Salah satu strategi membesarkan bisnes adalah dengan membeli syarikat-syarikat lain.

Ini adalah amalan lazim dalam kalangan syarikat-syarikat antarabangsa yang sudah bertaraf gergasi.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Mereka tidak berminat memulakan bisnes baru dari kecil. Proses itu sangat lambat. Mereka lebih suka membeli syarikat lain. Syarikat yang bagus dibeli adalah syarikat yang membuat keuntungan.

Malah, apabila kita mahu menjual saham, kita perlu tunjukkan bahawa syarikat kita membuat keuntungan. Baru saham syarikat kita bernilai tinggi dan mudah dijual.

Ini adalah logik bisnes yang biasa.

Syarikat gergasi membeli syarikat rugi

Banyak berlaku syarikat gergasi membeli syarikat lain yang dalam keadaan kerugian dan menanggung hutang yang banyak.

Lazimnya syarikat gergasi besar membeli syarikat gergasi lebih kecil yang mengalami masalah kewangan.

Mereka membeli syarikat macam itu apabila jumlah hutangnya tidak terlalu besar, sehingga kewangan syarikat itu dapat dipulihkan. Ini pun adalah logik bisnes yang biasa.

Apabila syarikat gergasi super besar nazak

Lazimnya, apabila berlaku kes di mana syarikat gergasi super-besar yang dalam keadaan rugi teruk dan sedang nazak, maka tidak ada syarikat gergasi super-besar lain yang mahu membeli syarikat macam ini.

Itulah yang berlaku kepada syarikat pengeluar kenderaan Nissan pada suatu masa dahulu.

Syarikat itu dalam keadaan nazak. Ia sudah cuba dijual kepada syarikat-syarikat pengeluar kenderaan Jepun yang lebih besar, tetapi tidak ada yang mahu membelinya.

Kerugian Nissan

Waktu itu jumlah kerugian Nissan sudah USD20 bilion. Bank-bank yang mendukung Nissan tidak mahu membantu lagi. Malah semua 15 buah bank terbesar di Jepun, tidak ada yang mahu membantu lagi.

Nissan kemudian cuba dijual kepada syarikat pengeluar kenderaan di Eropah dan di Amerika yang lebih besar. Tidak ada yang mahu membeli Nissan.

Isunya adalah hutang Nissan yang terlalu besar iaitu USD20 bil.

Kehadiran syarikat gergasi kecil

Renault adalah sebuah syarikat pengeluar kenderaan yang bertaraf ‘gergasi kecil’. Pemegang saham utamanya adalah kerajaan Perancis.

Waktu itu CEO Renault adalah Carlos Ghosn. Beliau sangat berminat mahu membeli Nissan.

Lembaga Pengarah Renault menganggap Ghosn ‘gila’. Risiko pembelian itu tidak masuk akal mereka.

Selepas ALP Renault tidak menyokong ideanya, dia berusaha lebih keras bagi membuat pembentangan strategi bisnes khusus kepada mesyuarat para pemegang saham Renault.

Kepada pemegang-pemegang saham Renault itu, Ghosn menerangkan strategi bagaimana beliau akan memulihkan Nissan.

Ghosn mahukan Nissan

Ringkasnya, inilah rasional Ghosn mahu membeli Nassan yang nazak itu.

Sebelumnya, Renault pernah membeli syarikat pengeluar kenderaan yang lebih kecil. Harga pembelian itu murah. Ia dibeli dengan keyakinan kewangan syarikat kecil itu dapat dipulihkan. Apa yang berlaku adalah sebaliknya. Syarikat itu tidak dapat diselamatkan.

Bagi Ghosn, di situlah Renault patut belajar suatu pelajaran bisnes yang sangat penting. Jangan membeli syarikat pengeluar kenderaan kecil-kecil. Tak guna! Membakar duit sia-sia sahaja.

Logik Ghosn

Bagi Ghosn, Renault patut membeli pengeluar kereta yang besar macam Nissan.

Pada masa itu, walaupun kewangan Nissan dalam nazak, tetapi dalam senarai ranking pengeluar kereta seluruh dunia, Nissan berada pada tempat ke-5 terbesar.

Renault pula hanya menjual keretanya di Perancis sahaja. Ia tidak mampu menjual keretanya di pasaran dunia. Berbeza dengan Nissan yang berada pada ranking ke-5 di dunia.

Strategi bisnes Ghosn

Dalam strategi bisnes Ghosn, dengan membeli Nissan, Renault sebenarnya membeli pasaran Nissan. Pasaran Nissan itulah yang sangat diperlukan oleh Renault.

Apabila Renault akhirnya membeli Nissan, Ghosn menutup 5 buah kilangnya dan membuang 21,000 orang pekerja.

Kemudian, apabila Nissan berjaya dipulihkan, ia mencipta lebih banyak peluang pekerjaan. Pekerja yang dulu dibuang dapat diambil semula.