Kes penularan wabak COVID-19 di Malaysia kini semakin tidak menunjukkan tanda-tanda bahawa ia mahu berhenti, malah pihak kerajaan dan para doktor melaporkan bahawa mereka menjangkakan bahawa kes positif wabak ini akan membawa kepada 5 lima angka dalam masa terdekat.

Sikap tidak ambil endah dan lalai dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia dengan mematuhi segala pantang larang yang telah ditetapkan oleh pihak kesihatan akan menyaksikan situasi COVID-19 di Malaysia akan menjadi tidak terkawal.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Terbaharu, dikatakan bahawa antara punca tercetusnya kluster di Kelantan adalah disebabkan jemaah surau di Kampung Pauh Lima yang sanggup solat dalam gelap dan sorok selipar demi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa, lapor Harian Metro.

Semalam, pihak kerajaan telah mengumumkan pelaksanaan PKPD di dua lokaliti iaitu Kampung Pauh Lima, Mukim Gunong, Bachok dan Kampung Pauh Lima, Mukim Banggu, Kota Bharu, Kelantan disebabkan berlakunya peningkatan kes secara mendadak membabitkan dua kawasan berkenaan.

Akibat daripada melanggar arahan yang tidak membenarkan solat fardu diadakan melainkan hanya untuk empat jemaah sahaja, difahamkan sudah 78 orang disahkan positif COVID-19 akibat daripada perbuataan tidak mengendahkan arahan terbabit.

Dalam temubual Harian Metro bersama seorang penduduk di sana, difahamkan bahawa surau itu beroperasi seperti biasa dengan mengerjakan solat lima waktu termasuk sepanjang bulan Ramadan.

Beliau yang kecewa dan terkilan dengan tindakan jemaah berkenaan turut memberitahu media bahawa jemaah surau terbabit sanggup menyembunyikan selipar dan solat di dalam gelap bagi mengelak aktiviti mereka dihidu oleh pihak berkuasa.

Manakala seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Yah berkata bahawa tindakan jemaah surau terbabit telah menimbulkan kemarahan penduduk lain terutama mereka yang patuh pada prosedur operasi standard.

Dia turut memberitahu Harian Metro bahawa terdapat maklumat yang menyatakan bahawa ada jemaah yang batuk serta demam, namun masih degil pergi ke surau berkenaan untuk melaksanakan solat tarawih.

“Saya pun tidak faham kenapa penduduk terlalu degil untuk mengikut arahan yang dikeluarkan. Inilah dikatakan mengejar pahala di tempat yang salah. Bila pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), semua penduduk yang terjejas, bukannya hanya golongan yang melanggar SOP,” katanya kepada Harian Metro.

Manakala Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, berkata individu yang melanggar SOP yang ditetapkan semata-mata mahu menunaikan solat jemaah di surau sehingga mencetuskan kluster penularan COVID-19 tetap dikira berdosa.

“Jemaah kena ingat, solat di rumah secara berjemaah juga walaupun hanya berdua, pahalanya tetap sama. Tidak semestinya kita perlu berjemaah di surau barulah mendapat pahala yang banyak,” katanya ketika dihubungi oleh Berita Harian.

Untuk rekod, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata dalam tempoh dua minggu, peratusan kes positif adalah 26.62 peratus di Kampung Pauh Lima, Bachok dan 55.22 peratus di Kampung Pauh Lima, Kota Bharu.

Hampir tiada kluster sukan, netizen persoal tindakan larang orang ramai bersukan sewaktu PKP. Klik pautan di bawah untuk membaca.

Hampir Tiada Kluster Sukan, Netizen Persoal Tindakan Larang Orang Ramai Bersukan Sewaktu PKP