DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dan keluarga DiRaja Johor sememangnya diketahui dengan sikap mereka yang mesra rakyat dalam kalangan masyarakat.

Tidak sahaja cakna dengan apa-apa perkembangan sama ada di Johor dan dalam negara, beliau pada hari ini turut berkongsikan perkhabaran gembira dengan menghadiahkan sepuluh buah kereta kepada jururawat di Hospital Sultanah Aminah.

Berkongsi perkara tersebut di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, pengurniaan sepuluh unit MyVi berwarna biru itu adalah bagi menzahirkan penghargaan di atas perkhidmatan para jururawat kepada beliau dan Keluarga DiRaja Johor.

Salah seorang penyelia jururawat, Matron Rokiah Samin yang bertugas di Wad Diraja HSA sejak tahun 2006, melahirkan perasaan syukur di atas kurniaan berkenaan.

“Mewakili mereka yang lain, saya menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Baginda Tuanku Sultan di atas kurniaan ini.

“Besar sungguh nilainya kepada kami semua, dan kami juga sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kesihatan DYMM Sultan Johor serta Keluarga Diraja Johor,” katanya kepada Royal Press Office (RPO) pada hari ini (29 September).

Kesemua kereta Perodua MyVi berwarna biru itu dilaporkan disampaikan kepada penerima melalui satu majlis yang diadakan di Larkin, Johor Bahru hari ini.

Pengurniaan tersebut yang dikongsikan di media sosial turut menerima pujian daripada netizen dengan rata-rata turut mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada jururawat yang telah berkhidmat dengan baik selama ini.

“Tahniah, satu penghargaan yang tidak ternilai. Terima kasih kepada para jururawat di atas kerjasama yang telah diberikan. Alhamdulillah dan bersyukur dengan Sultan Johor yang prihatin,” komen salah seorang netizen di hantaran tersebut.

“Bagai bulan jatuh ke riba tu, Alhamdulillah rezeki tak salah alamat, syukur atas kurniaan tu, bukan semua orang beruntung,” tambah seorang lagi netizen.

Baca juga perkongsian kami mengenai pengurniaan jam tangan mewah oleh Tunku Mahkota Johor kepada para pemain bola sepak Johor Darul Ta’zim sebelum ini di pautan di bawah.

TMJ Kurniakan Jam Tangan Rolex Buat Pemain Dan Staf JDT

‘Buah Jatuh Tidak Jauh Dari Pohonnya’- TMJ Kongsi Pesanan Berguna Dalam Mendidik Anak

TMJ Pemilik Sebenar Istana Dalam ‘Crazy Rich Asians’ Yang Bernilai RM14 Bilion