Bekas ketua pegawai eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Zahrah Abd Wahab Fenner dan anak lelakinya, Abdulazeez Wan Ruslan telah didakwa untuk 37 pertuduhan rasuah yang melibatkan RM5.7 juta.

Untuk pengetahuan anda, Zahrah berdepan dengan 33 pertuduhan melibatkan RM5,718,000 manakala anak lelakinya dikenakan empat pertuduhan yang melibatkan RM160,000 dan kesemua tuduhan dibuat di bawah Akta SPRM dan Kanun Keseksaan.

S10
HYPE
Rakam Video Dan Terus Sunting, Ini Kelebihan Samsung Galaxy Note10 Untuk Anda Yang ‘On The Go’
Baca lagi →

Menurut laporan Malaysiakini, bagi 28 pertuduhan yang dibuat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM, Zahrah, 60, dituduh menerima wang tunai berjumlah RM5,279,000 sebagai balasan kepada beliau untuk antara lain meluluskan permohonan menjalankan program seperti Online Networking Entrepreneurs Suruhanjaya Syarikat Malaysia (ONE SSM) dan Karnival Usahawan Muda (YPo) di negeri Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Pahang, Terengganu, Kelantan, Melaka, Kuala Lumpur, Johor, Sarawak dan Sabah.

Zahrah juga dituduh antara lain menerima wang untuk meluluskan permohonan beberapa syarikat yang dilantik untuk program pengiklanan papan iklan SSM di Kedah, Melaka, Perak dan Johor. Anaknya, Abdulazeez pula berhadapan tuduhan menerima rasuah dan bersubahat dengan ibunya untuk suapan berjumlah RM160,000.

Jika disabitkan bersalah, Zahrah dan Abdulazeez bakal berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun, dan denda tidak kurang daripada lima kali suapan yang terlibat atau RM10,000 atau yang mana lebih tinggi.

Mahkamah telah membenarkan Zahrah diikat jamin RM300,000 dengan dua penjamin manakala Abdulazeez pula diikat jamin RM70,000 berserta syarat tambahan masing-masing perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai serta perlu melaporkan diri di pejabat SPRM.

Kedua-dua individu mengaku tidak bersalah dan sebutan semula kes itu telah ditetapkan pada 26 November 2019 ini.

Kami kongsikan lagi beberapa artikel berkaitan kes mahkamah yang berlaku baru-baru ini. Klik pautan di bawah untuk baca lebih lanjut.

Bekas CEO 1MDB Mengaku Terima Gaji RM99,000 Sebulan Dan Bonus RM1.44 juta

Pelakon Zarina Zainuddin Sebak Didenda RM17,500

Anda Mungkin Suka