Dalam sebuah surat yang dikeluarkan oleh CEO Starbucks, Howard Schultz beliau memberitahu bahawa Starbucks akan menggaji 10,000 pelarian dalam masa 5 tahun akan datang sebagai kenyataan balas president baharu Amerika Syarikat, Donald Trump yang kini menghalang pelarian Syria dari memasuki Amerika Syarikat. Trump juga turut melaksanakan travel ban untuk 6 buah negara Islam yang lain ketika ini (Libya, Iraq, Iran, Sudan, Yemen dan Somalia).

Dalam surat itu juga menerangkan proses menggaji pelarian itu akan dilaksanakan kepada semua cawangan Starbucks di seluruh dunia dan usaha itu akan bermula di Amerika Syarikat. Howard juga menyentuh tentang isu eksport Amerika Syarikat dengan Mexico, di mana Mexico adalah antara negara penyumbang terbesar biji kopi kepada Starbucks. Starbucks mempunyai 600 cawangan di Mexico dan tindakan Trump untuk mengkaji kembali hubungan ekonomi mereka bersama Mexico akan menyulitkan hubungan baik kedua-dua negara sebelum ini.

Howard Schultz (tengah) bersama pekerja Starbucks

“Kami sangat mementingkan pengambilan pekerja muda untuk membantu mereka memulakan hidup baru. Disebabkan itu kami sangat komited untuk menjayakan usaha memberi peluang pekerjaan kepada mereka yang melarikan diri dari negara bergolak dan diskriminasi. Terdapat 65 juta orang di dunia ini dikelaskan sebagai pelarian oleh United Nations dan kami merancang untuk menggaji 10,000 pelarian ini dalam masa 5 tahun di 75 negara Starbucks beroperasi,” terang Howard di dalam suratnya.

Anda boleh baca coretan penuh Howard di sini. Tahun lalu, Starbucks di Bangsar menjadi Starbucks pertama di dunia yang menggaji majoriti pekerja dengan masalah pendengaran sebagai pekerja di cawangan itu. Tahniah buat Starbucks yang tidak langsung diskriminasi dalam menggaji pekerja mereka.