Startup yang baik adalah startup yang menyelesaikan masalah-masalah masyarakat dan mengganggu cara kebiasaan sesuatu masalah itu diselesaikan.

Startup yang diketengahkan ini berjaya menyelesaikan dua masalah utama sekaligus di kalangan penduduk tempatan iaitu masalah sampah dan kesihatan. Ia diusahakan oleh Dr. Gamal Albinsaid, 25 tahun dari Indonesia dengan idea model bisnes yang memberi manfaat besar kepada negaranya.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Dr. Gamal membenarkan pesakitnya menerima pemeriksaan kesihatan sekiranya mereka mengumpul sampah yang boleh dikitar semula sebagai gantiannya. Ini dilakukan sedemikian kerana penduduk setempat tidak mampu membayar kerana faktor kemiskinan.

Melalui Garbage Clinical Insurance (GCI), Dr. Gamal menyatakan ia adalah sebuah program mikro insuran yang menggunakan sampah kitar semula sebagai pertukaran untuk menampung kos perubatan pesakit. Sampah-sampah yang dikumpulkan itu ditukarkan menjadi baja dan bahan seperti kotak kertas dan botol ditukarkan dengan duit.

Selepas menjalankan startup ini selama 2 tahun, lebih kurang 3,500 orang pesakit telah menerima rawatan melalui program GCI dan 5 buah klinik seumpama itu telah ditubuhkan. Ini membuktikan program GCI dapat menampung perbelanjaan klinik untuk terus beroperasi dan mengurangkan bilangan sampah di kawasan sekitar.

Contohnya, 2 kg sampah plastik bersamaan dengan 10,000 rupiah (RM3.00) boleh membenarkan seorang pesakit menerima perkhidmatan kesihatan asas selama 2 bulan di klinik.

“Kami mengubah persepsi dan tabiat orang ramai terhadap sampah,”…”Saya percaya jika masalah dilihat dari sudut positif ini diketahui, ia akan merangsang lebih banyak orang untuk menerimanya,” jelas Dr. Gamal tentang bagaimana GCI beroperasi.

Program GCI ini memberi impak besar kepada para pesakit kerana mereka masih dapat menerima rawatan dan ubat-ubatan tanpa membayar duit. Mereka hanya perlu mengumpul sampah untuk klinik sebagai gantiannya.

Terima Anugerah Dari Prince Charles

Oleh kerana kejayaan program GCI dapat mencapai matlamat memberi perkhidmatan perubatan dan mengurangkan kadar sampah di kawasan sekitar telah membolehkan Dr. Gamal Albinasid menerima anugerah “Prince of Wales Young Sustainability Entrepreneur Prize” dari Prince of Wales, Prince Charles di Istana Buckingham, England pada Januari 2014.

Dr. Gamal Albinasid menerima wang hadiah sebanyak GBP 50,000 (RM323,000) sebagai sokongan kewangan. Ia memenangi anugerah ini setelah bersaing dengan lebih 500 penyertaan dari 90 negara.

“Dengan hadiah ini, saya berharap dapat menyebarkan lebih kebaikan serta membantu lebih ramai orang, kerana saya percaya dengan hadiah yang besar ini turut datang dengan satu tanggungjawab yang besar.” kata Dr. Gamal sewaktu ditemubual The Establishment Post.

Mengamalkan Prinsip Keusahawan Sosial

Dr. Gamal Albinasid merupakan Ketua Ekskutif Indonesia Medika dan pengasas Garbage Clinical Insurance yang mengamalkan prinsip keusahawanan sosial di dalam startup miliknya yang telah dimulakan sejak dia masih seorang pelajar perubatan di Universiti Brawijaya, Malang, Indonesia pada 2009.

Pada waktu itu Dr. Gamal sedih dengan kematian seorang kanak-kanak berusia 3 tahun akibat ketidakmampuan ibu bapa membawa anaknya ke klinik untuk mendapatkan rawatan cirit-birit. Rentetan daripada kejadian tersebut telah menjadikan ia satu pemangkin buat Dr. Gamal untuk membantu golongan ini.

Konsep Operasi Garbage Clinical Insurance

Konsep GCI telah membantu komuniti dengan menukarkan sampah di rumah mereka dengan sesuatu yang akan menambahbaik kesihatan mereka. Skim ini menyediakan insuran kepada ahli di mana pihak klinik akan memberikan perkhidmatan kepada mereka setelah menerima sampah-sampah untuk dikitar semula.

Setiap minggu ahli-ahli akan membawa sampah organik dan bukan organik ke pusat pengumpulan sampah berdekatan dengan klinik. Pusat tersebut berfungsi sebagai tempat pemprosesan dan penjualan semula bahan kitar semula. Sampah-sampah terkumpul yang diproses itu bertukar menjadi duit dan ia dikira sebagai premium insuran kesihatan ahli-ahli.

Replikasi Startup GCI

Dr. Gamal merancang untuk mereplikasi skim Garbage Clinical Insurance di seluruh Indonesia dan antarabangsa. Oleh itu dia perlu menjalankan lebih banyak kajian untuk mengubahsuai dan menambahbaik program startup ini supaya ia boleh dijadikan model contoh untuk insurans sampah.

Kini, 4 buah klinik GCI beroperasi dari pukul 7 pagi hingga 9 malam di Malang dan sebuah lagi di kampung yang berada jauh dari bandar. Kesemua klinik ini dijalankan oleh 88 orang sukarelawan dan interns, 15 orang doktor, 12 orang jururawat dan bidan. 47 orang staf dibayar melalui keuntungan jualan bahan sampah mengikut standard pembayaran di Indonesia.

“Kami usahawan sosial. Kami memberi tumpuan kepada kesan sosial: bagaimana kita boleh menguruskan suatu kumpulan wang untuk meningkatkan kesihatan masyarakat, dan membuat ia mampan? Saya sedang mencari orang muda. Mereka mempunyai semangat yang besar dan sebahagian daripada mereka tidak mengambil berat tentang wang (wang bukan matlamat yang pertama).”

“Ada doktor, ada yang hanya datang kepada kita … mereka mahu bekerja dengan kami untuk membangunkan projek ini.” jelas Dr. Gamal lagi.

Sampah-sampah yang terdiri daripada bahan organik diproses sehingga menjadi baja dan kemudian dijual semula kepada orang Indonesia. GCI menerima banyak wang dari hasil penjualan baja-baja tersebut di mana 1 kilogram baja akan dibayar dengan harga 5,000 rupiah Indonesia (RM1.53). Manakala, sampah bukan organik dikumpul, disusun semula dan dijual kepada pusat pengumpulan sampah kitar semula di bandar Malang.

“Saya mempunyai lima klinik. Tetapi, jujur, sistem ini mula ditiru di bandar lain dengan orang lain. Mereka telah dikoordinasikan dengan kami. Kami membantu mereka, kami menasihati mereka, dan kami membimbing mereka untuk memulakan projek ini, tetapi kita memastikan bahawa masyarakat mendapat kesan dari projek tersebut.” terang Dr. Gamal Albinsaid yang gembira dengan perkembangan GCI.

Biografi Dr. Gamal Albinsaid

https://www.youtube.com/watch?v=ycYCCh1rWmk

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram