Sebab semua orang cakap keadaan ekonomi sekarang agak gawat. Terutamanya para peniaga yang sedang menghadapi kemerosotan hasil perniagaan mereka. Cara paling mudah nak sedapkan hati, atau lebih tepat lagi, tak mahu salahkan diri sendiri, lebih mudah untuk salahkan keadaan ekonomi yang dikatakan gawat.

Keadaan ekonomi Malaysia tahun 2017

Sebelum kita teruskan pada isu asal artikel ini, elok kita lihat sedikit pasal keadaan ekonomi negara kita pada tahun 2017 ini.

Berdasarkan analisa beberapa pakar, ekonomi negara kita akan berkembang naik dalam lingkungan 4% pada tahun 2017. Mereka jangkakan ekonomi negara akan bertambah sedikit lagi kenaikannya kepada 4.4% menjelang tahun 2018.

Jika nilai matawang negara kita bertambah baik, ini akan lebih membantu perkembangan ekonomi negara kita. Harga minyak pun dijangka akan naik sedikit dari USD44 pada tahun 2016 kepada USD58 pada tahun 2017 ini.

Pada tahun lepas, industri pembuatan negara meningkat sebanyak 2.6%. Nilai eksport barangan ke negara Amerika kita meningkat sebanyak 9.7% pada 11 bulan pertama tahun lepas. Ekonomi negara Amerika dijangkakan akan bertambah baik lagi tahun 2017 ini, jadi dijangkakan nilai ekspot kita akan turut bertambah. Untuk makluman, negara Amerika merupakan negara ekspot ke-3 terbesar bagi Malaysia.

Satu lagi jangkaan postif adalah dalam industri pelancongan negara kita. Dijangkakan jumlah pelancong dari negara China akan bertambah pada tahun ini. Tahun lepas saja kita lihat kenaikan jumlah pelancong dari China sebanyak 26% dalam 8 bulan pertama 2016. Tahun ini dijangka akan bertambah lagi. Banyak kemudahan yang telah dirangka untuk membantu peningkatan jumlah pelancong dari China ke negara kita.

Kalau kita lihat kenyataan dari bank Dunia pula, mereka jangkakan peningkatan ekonomi negara kita pada tahun 2017 ini adalah sebanyak 4.3%. Mereka juga jangkakan ianya akan bertambah baik lagi kepada 4.5% pada tahun 2018.

Ada juga pakar yang buat analisa dan jangkakan ekonomi negara hanya akan berkembang sebanyak 3.8% sahaja. Ringkasnya ada bermacam-macam jangkaan yang telah dibuat oleh para pakar dengan membuat berbagai pertimbangan.

Saya tak bandingkan perkembangan ekonomi negara kita dengan negara jiran lain seperti Indonesia dan lain-lain kat sini. Pembaca boleh nilai sendiri keadaan negara kita sepanjang tahun 2016 dan cuba agak apa yang bakal dilalui pada tahun 2017 berdasarkan unjuran yang saya sebutkan di atas tadi.

Dari nilai tinggi dan rendah tadi mungkin kita boleh rumuskan keadaannya secara purata mungkin akan sama sahaja. Yang pastinya majoriti besar rakyat negara kita akan masih kekal berhati-hati memandangkan pasaran kerja yang tidak berkembang dan kenaikan jumlah gaji yang tidak memberansangkan.

Jadi gawat ke tak gawat ?

Bagi usahawan, kita terpaksa hadapi keadaan ini dengan merangka strategi yang sentiasa relevan untuk perniagaan kita. Sebab itu dalam tajuk kat atas tu saya tambahkan ayat, ‘yang sentiasa relevan’.

6 strategi niaga waktu gawat

Sekarang kita lihat apakah 6 strategi niaga waktu gawat yang anda perlu buat bermula dari sekarang.

1. Simpan duit tunai walau dengan apa cara sekalipun

Ini strategi yang sentiasa relevan dalam apa keadaan sekalipun. Amalan untuk pastikan perniagaan anda sentiasa ada simpanan yang mencukupi beberapa bulan dalam akaun bank perlu sentiasa dijadikan budaya kekal.

Samada bisnes anda ok atau tidak ok, sila simpan tunai dalam bank sebagai langkah berwaspada kalau-kalau berlaku sesuatu yang tidak diduga. Kalau tak ada duit langsung, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, itulah yang menimbulkan masalah yang agak besar.

Apa taktik yang perlu anda buat supaya boleh simpan cash beberapa bulan dalam akaun bank perniagaan anda ? Fikirkan sendiri. Yang boleh saya beritahu di sini adalah sentiasa pastikan bisnes anda mencatatkan peratusan keuntungan yang mencukupi. Jadi kesimpulannya kena buat akaun dan pantau duit keluar dan masuk.

2. Ushar perkembangan pesaing

Ada saranan dari usahawan hebat supaya jangan nak peduli pada pesaing. Warren Buffet berfalsafah bahawa dia hanya lihat apa yang dia boleh buat supaya menjadi lebih baik. Bagi orang yang tak pernah jatuh miskin dan empayar bisnesnya sentiasa dalam senarai terbaik dunia boleh kata macam tu.

