Skim Jutawan Segera!

Malaysia adalah syurga bagi Skim Jutawan Segera atau Skim Cepat Kaya yang menawarkan pelbagai jenis bentuk pelaburan. Apatah lagi skim pelaburan begini mempunyai ramai peminatnya untuk menjadi Jutawan segera! Walaupun Skim Cepat Kaya terdiri daripada pelbagai jenis namun mempunyai ciri-ciri yang hampir sama seperti berikut:

Realme-7-Pro-Sun-Kissed-SpecIal-Edition
HYPE
Serba Lengkap, Unik Dengan Vegan Micrograin Leather, Ini 5 Sebab realme 7 Pro Special Edition Berbaloi Untuk Dimiliki
Baca lagi →

1. Pamerkan duit bertimbun-timbun daripada orang ramai masuk skim pelaburan. Jika tiada gambar ‘real’ boleh cilok dari internet.

2. Bergaya dengan kereta mewah. Cara bergaya terbaik ialah berdiri di atas bumbung kereta. Jika tiada kereta mewah maka bergaya dengan key chain kereta pun okay.

3. Tunjuk dapat cek ratus ribu ringgit. Jika tiada dapat cek macam tu boleh aje guna cek sendiri kemudian tulis nama sendiri. Tulis berapa ratus ribu income yang dihajati di atas cek.

4. Tunjukkan pulangan pelan ‘perniagaan’ atau pelaburan dengan jumlah yang tidak masuk akal iaitu 60% ke atas. Jika mahu jadi jutawan segera tidak cukup pulangan hanya 2%-3%.

5. Cara pelaburan ialah tidak perlu bersusah payah menjual produk. Hanya letak duit pelaburan sahaja. Kemudian pendapatan pasif akan muncul. Jika ahli mencari ahli baru atau menjual produk. Maka ia adalah seribu langkah lebih pantas untuk menjadi jutawan.

6. Mendakwa skim menjadi jutawan anjuran mereka ialah pelan berbentuk perniagaan dan bukan syarikat pelaburan. Walaupun sudah terang lagi bersuluh modus operandi ialah mengajak orang ramai melabur untuk menjadi jutawan.

7. Sentiasa berbangga syarikat mereka berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Sedangkan kedai mamak dan kedai runcit yang berdaftar dengan SSM tidak pun berbangga-bangga seperti mereka.

8. Berbangga dengan produk syarikat mempunyai sijil halal Jakim atau halal palsu. Produk halal tidak bermakna operasi syarikat adalah patuh syariah atau sah di sisi undang-undang.

9. Sentiasa pamerkan ahli syarikat yang berjaya menjadi jutawan. Pastikan di antara jutawan itu ialah ustaz atau orang agama. Ia membina persepsi jika orang agama masuk skim ini mestilah skim ini betul.

10. Semasa program latihan skim cepat kaya ini. Mestilah diulang-ulang perkataan JUTAWAN. Jika mahu kelihatan Islamik maka gunalah istilah JUTAWAN MUSLIM.

11. Pengaruh orang ramai melabur dengan jumlah yang besar supaya dapat menjadi jutawan dengan cepat. Galakkan bakal ahli baru meminjam duit daripada ahli keluarga atau membuat pinjaman peribadi di bank.

12. Pamerkan gambar jumlah duit masuk ke dalam akaun ahli. Ini menunjukkan syarikat tidak berbohong sama sekali. Lain kali mereka akan berbohong.

13. Sentiasa berbangga dengan ada surat perjanjian di antara ahli dan syarikat. Sedangkan surat perjanjian itu tidak menjelaskan sepenuhnya skim pelaburan dan banyak perkara yang kabur di dalamnya.

14. Berbangga ahli dan syarikat mempunyai perjanjian yang mati setem. Sedangkan sebelum ini banyak Skim Cepat Kaya yang ‘bungkus’ memiliki perjanjian yang mati setem dengan ahli. Perjanjian yang mati setem hanya untuk menguatkan sebagai bahan bukti di mahkamah. Perjanjian mati setem tidak bermakna syarikat itu tidak akan menipu.

15. Tunjuk kepada orang ramai bahawa terdapat ahli mereka terdiri daripada profesor, pensyarah, doktor, peguam, pimpinan masyarakat dan sebagainya. Ia membina persepsi skim cepat kaya mereka adalah betul.

16. Sentiasa pamerkan gaya hidup mewah ahli skim supaya ahli baru dan bakal ahli percaya dan beriman dengan pelan menjadi jutawan segera. Pamerkan gambar makan di restoran mewah, melancong di luar negeri, tengok movie tiket VVVIP dan sebagainya.

17. Jika orang ramai mempertikaikan skim pelaburan maka mereka akan melantik Penasihat Syariah bagi menasihati dan mengawasi operasi supaya patuh syariah. Walaupun sudah wujud Penasihat Syariah namun isu-isu syariah yang menjadi pertikaian masih juga timbul tanpa mendapat jawapan yang konkrit daripada Penasihat Syariah.

18. Sentiasa ulang-ulang bahawa masa dahulu hidup miskin dan terbuang. Boleh juga sebut masa dahulu kerja gaji ciput sahaja dan dipandang hina. Namun apabila masuk skim ini kehidupan mereka berubah 360 darjah.

Jika mahu melabur maka melaburlah di tempat yang patuh syariah dan dikawal oleh undang-undang. Jika mahu berniaga maka berniagalah dalam perniagaan yang sebenar. Skim Jutawan Segera hanya mimpi indah pada malam hari. Mimpi indah ini akan lenyap sebaik sahaja bangkit daripada tidur.

Artikel di atas disumbangkan oleh Abdel Rahmanov. Boleh ikuti beliau di sini.

Anda Mungkin Suka