Pada masa depan mungkin cara anda isi petrol akan berubah dengan adanya usaha startup ini. Tanpa stesen minyak, kenderaan anda boleh diisi di mana sahaja anda kehendaki hanya melalui pemesanan di apps Booster Fuels.

Ia seperti perkhidmatan Uber tapi ini khusus untuk isi minyak kenderaan. Bayangkan ini adalah situasi anda:

1. Anda hanya perlu buka app Booster Fuels di telefon sebelum ke tempat kerja.
2. Pilih masa yang sesuai untuk isi minyak kenderaan semasa anda sedang bekerja.
3. Kemudian pastikan anda tidak mengunci penutup lubang tangki minyak.
4. Pihak Booster Fuels akan tiba di destinasi yang telah anda tetapkan menggunakan koordinat GPS pada masa yang telah anda pilih tadi.
5. Selesai kerja, anda boleh balik ke rumah tanpa perlu singgah di stesen minyak lagi.

Itulah konsep Booster Fuels yang mahu diketengahkan. Mereka mahu mengubah kebiasaan sedia ada dengan menyediakan alternatif ini bagi menjimatkan masa 15 minit yang biasa diperlukan untuk mengisi minyak kenderaan. Malah, harga yang ditawarkan juga lebih rendah berbanding harga di stesen minyak.

“Hakikatnya kita membolehkan beribu-ribu keluarga mendapat masa tambahan 15 minit sehari untuk melakukan apa sahaja yang mereka mahukan, ia adalah satu perasaan yang benar-benar baik.” – Pengasas Booster Fuels, Frank Mycroft.

Awal tahun 2015, startup Booster Fuels yang menyediakan perkhidmatan di San Francisco Bay dan Dallas-Fort Worth ini telah menerima dana US$3.1 juta dari syarikat venture capital dan pada awal tahun ini (2016), Booster Fuels menerima dana siri A sebanyak US$9 juta dari3 buah syarikat iaitu Madrona Venture Group, Version One Ventures dan RRE Ventures.

Booster Fuels

Jeff Lenard dari National Association of Convenience Stores yang mewakili 127,000 pemilik stesen minyak berkata idea penghantaran minyak ini adalah suatu yang hebat tapi dia risaukan tentang keselamatan pelanggan dan isu keselamatan kerana minyak adalah bahan yang mudah terbakar. Tapi Booster Fuels menyatakan mereka menggunakan perkhidmatan pemandu yang berpengalaman mengendalikan operasi ini.