Nota Editor: Kisah ini telah diceritakan oleh Puan Raudzah Arippin, seorang jurugambar dan peniaga secara online dan offline yang mengagumi sifat seorang ayah yang berbeza dengan sifat lelaki tipikal yang biasa dia temui ketika mengendalikan gerai jualannya. Tercuit rasa hati apabila membaca kisah ini. Maka, dengan izin beliau, kami kongsikan semula untuk bacaan pembaca Vocket. Semoga bermanfaat.

Semalam ada satu keluarga datang ke rumah. Isterinya mahu membeli blaus muslimah yang saya jual. Datang bersama, suami dan anak-anaknya yang masih kecil.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Saya rasa, memang perkara biasa, bila suami meneman isteri ‘membeli-belah’, hati pasti rasa tak sabar saja. Kalau boleh urusan memilih, membuat keputusan dan membeli tu tamat dalam tempoh satu minit. Orang perempuan pula kalau membelek baju memang ambil masa. Belek materialnya, coraknya, potongannya. Saya memang tidak pelik bila menjual, suami mendesak-desak isteri supaya cepat.

Mengimbau Peristiwa Pelanggan Yang Berlaku Pada Akhir Tahun 2013

Saya teringat ketika membuka booth jualan pakaian muslimah di sebuah masjid di Kepong, akhir tahun 2013.

Tengahari itu datang satu keluarga. Ibu, ayah dan anaknya yang sudah remaja. Ayahnya, saya sendiri lihat saja sudah ‘gerun’. Tubuhnya besar. Misainya tebal melentik. Kulitnya gelap. Memang lengkap pakej untuk kelihatan garang dan bengis. Isterinya berbadan besar. Bertudung labuh dan berjubah.

“Jemput masuk, tengok dulu puan, kalau ada yang berkenan” kata saya.

Kata isterinya, “Makcik tengok-tengok saja. Memang susah nak cari baju yang ada size makcik ni!”

“Makcik suka pakai jubah ya. Kalau saya tunjukkan makcik jubah yang saya jamin makcik muat untuk pakai, dan memang cantik. Mahu tak?”

Makcik itu tergelak. “Ada ke…karang nampak semua ‘tayar-tayar spare’ makcik ni” katanya.

Suami makcik itu berdiri di luar booth saya. Dia memerhati sahaja.

Ketika itu saya ada jualkan jubah-jubah koleksi kak Intan Idah. Jubah lycra koleksinya memang dibuat potongan besar dan kembang, cukup untuk menyembunyikan bentuk tubuh orang perempuan.

Saya hulurkan sehelai dengan size dan warna yang bersesuaian untuk Makcik tadi. Bila disarung, nah, memang cantik dan muat untuknya. Yang lebih menggembirakan dia, ‘tayar-tayar spare’ nya memang tidak kelihatan.

“Cantiknya mak! panggil ayah! panggil ayah!” kata anak perempuannya.

Makcik itu sudah tersengih-sengih di hadapan cermin. Suaminya masuk ke dalam.

“Macamana bang? cantik kan? Tak nampaklah perut saya” katanya senyum-senyum.

Suaminya memandang atas ke bawah. Tidak senyum langsung. Saya seperti dalam mode ‘standby’. Risau saja suaminya marah suruh cepat, atau keluar ayat yang biasa saya dengar – ‘ikut suka awaklah!’. Hehe. Teruk betul prasangka pada orang.

Tapi sebaliknya.

“Hah, cantik ni. Berapa satu?” Soal suaminya.

Saya agak kecut perut juga hendak menjawab sebab harga jubah itu memang agak mahal kerana materialnya eksklusif.

“RM189 Encik. Tapi ada diskaun. Harganya jadi RM169 sahaja”

“Ok, boleh.” Katanya ringkas.

“Tak apa ke bang. Mahal ni, tak payahlah.” Makcik itu serba salah.

“Bukan senang nak cari baju yang sesuai dengan awak. Yang ini cantik sangat dah ni.”

Akhirnya jubah cantik itu bertukar tangan.

Yang mengejutkan saya, petang itu Makcik itu datang lagi bersama suaminya. Saya fikir ada yang tidak kena dengan baju yang dibeli. Tapi kata makcik itu,
“Pakcik kamu suruh datang, beli lagi satu. Cantik katanya yang tadi”

Terkejut saya. Saya pun bantu mendapatkan sehelai lagi yang bersesuaian dengan makcik itu. Suaminya turut sama memberi pandangan bila isterinya mencuba satu persatu jubah yang agak bersesuaian.

Sudahnya petang itu dibelinya lagi 2 helai untuk isteri tersayang.

Ceritanya Tidak Habis Di Situ.

Malam itu mereka muncul lagi 2 kali! Yang pertama dengan anak yang datang siangnya, kemudian datang lagi dengan anak perempuan yang sudah berumahtangga. Rupa-rupanya ayah mereka yang suruh mereka datang membeli lagi. Katanya baju-baju yang saya jual memang sesuai dengan badan ahli keluarga mereka yang ‘sihat-sihat’.

Sungguh saya tidak sangka. Yang dilihat ‘garang’ itu berlainan benar personalitinya. Bertambah ‘luar biasa’, setiap kali anak-anaknya mencuba baju, yang dipanggil ialah ayah, bukan emak.

“Ayah, tengok ni ok tak?”
“Ayah, corak ni sesuai tak?”
“Ayah, cantik tak warna ni?”

Semuanya ayah, ayah. Ayahnya pun melayan satu-satu dengan sabar.

Akhirnya jumlah yang mereka belanjakan hari itu di booth saya hampir lima ratus lebih. Sampai ayahnya itu pergi cari mesin ATM kerana tidak cukup duit yang dibawa.

Pengajaran

Tapi bukan itu yang saya ingin katakan. Sifat ayahnya itu, memang luar biasa bagi kebanyakan sifat lelaki ‘tipikal’ di kalangan orang kita. Apatah lagi dengan fizikal seperti seorang ‘komando’ begitu. Rupanya dia ayah yang penyayang, mengambil berat, dan sangat menghargai isteri dan anak-anak.

Sungguh benar, jangan menilai orang pada rupa paras. Wajah garang, tapi sebenarnya dalam hati ada taman.

Sekian cerita saya. Hehe.

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram