Set pinggan mangkuk mengandungi dan diperbuat daripada ‘bone china’ kembali menjadi topik hangat dalam kalangan netizen baru-baru ini selepas timbulnya dakwaan kemungkinan produk tersebut mengandungi bahan terlarang atau tidak halal.

Dakwaan mengenai status halal produk tersebut kembali diperkatakan selepas produk set pinggan mangkuk ini dibicarakan oleh netizen-netizen mengenai kecantikan reka bentuknya dan ada yang berkira-kira untuk mendapatkannya sempena sambutan hari raya yang bakal tiba tidak lama lagi.

Menurut Kamus Dewan, bone china dirujuk sebagai tembikar cina yang mengandungi 50% debu tulang, 25% kaolin dan 25% batu Cornish manakala tulang yang digunakan ialah tulang haiwan yang dipanaskan pada suhu yang tinggi.

Malah, satu perkongsian yang membincangkan tentang status dan kebenaran untuk menggunakan produk yang berasal dari tanah besar China itu meraih sehingga 8,000 perkongsian di Facebook.

Walaupun tidak mengatakan set pinggan mangkuk yang mengandungi bahan yang diperbuat daripada komposisi abu tulang itu tidak halal, namun netizen meluahkan rasa was-was mereka terhadap status tulang haiwan yang digunakan dalam menghasilkan produk tersebut.

Bagi mengelakkan kekeliruan dan perasaan was-was dalam menggunakan produk yang mengandungi abu tulang itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sebenarnya telah pun menjawab mengenai perkara ini pada 2016.

“Jika diyakini syarikat berkenaan menggunakan sumber tulang yang suci, maka ia bukan najis.

“Jika sebaliknya, maka ia adalah najis dan tidak sesuai digunakan sebagai bekas makanan,” jelas mereka.

Hukum Penggunaan Peralatan Dan Perhiasan Berasaskan Abu Tulang Haiwan (Bone China) juga telah dibicangkan pada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-99 yang bersidang pada 4-6 Mei 2012.

Antara keputusan yang dicapai ketika itu adalah berdasarkan mazhab Shafie, sifat kenajisan babi masih kekal dalam produk bone china dan sifat najis tersebut tidak akan hilang kerana proses istihalah dianggap tidak berlaku.

Selain itu, mereka juga memutuskan  penggunaan bahan peralatan atau perhiasan yang dihasilkan daripada abu tulang haiwan (bone china) yang tidak halal, termasuk haiwan yang halal dimakan tetapi tidak disembelih mengikut hukum syarak adalah tidak diharuskan.

“Walau bagaimanapun, penggunaan peralatan dan perhiasan berasaskan abu tulang haiwan (bone china) yang halal dimakan dan disembelih mengikut hukum syarak adalah diharuskan,” jelas jawapan yang dimuat naik di laman Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sebelum ini.

Jadi kepada anda yang berhajat untuk mendapatkan set pinggan mangkuk yang diperbuat daripada bone china ini seeloknya anda memahami saranan yang telah diberikan pejabat mufti ini.

Tidak lupa juga, pastikan bahan-bahan yang digunakan untuk membuat produk-produk ini adalah halal dan sekiranya tidak menemui maklumat lanjut mengenainya adalah lebih baik untuk memilih produk yang sudah tidak menimbulkan rasa was-was dan ragu untuk kita menggunakannya.

Sebagai pengguna beragama Islam, produk yang mempunyai status halal adalah sangat dititik beratkan dalam kehidupan.

Seringkas-ringkas penapis air juga perlu disahkan halal sepertimana kami kongsikan sebelum ini. Klik pautan di bawah untuk membaca. 

JAKIM Wajibkan Pengesahan Status Halal Pada Penapis Air Sebelum Dijual

Isu Halal, Kerajaan China Larang Guna Tulisan Arab Pada Semua Kedai Makanan Muslim?

Majoriti Jenama ‘Bubble Tea’ Di Malaysia Tidak Halal?