Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin meminta DAP untuk mengemukakan permohonan maaf kepada masyarakat Islam di negara ini. Dalam catatan Facebook yang dimuat naik hari ini, Asri berkata, DAP perlu berbuat demikian bagi meredakan ketegangan.

Asri berkata, DAP perlu membuat permohonan maaf setelah menjadi sebahagian daripada kerajaan baharu. Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan umat Islam beranggapan bahawa mereka masih membawa identiti yang sama.

Baca Juga:

“Memandangkan DAP bersama kerajaan baharu ini, saya mencadangkan mereka juga memohon maaf kepada masyarakat muslim juga Melayu negara ini seperti yang mereka telah lakukan permohonan maaf kepada GPS di Sarawak.

Ini diharapkan dapat meredakan perasan masyarakat majoriti negara ini dan memulakan azam yang lebih baik dengan menjaga sensitiviti Umat Islam dan Masyarakat Melayu negara ini. Jika DAP enggan, mereka kelihatan sama sahaja dengan identiti DAP yang Umat Islam resah dan tolak sebelum ini,” katanya di laman Facebook.

Dalam catatan tersebut, mufti Perlis itu turut mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Semalam, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke memohon maaf bagi pihak parti itu kepada Sarawak dan Persatuan Parti Sarawak (GPS) atas kenyataan yang telah menyinggung perasaan mereka sebelum ini.

Bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng kemudiannya turut membuat permohonan maaf kepada rakyat Sarawak sejurus selepas itu.

Sebagai balasan, pengerusi GPS Abang Johari Openg menerima permohonan maaf mereka dan berkata parti itu akan menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan.