Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menitahkan kerajaan negeri Johor supaya menukar semula nama daerah Kulaijaya kepada nama asalnya, Kulai dengan serta-merta.

Sultan Ibrahim bertitah walaupun nama sesebuah kampung atau tempat bunyinya agak pelik, ia hendaklah dikekalkan.

“Di Johor, saya ingatkan kepada kerajaan di bawah Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, nama sesebuah kampung atau tempat telah diberikan oleh nenek moyang kita dahulu mengikut kesesuaian dan sejarahnya.

“Walaupun namanya berbunyi agak pelik, nama tersebut hendaklah dikekal dan jangan diubah. Bagi tujuan ini, kerajaan hendaklah buat perubahan kepada dokumen hak milik dan lain-lain dokumen secara percuma,” titah baginda ketika merasmikan Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil di Ibu Pejabat Polis Kontinjen, di sini, Jumaat.

Daerah Kecil Kulai sebelum ini telah dinaikkan taraf kepada sebuah daerah pada 21 Jun 2008 dan ditukar namanya kepada Kulaijaya dan pengisytiharannya dibuat oleh sultan Sultan Iskandar, sultan Johor ketika itu.

Berdasarkan rujukan di portal Majis Perbandaran Kulai, terdapat dua versi tentang asal-usul Kulai.

Pertama, ia dikatakan daripada perkataan Gui Lai yang bermaksud ‘kedatangan kura-kura’, yang dikaitkan dengan kemunculan berpuluh-puluh ekor kura-kura menghala ke pekan ketika peristiwa banjir tahun 1920.

Terdapat juga versi menyatakan Kulai mendapat namanya daripada “Tengku Lai” yang membawa maksud “Tengku datang” yang datang ke Kulai untuk mengutip cukai dan berburu.

Sultan Ibrahim turut bertitah supaya kerajaan negeri memikirkan dan meneliti nama yang sesuai bagi kawasan Nusajaya yang merupakan pusat pentadbiran baharu kerajaan negeri Johor kerana nama tersebut tidak mempunyai kaitan dengan sejarah kawasan itu.

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram

BACAAN SETERUSNYA

© 2018 Vocket Media Sdn Bhd (1173405-W). Dibuat dengan cinta di Damansara ❤