Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Nota Editor: Terima kasih kepada Tuan Shahmuzir kerana sudi berkongsi penulisan ini di Vocket. Semoga penulisan ini membantu anda menyucikan hasil dana KWSP sendiri.

BACA: Pernah Berlapar, Wanita Ini Bakal Meluaskan Empayar Fesyen Muslimah Ke China (Bahagian 2)

Kaedah Untuk Menyaring Dana Daripada KWSP

Saya rasa ramai telah maklum bahawa pelaburan KWSP memang tidak menepati syariah Islam. Ia isu lama yang belum diselesaikan hingga kini dan sukar untuk diselesaikan melainkan dengan iman yang sangat tinggi di kalangan pemimpin-pemimpin kita.

Surat ini dengan jelas menyatakan ketidakpatuhan syariah dana KWSP (sumber web Ustadz Zaharuddin).

kwsp
kwsp

Hendak keluarkan semua memang tidak boleh melainkan telah sampai umur persaraan. Tetapi kalau hendak keluarkan sebahagian memang boleh berdasarkan syarat-syarat yang telah ditentukan oleh KWSP. Silalah merujuk kepada KWSP.

Sudah tentulah apabila duit di dalam KSWP lama disimpan dan dilaburkan di dalamnya, maka bercampur-campurlah antara yang halal, syubhah dan yang haram.

Yang halal berpunca daripada duit caruman kita dan majikan serta pelaburan-pelaburan yang halal yang dilakukan oleh KWSP. Manakala yang haram berpunca daripada pelaburan-pelaburan yang tidak patuh syariah.

Jadi, bagi orang yang beriman tentunya mereka tertanya-tanya bagaimana agaknya hendak memisahkan antara yang halal dan haram setelah duit di dalam dana tersebut beranak-pinak secara compounding sekian lama?

Tentu melibatkan pengiraan yang kompleks. Dan ini pastinya menyusahkan orang awam yang mahu menitik beratkan soal halal dan haram ini.

Kaedah Pengiraan

Alhamdulillah, semalam Ustadz Dr Zaharuddin di dalam sebuah program di Shah Alam berkongsi kaedahnya. Saya sangat tertarik akan perkongsian tersebut.

Menurut beliau, hasil daripada penelitian beliau dan rakan beliau terhadap beberapa sampel dana KWSP individu yang dikaji, dapat disimpulkan bahawa 65% dari jumlah keseluruhan ialah milik pokok peserta yang terhasil daripada caruman peserta dan majikan. Bahagian ini halal dan boleh digunakan oleh peserta.

Manakala baki 35% lagi adalah hasil daripada pelaburan yang bercampur-campur antara yang halal dan haram. Ini bermakna masih ada dana yang halal dalam 35% ini yang boleh diambil darinya. Bukan boleh ambil semua.

Tapi mesti dibuat pembersihan terlebih dahulu. Menurut beliau ada dua kaedah pengasingan duit syubhah dan haram daripada dana KWSP seseorang individu:

  • Kaedah pertama: 70% daripada baki 35% tersebut ialah dari pelaburan tidak patuh syariah. Mesti dilupus.

  • Kaedah kedua: 52% daripada baki 35% tersebut ialah daripada pelaburan tidak patuh syariah. Mesti dilupus.

Kaedah pertama adalah hasil daripada kajian beliau dan rakan-rakan beliau. Manakala kaedah kedua diperolehi daripada seorang tokoh lain yang beliau tidak sebut namanya. Kedua-dua kaedah tersebut boleh dipakai dan telah dikaji oleh pihak yang layak.

Jangan tanya saya macam mana boleh dapat nombor-nombor ini. Kena tanya al-fadhil Ustadz Dr Zaharuddin. Saya cuma menukilkan sahaja hasil daripada perkongsian beliau. Dan saya rasa ini maklumat yang bagus untuk dikongsi.

Contoh Pengiraan

Katakan peserta A mempunyai dana KWSP sebanyak RM500,000 di akhir tempoh carumannya. Dan beliau ingin mengeluarkan semuanya.

Jadi duit pokok beliau (caruman sendiri + majikan) ialah:

= 65% x RM500,000

= RM325,000

Bermakna jumlah pokok yang halal ialah RM325,000. Jumlah ini boleh dimanfaatkan.

Manakala baki 35% pula:

= 35% x RM500,000

= RM175,000

Jumlah RM175,000 ini perlu disaring terlebih dahulu kerana jumlah tersebut bercampur-campur antara yang halal dan haram.

Terpulang kepada peserta A samada mahu memilih kaedah pertama atau kedua.

Kaedah Pertama

Jika beliau pilih kaedah pertama, maka 70% dari baki iaitu berjumlah RM175,000 perlu dilupuskan kerana ia bersumberkan dana tidak patuh syariah.

Bermakna beliau hanya berhak terhadap 30% daripada jumlah RM175,000 tersebut. Jadi, pengiraannya seperti berikut:

= 30% x RM175,000

= RM52,500.

Maka apabila dijumlahkan semuanya, jumlah yang boleh beliau ambil untuk diri sendiri ialah:

= RM325,000 + RM52,500

= RM377,500

Kaedah Kedua

Jika beliau pilih kaedah pertama, maka 52% dari baki iaitu berjumlah RM175,000 perlu dilupuskan kerana ia bersumberkan dana tidak patuh syariah.

Bermakna beliau hanya berhak terhadap 48% daripada jumlah RM175,000 tersebut. Jadi, pengiraannya seperti berikut:

= 48% x RM175,000

= RM84,000.

Maka apabila dijumlahkan semuanya, jumlah yang boleh beliau ambil untuk diri sendiri ialah:

= RM325,000 + RM84,000

= RM409,000

Itulah contoh pengiraannya.


Sebagai kesimpulan, kita mempunyai 3 pilihan sebenarnya:

  1. Ambil 65% untuk diri kita dan lupuskan 35%.

  2. Ambil 65% untuk diri kita dan lupuskan 70% daripada baki 35% (kaedah pertama).

  3. Ambil 65% untuk diri kita dan lupuskan 52% daripada baki 35% (kaedah kedua).

Tuan/puan boleh baca tulisan ini untuk memahami bagaimana duit yang syubhah dan haram boleh dilupuskan:

Infaq Jariah & Pelupusan Harta Haram

Allahu A`lam.

Semoga perkongsian ini ada manfaatnya. Jika terdapat kesilapan, mohon diberikan teguran.

Semoga ALLAH mengampunkan dosa-dosa kita dan menyelamatkan kita daripada api neraka, Amin.

BACA: Tip ‘A to Z’ Kejayaan Bella Ammara Ditubuhkan Dan Beroperasi Tanpa Pinjaman Bank

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram

Anda Mungkin Suka