Resam orang duduk kat depan memang tak perlu nak toleh belakang untuk ushar pesaing sebab mereka sentiasa bagus. Apatah lagi mereka sentiasa berusaha jadi lebih baik dari yang sebelumnya.

Tapi bagi peniaga kecil ciput macam kita, tak boleh pakai sangat nasihat tersebut melainkan kita merupakan nombor satu dalam pasaran perniagaan yang sedang kita jalankan. Kalau bukan nombor satu, maka kena semak-semak sentiasa apa perkembangan pesaing.

Bila kita tahu apa yang pesaing buat, baru boleh kita merangka bisnes kita supaya berbeza dari segi produk dan tawarannya. Kita boleh cuba merampas pasaran niche yang tidak dilayan oleh pesaing dengan baik.

Untuk jadikan perniagaan kita sentiasa mendapat permintaan yang berlebihan, cara mudahnya adalah dengan melayan pelanggan yang suka dan selesa dengan apa yang kita tawarkan sebaik mungkin. Ertinya mantapkan perhubungan pelanggan setia kita yang sudah dikenal pasti.

3. Sentiasa dengar maklum balas pelanggan dan bertindak pantas

Untuk realisasikan strategi nombor 2 di atas tu, perkara no. 3 ini wajib dilakukan. Dengar dan dengar dengan hati terbuka dan berminda waras. Pastikan pelanggan setia anda dilayan macam raja dan ambil peduli apa saja maklum balas mereka.

Biasanya mereka jarang berikan maklumat melainkan anda ada satu mekanisma untuk membuatkan mereka berikannya secara rela dan suka. Jadi rangka taktik supaya pelanggan sentiasa berikan maklum balas.

Salah satu cara terbaik adalah dengan buat tawaran 100% jaminan jika tak puas hati. Bila ada jaminan begini, pelanggan yang tak puas hati akan ambil peluang jika ada masalah yang dia tak boleh terima. Syaratnya adalah pastikan mereka isi borang maklumat nyatakan apa yang tidak puas hati itu.

4. Membesar secara organik

Jangan membesar terlalu pantas. Jangan terus tembak pasaran yang terlau besar. Buat sasaran perkembangan secara sederhana.

Baru bisnes dalam RM100 ribu dah nak terus belasah tingkatkan kepada RM1 juta ! Jangan buat macam tu. Kata orang biarlah pembesaran berlaku secara organik.

Melainkan anda tercangkul ketulan emas dengan nilai RM5 juta tepi tangga rumah anda. Kalau tidak, tak perlulah nak hutang bank bertimbun-timbun untuk besarkan bisnes anda secara paksaan.

Serang perlahan-lahan dan sentiasa belajar dan belajar uruskan bisnes anda dengan lebih baik.

5. Sentiasa buat kajian terhadap produk dan perkhidmatan baru dan terkini

Ini perlu sentiasa dilakukan terutamanya terhadap produk atau servis yang boleh membantu anda menjalankan perniagaan jauh lebih cekap dan hebat.

Apa apps baru yang ada dipasaran. Apa kemudahan servis yang ada yang anda boleh sub sebahagian kerja yang tidak bernilai tinggi kepada pihak ke-3. Jika anda boleh kuragkan masa terhadap urusan kerja yang tidak bernilai tinggi, masa terluang itu boleh difokuskan kepada urusan penting yang lebih mendatangkan hasil tinggi kepada bisnes.

Contohnya seperti urusan bayar gaji dan bayaran kepada pembekal. Boleh berikan kepada pihak bank untuk jalankan kerja tersebut. Kerana akaun yang ada boleh digunakan sepenuhnya untuk kejar bayaran dari pelanggan.

6. Sentiasa bersedia untuk buat perubahan

Ini penting yang amat ! Dunia sentiasa berubah. Permintaan dalam pasaran juga sentiasa berubah. Tujuan anda berniaga adalah untuk tunaikan permintaan pelanggan dan selesaikan masalah mereka.

Bisnes bukan untuk penuhkan selera nafsu anda sendiri. Atau ayat mudahnya, jangan asyik nak syok sendiri sampai terleka.

Untuk itu, sentiasa buat analisa 80/20 yang selalu saya sebutkan dalam banyak artikel sebelum ini. Ini bagi membuat analisa perubahan ketara dalam bisnes anda. Ini juga boleh membuatkan anda sedar mana produk terbaik dan mana produk terburuk yang tidak menjana keuntungan.

Kalau produk itu terburuk sedangkan anda sendiri amat mencintai produk itu secara peribadi, jangan tertipu. Ikut pasaran dan permintaan dan jangan layan keseronokkan peribadi anda.

Contohnya jika anda gila race dan amat pandai ubah suai kereta supaya jadi kereta lumba. Dalam masa yang sama anda juga perlu buat kerja umum dalam servis kenderaan. Jika ubah suai kereta lumba tidak membantu dalam menjadikan bisnes bengkel kereta anda maju, bersedia untuk berubah.

Ingat ! Bisnes dengan hobi adalah dua perkara yang berbeza!

Baca juga: 9 Bisnes Yang Meningkat Naik Ketika Kegawatan Ekonomi