Empat penolong pegawai penguat kuasa Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dan seorang pemilik syarikat didakwa di Mahkamah Seksyen semalam di atas tuduhan rasuah dan mengemukakan maklumat palsu dalam kes kartel daging, lapor Selangor Journal.

Dua daripada pegawai Maqis, iaitu Mohd Hafizan Khalid dan Nor Azlan Mat Suki serta pemilik syarikat, Abdul Latif A Rahman masing-masing mengaku tidak bersalah atas tuduhan yang telah dibacakan. Manakala dua lagi anggota Maqis, Mohammad Sofyan Mohd Zin dan Khairul Izat Sulaiman mengaku bersalah atas tuduhan yang dibuat ke atas mereka.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Khairul Izat yang mengaku bersalah diwakili oleh peguam S. Selvam didenda RM1,500 atau penjara satu bulan jika gagal membayar denda. Kes Mohd Hafizan, Nor Azlan, Abdul Latif dan Mohammad Sofyan akan disebut semula pada 29 Jun nanti.

Fakta Kes

Mohd Hafizan didakwa telah menerima wang penghargaan sebanyak RM2,500 dari seorang individu dengan tujuan untuk melepaskan sebuah kontena milik Syarikat ZS Armin Sdn Bhd yang membawa daging beku yang tiba dari negara yang tidak disahkan oleh Jabatan Veterinar. Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di sini pada bulan Disember 2016.

Nor Azlan pula didakwa dengan lima tuduhan menerima wang penghargaan, berjumlah RM37,000, kerana didakwa melakukan perkara yang sama, di sebuah restoran di sini antara Februari dan April 2017.

Bagi Abdul Latif, dia dituduh dengan dua tuduhan mengemukakan dokumen dengan maklumat palsu dalam borang perisytiharan untuk barang yang diimport dengan tujuan untuk menipu ejen antara 5 Oktober dan 9 November 2020, di Wisma Kastam, Pelabuhan Tanjung Pelepas.

Sementara itu, Mohammad Sofyan dan Khairul Izat dituduh menerima RM30 dan RM100 sebagai wang penghargaan pada 5 Oktober dan 10 November 2020, untuk mempercepatkan pemeriksaan dokumen dan fizikal penghantaran di pejabat Maqis di Kompleks Sultan Abu Bakar, Iskandar Puteri.

Undang-undang

Mohd Hafizan dan Nor Azlan didakwa di bawah Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali nilai suapan, atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Manakala tuduhan ke atas Abdul Latif dibuat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM, yang juga memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali nilai suapan, atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Selain itu, Abdul Latif juga didakwa dengan dua tuduhan mengemukakan maklumat palsu di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya, jika didapati bersalah.

Bagi Mohammad Sofyan dan Khairul Izat, kedua mereka didakwa mengikut Seksyen 25 (1) Akta SPRM dan dikenakan denda maksimum RM100,000, atau penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya, jika didapati bersalah.

Seludup daging haram dan ‘rebrand’ dengan logo halal, polis tahan 34 pengarah syarikat. Klik pautan di bawah untuk membaca.

Seludup Daging Haram Dan ‘Rebrand’ Dengan Logo Halal, Polis Tahan 34 Pengarah Syarikat

Taktik Sindiket Seludup Daging Haram Dan ‘Rebrand’ Dengan Logo Halal Di Johor Terbongkar

Guna Daging Kuda Dan Kanggaru, Sindiket ‘Meat Cartel’ Dilaporkan Sudah 40 Tahun Beroperasi