Penantian dua tahun yang berbaloi! Itulah kata-kata pertama yang terkeluar dari bibir saya apabila ditanya mengenai filem terbaru dari franchise Star Wars ini sehinggakan sampai saat inipun saya masih lagi tersenyum puas mangingatkan kembali babak-babak dalam filem ini.

Untuk rekod, filem Star Wars: The Last Jedi (SW:TLJ) adalah filem kedua dari triologi baru Star Wars yang menyambung penceritaan dari filem Star Wars: The Force Awaken (SW: TFA). Ia telah ditulis dan diarahkan oleh Rian Johnson, pengarah Amerika yang pernah mengarahkan filem Looper dan beberapa episod siri Breaking Bad.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Jujurnya, terlalu banyak perkara yang menakjubkan tentang filem ini; baik dari jalan cerita, kualiti skrip, pemilihan watak, lakonan setiap watak, runut bunyi, CGI (computer generated imagery), rekaan kostum dan sinematografi; telah digarap sempurna oleh Rian.

Menyentuh sedikit mengenai jalan cerita, ia adalah rentetan kepada kisah perjuangan pasukan The Resistance yang diketuai oleh Jeneral Leia Organa menentang bala tentera The First Order dibawah pentadbiran Supreme Leader Snoke.

Plot cerita pada kali ini dipecahkan kepada tiga bahagian utama; Rey yang bersama dengan Luke Skywalker, suasana dalam kem pelarian pasukan The Resistance serta misi rahsia yang dilakukan oleh Finn, watak pengkhianat tentera The First Order.

Tahniah juga diucapkan kepada John Boyega yang memegang watak Finn. Dalam filem ini, watak Finn telah berkembang dengan baik dari watak pelakon tambahan dalam filem SW:TFA kepada watak penting dalam SW:TLJ.

John nyata mampu menghidupkan watak Finn dengan matang dan terdapat juga babak pertempuran penting yang melibatkan Finn. Sayangya, terlalu sedikit screen time untuk Finn dan Ray bersama, jadi hubungan mesra yang terbina dari filem SW:TFA agak kurang dirasakan dalam filem ini.

null
Finn (John Boyega) bertempur dengan Captain Phasma (Gwendoline Christie)

Lebih menarik, plot-plot yang disajikan oleh filem SW:TLJ ini melengkapi beberapa soalan penting yang ditinggalkan dalam filem sebelumnya. Adakah Luke Skywalker bakal kembali menyertai The Resistance? Adakah Kylo Ren akan berpaling tadah dan menyertai The Resistance? Atau mungkin, kita akan dapat mengenali siapakah Rey yang sebenarnya?Anda perlu saksikan sendiri filem ini untuk mengetahuinya.

Terdapat beberapa perkara yang membuatkan filem ini kuat. Antara aspek yang membuatkan saya menikmati filem yang berdurasi 2 jam lebih ini adalah sinematografinya yang sempurna selain runut bunyi yang epik. Ia benar-benar membuatkan saya mengimbau kembali perasaan menonton siri filem Star Wars buat kali pertama sewaktu saya masih lagi kanak-kanak.

null
Salah satu babak Rey (Daisy Ridley) dan Luke Skywalker (Mark Hamill)

Sebagai kaki wayang yang menonton banyak filem sepanjang tahun ini, tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa SW:TLJ adalah filem terbaik bagi tahun 2017 yang telah saya tonton. Malah sesudah anda menonton filem ini kelak, akan ada penonton di sekeliling anda yang berdiri dan bertepuk tangan sebaik sahaja filem hebat ini tamat.

Penonton pasti akan meninggalkan kerusi panggung dengan perasaan yang puas, sama ada anda seorang peminat tegar Star Wars mahupun seorang penonton biasa. Pengakhiran filem ini yang cukup baik membuatkan anda tidak sabar menunggu bulan Disember tahun 2019 untuk bahagian terakhir trilogi filem ini.

Percayalah, trailer awal filem ini sebenarnya tidak memberikan anda apa-apa gambaran pun tentang jalan cerita sebenar SW:TLJ! Pandai produksi Star Wars peram rahsia jalan cerita The Last Jedi ini.

null
Chewbacca bersama watak comel yang baharu, Porg

Saya memberikan rating 9/10 untuk filem Star Wars: The Last Jedi ini. Ia adalah sebuah filem hebat yang sarat dengan aksi libasan light saber, tembakan pistol lazer dan pertempuran kapal angkasa yang epik – yang terbanyak dalam mana-mana filem Star Wars yang telah dihasilkan.

Jangan lupa untuk menyaksikan filem Star Wars: The Last Jedi di pawagam berhampiran dengan anda mulai 14 Disember ini. Ia nyata filem wajib tonton yang tak boleh anda lepaskan!

P.S: Pesan saya kepada yang akan menonton filem ini, sebelum masuk ke panggung, tontonlah filem SW:TFA sekali lagi (revision) dan elakkan dari mendengar atau melihat sebarang spoiler dan rasai sendiri kejutan yang dihidangkan dalam filem ini. Percayalah, ia memang berbaloi.