Baru-baru ini isu berkenaan haiwan terbiar semakin hangat dibincangkan oleh ramai pihak terutama sekali apabila terdapat video atau gambar yang dimuat naik menunjukkan haiwan terbiar ini diseksa oleh golongan yang tidak bertanggungjawab.

Perkara tersebut telah mendapat perhatian pasangan diraja ini iaitu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj serta Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menerusi perkongsian Selangor Royal Office di laman Facebook.

Menerusi perkongsian tersebut, baginda telah menzahirkan rasa dukacita kerana terdapat ramai pihak yang bertindak berlaku kejam terhadap haiwan liar terutama sekali sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijalankan.

Dalam pada itu baginda turut menitahkan supaya ramai pihak untuk memiliki sifat belas kasihan terhadap haiwan sebegini kerana ia telah menjadi tanggungjawab bersama untuk memberi mereka makanan serta perlindungan tidak kiralah ketika mereka di dalam peliharaan atau pun apabila mereka berada di dalam habitat sendiri.

“Baginda sendiri kini telah memelihara beberapa ekor kucing terbiar yang telah diberi perlindungan secukupnya.

“Ini termasuklah Snowy, seekor kucing terbiar yang pada mulanya datang ke kediaman baginda empat tahun lalu untuk mencari makanan, namun diambil sebagai haiwan angkat di atas inisiatif baginda sendiri,” menerusi perkongsian Selangor Royal Offcie di laman Facebook.

Menurut baginda, dengan kaedah pengambilan haiwan terbiar sebagai haiwan angkat (adopt), haiwan terbiar ini boleh dijadikan sebagai haiwan peliharaan jika diberi rawatan dan penjagaan yang rapi.

Jadikan negara Turki sebagai contoh

Sultan Sharafuddin turut menitahkan agar pihak-pihak berkuasa tempatan (PBT) bertindak lebih pro-aktif dan bijak menangani isu haiwan terbiar ini secara holistik, dan bukan memberi gambaran buruk yang akhirnya akan menyebabkan haiwan-haiwan ini dikurung atau dibunuh.

“Baginda mahu PBT jadikan negara Turki sebagai model. Lihat bagaimana pihak berkuasa negara itu mengendalikan haiwan-haiwan terbiar yang tidak berdosa ini daripada dizalimi.

“Baginda amat berharap agar rakyat dan seluruh komuniti khususnya di Selangor dan di Malaysia, terus menyemai sifat belas kasihan dan sayangkan haiwan-haiwan terbiar ini serta mengambil berat tentang hak dan kebajikan haiwan seumpamanya,” menerusi hantaran yang dibuat di laman Facebook tersebut.

Di kesempatan itu, baginda turut mengingatkan rakyat jelata agar terus mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di bawah PKP, termasuklah memakai pelitup muka serta keluar rumah apabila perlu bagi membendung wabak berbahaya COVID-19 daripada terus menular.

Baca perkongsian kami yang terdahulu mengenai kisah gadis ini yang bertemu Sultan Perak di kedai buku melalui pautan di bawah.

Rendah Diri Dan Peramah, Gadis Ini Kongsi Kisahnya Bertemu Sultan Perak Di Kedai Buku

Sultan Johor Kurniakan 10 Myvi Buat Jururawat Wad Diraja HSA Sebagai Tanda Penghargaan

Wak Doyok Mengaku Tidak Bersalah Guna Lambang Sultan Johor, Berdepan Denda RM500,000

Sumber