacker juga?

siapakah-backpackers-3

Istilah backpacker adalah lebih dekat pada golongan kedua (kompleks superioriti) daripada golongan pertama. Aktiviti backpacking itu sendiri, walaupun takrifannya heterogenous dan pelbagai menurut para pengkaji, mereka sebulat suara bersetuju backpacking itu berkos rendah, berbelanja apa yang perlu dan tidak terlalu bermewah-mewah.

Cuma, golongan kedua yang berkompleks superioriti berego tinggi inilah yang kadang memberi nama buruk kepada backpackers.

Backpackers membuat apa yang dibuatnya demi “sense of authenticity”. Dia bukan sekadar bercuti pergi rileks tapi meluaskan horizon pemandangan, menambah pengetahuan dan pengalaman.

Maka, dia mengembara secara minimalis, tidak perlu membeli apa-apa yang tidak diperlukannya. Pada masa yang sama, dia tidak perlu menunjuk-nunjukkan kepada dunia itinerari dan perbelanjaannya hanya supaya dapat masuk “liga backpackers legenda”.

Angkat beg, pergi mengembara, belanja apa yang perlu saja. Setel. Kira backpackers sudah tu.

Yang menaikkan saham seorang backpacker ialah bukan berapa ringgit yang dibelanjakannya atau berapa negara yang telah dilaluinya. Tetapi bagaimanakah karakter perwatakannya, apakah pengetahuan dan pengalaman mahal yg dilaluinya dan apa nilai tambah yang dia boleh sumbang semula kepada masyarakat.