Jarang rasanya kita melihat pertandingan lumba lari 100 meter diadakan di kalangan orang awam. Kali terakhir kita berpeluang menyaksikan pertandingan ini lebih dekat adalah semasa zaman sukan sekolah atau universiti, selepas itu kebanyakan acara ini kita tonton di kaca TV dengan pelumbanya adalah mereka yang bertaraf profesional.

Baru-baru ini, di hujung ceruk Lembah Klang dan menghala ke selatan Kuala Lumpur telah diadakan sebuah pertandingan lumba lari 100 meter. Acara yang diadakan di Bangi dan diberi nama Sol Lari Sol, Lumba Lari Underground ini telah membuka nostalgia zaman sekolah.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Sol Lari Sol, Lumba Lari 100 Meter Underground ini diilhamkan oleh Mutalib Uthman dan Khairul Jamain. Ia dianjurkan oleh Cerita & Co dan disokong oleh Dubook Press, Voltra, Boom dan Traveout. Difahamkan bahawa pertandingan yang diadakan pada 26 Januari lalu telah disertai oleh 30 lelaki dan 8 wanita.

Nama acara ini sebenarnya sudah mengikat perhatian, kami rasa Sol Lari Sol diambil sempena kes salah seorang selebriti yang kahwin lari di Thailand dan menjadi buah mulut rakyat Malaysia. Manakala kenapa ia Underground, adalah kerana pihak penganjur tidak mahu meletakkan sebarang peraturan. Peserta boleh datang dengan memakai apa sahaja, kasut, selipar mahupun kaki ayam. Manakala tiada balapan yang disediakan, ia seolah-olah acara lumba haram tetapi berkongsepkan larian.

Mutalib yang juga salah seorang peserta tetapi tewas kepada atlet kolej ketika diwawancara berkata tujuan acara larian ini diadakan untuk orang malas yang tidak gemar lari jauh-jauh seperti marathon, “Kalau malas, boleh masuk lari takat 100 meter sahaja. Selain itu, daripada kamu lumba motor haram, lumba basikal lajak haram, accident, langgar undang-undang, baiklah kamu menyihatkan badan dengan lumba lari,” katanya.

Selain itu, beliau berharap agar di acara akan datang, lebih ramai peserta yang akan masuk bertanding, “Lebih ramai orang masuk berlumba dan lebih kerap perlumbaan ini diadakan tiap bulan. Kalau boleh, setiap hujung minggu,” katanya sebelum menyambung bahawa beliau mensasarkan bahawa acara ini akan diadakan di setiap negeri.

“Setiap Negeri akan aktif menganjurkannya. Aku sasar Sol Lari Sol ini akan dibuat di tempat ikonik negara, depan KLCC, Litar Sepang, Dataran Rehal Kota Baru. Sebab ia bagus untuk tunjuk rakyat kita sihat dan fun sambil promote tempat-tempat power ini kat mat salleh yang boring. Kalau orang luar ada Boston Marathon atau Berlin Marathon, kita ada KLCC Sol Lari Sol. Fuh terbayang pun dah syok,”

Difahamkan bahawa acara pertama Sol Lari Sol, Lumba Lari 100 Meter Underground ini diadakan dengan menggunakan duit sendiri tanpa berpegang kepada mana-mana penaja. Pihak penganjur turut berharap agar di masa akan datang, lebih ramai badan korporat yang sudi untuk menaja acara ini, “Sekarang ini kami pecah tabung, untuk anjurkan. Harap lepas ini banyaklah orang korporat nak sponsor. Bagus ini, orang muda suka. Sihat badan. Boleh juga elakkan orang betting tepi. Berdosa,” katanya.