Walaupun sudah menjengah masuk tahun 2022, isu sindiket kereta klon masih lagi tidak dapat diselesaikan sehingga ramai orang terpedaya untuk mendapatkan ‘kereta idaman’ pada harga tidak masuk akal dan salah dari segi undang-undang.

Menurut Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, trend permintaan kenderaan klon sentiasa ada dan kini semakin meningkat kerana harganya lebih murah daripada pasaran selain keinginan memiliki kenderaan mewah, lapor Utusan.

Sumber Gambar: Utusan

“Jika dahulu, sindiket ini dilakukan secara senyap dan sembunyi, namun, kini orang ramai lebih mudah mengakses maklumat mengenai kenderaan klon yang dijual pada harga murah menerusi media sosial seperti Facebook dan Telegram.

“Sejak tahun 2016 hingga kini, terdapat baki 271 buah kenderaan sita yang masih berada di JPJ Negeri Sembilan dengan 64 buah daripadanya adalah kenderaan klon,” katanya dalam sidang akhbar baru-baru ini.

Terdapat empat buah kenderaan klon disita iaitu kereta Suzuki Swift, Volkswagen Golf, Toyota Grandis dan motosikal Yamaha RXZ pada tahun lalu. Setiap kenderaan klon itu dijual pada harga yang tidak munasabah, iaitu di bawah harga RM20,000 dengan kebanyakan model jenama mewah seperti Honda, Mini Cooper dan BMW.

“Selain itu, sindiket dikesan menggunakan kenderaan model sama yang telah berdaftar di Malaysia untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

“Seterusnya pemilik kenderaan itu sendiri bersubahat dengan penjual sindiket kereta klon dengan membuat salinan cukai jalan dan geran kemudian meletakkan cukai jalan yang telah ‘duplicate’ (ditiru) itu pada kereta klon tersebut,” katanya.

Dalam masa sama, pada 15 Februari depan, JPJ Negeri Sembilan akan mengadakan lelongan awam kenderaan sita di Dewan Orang Ramai Taman Tasik Jaya, Seremban.

“Bakal pembida yang telah membeli dokumen lelong sahaja yang dibenarkan mengambil bahagian dalam lelongan tersebut.

“Penjualan buku lelong akan dibuat pada 7 hingga 10 Februari 2022 di Kaunter JPJ Seremban, Kuala Pilah dan Jempol pada harga RM50 senaskhah terhad kepada 400 buah sahaja,” katanya.

*Ikuti VOCKET CAR CLUB melalui Facebook dan Instagram untuk ketahui perkembangan dan isu semasa automotif dari dalam dan luar negara.

Sebelum ini seorang pemilik Myvi terkejut apabila ada Honda Civic klon keretanya. Baca lebih lanjut melalui pautan di bawah.

Terima Surat Saman, Pemilik Myvi Berang Selepas Keretanya Kena ‘Klon’ Dengan Honda Civic

Bengang Sering Disaman, Lelaki Ini Turun Ke Bangi Menjejak ‘Kembar’ Keretanya

Terengganu Catat Rekod Tertinggi Kes Kereta Klon

Sumber