Kementerian Sumber Manusia (KSM), menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan menganjurkan pelancaran Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) & Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 untuk membawa skim perlindungan suri rumah ini lebih dekat dengan Rakyat Malaysia dan mengadakan temu duga terbuka berserta pelbagai aktiviti perkhidmatan pekerjaan dalam skala yang besar.

Program yang akan diadakan pada 11 dan 12 Februari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, dijangka dikunjungi oleh lebih 5,000 pencari kerja di seluruh negara, di samping para pengunjung dari kalangan suri rumah dan wanita amnya, dan badan-badan NGO berkaitan, juga Rakyat Malaysia keseluruhannya.

Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dijadual menyempurnakan Pelancaran Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah & Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 ini pada hari Sabtu, 11 Februari 2023.

KSM dan PERKESO mengalu-alukan kehadiran Perdana Menteri yang menterjemahkan sokongan Kerajaan terhadap usaha membangunkan jaringan keselamatan sosial yang komprehensif dan inklusif di Malaysia.

Sepanjang dua hari tersebut, orang ramai boleh berinteraksi secara terus dengan PERKESO bagi memahami SKSSR dan manfaatnya dengan lebih mendalam, di samping mendapatkan khidmat nasihat serta membuat pendaftaran SKSSR di booth yang disediakan. Para suami dan pihak ketiga seperti badan-badan NGO atau syarikat swasta juga digalakkan menaja caruman bagi pihak suri rumah.

Mula dilaksanakan pada 1 Disember 2022, SKSSR menawarkan faedah-faedah di bawah Perlindungan Bencana Domestik dan Perlindungan Keilatan seperti Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Kekal, Elaun Keuzuran, Faedah Pengurusan Mayat dan Pencen Penakat. Skim perlindungan di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 (Akta 838) ini terbuka kepada wanita warga tempatan dan pemaustatin tetap yang berusia kurang 55 tahun dan menguruskan rumah tangga sepenuh masa atau separuh masa, berkahwin ataupun bujang.

Sementara itu, Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 merupakan karnival berskala besar yang pertama bagi tahun ini dianjurkan PERKESO sebagai suatu inisiatif untuk meningkatkan peluang rakyat memperoleh pekerjaan berkualiti, seterusnya mengurangkan kadar pengangguran di samping memperkasa pasaran buruh.

Karnival dua hari ini menawarkan lebih 13,000 peluang pekerjaan termasuk kira-kira 20 peratus daripadanya terbuka kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) daripada 140 syarikat merentas pelbagai sektor dan industri. Dibuka dari 9.00 pagi hingga 5.00 petang, Karnival ini bakal menyaksikan penglibatan majikan besar seperti Maybank, BSN, EXIM Bank, KTM Malaysia, ExxonMobil, UMW, UOA Group dan Avisena Healthcare.

Pelbagai aktiviti perkhidmatan pekerjaan yang disediakan secara percuma akan turut diadakan sepanjang Karnival ini seperti penyediaan resume, pendaftaran portal MYFutureJobs serta bimbingan dan nasihat kerjaya. Pelbagai hadiah cabutan bertuah yang menarik juga menanti para pengunjung sepanjang karnival berlangsung.

Penganjuran Karnival ini merupakan salah satu usaha berterusan KSM melalui PERKESO untuk mewujudkan peluang pekerjaan secara mampan kepada semua lapisan masyarakat termasuk golongan rentan seperti orang kurang upaya (OKU). Ia juga menyokong usaha dan komitmen Kerajaan untuk membantu rakyat yang terkesan dengan ekonomi semasa dan pasca-pandemik COVID-19, terutamanya mereka yang kehilangan pekerjaan atau menganggur.

Sehubungan itu, PERKESO menyeru semua suri rumah dan pencari kerja di seluruh negara memanfaatkan peluang ini dengan berkunjung ke Pelancaran Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah & Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 pada hujung minggu ini. Bagi pencari kerja, PERKESO menggalakkan mereka mendaftar di pautan www.myfuturejobs.gov.my/career sebelum hadir ke Karnival Kerjaya.

Bagi para majikan yang berminat untuk turut serta dalam mana-mana karnival kerjaya anjuran PERKESO, mereka boleh menghubungi Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO. Untuk sebarang maklumat lanjut, sila layari laman sesawang PERKESO di www.perkeso.gov.my atau hubungi talian khidmat pelanggan PERKESO di talian 1-300- 22-8000.