Cerpen ini diinspirasikan daripada kisah benar dan bermotifkan nasihat dan pengajaran kepada peminjam-peminjam PTPTN.

Semoga boleh dijadikan inspirasi dan sempadan kepada semua peminjam PTPTN yang tidak menjelaskan hutang pinjaman.

hutang-ptptn-2

‘SUMPAHAN PTPTN’

Hati Mamat rasa berbunga-bunga. Dia merasa sangat gembira, belum pernah dia rasa segembira ini. Isterinya yang berada di sebelah asyik tersenyum tak henti-henti.

Baru sebentar tadi dia telah menyerahkan sejumlah wang pendahuluan kepada seorang perunding hartanah di hadapan rumah idamannya sambil disaksikan oleh isteri dan anak-anak mereka sebagai tanda setuju.

Sudah beberapa tahun Mamat dan isteri berjimat cermat untuk mengumpul wang bagi membeli rumah idaman mereka sekeluarga. Mereka gigih berjimat-cermat dan menyimpan.

Isteri Mamat turut berniaga online secara sambilan untuk menambah pendapatan. Semuanya demi hari ini. Kini segala pengorbanan itu telah berhasil.

Akhirnya mereka sudah memiliki cukup wang untuk membayar deposit rumah yang mereka hajati. Bukan sekadar itu, mereka juga berjaya menyimpan lebihan wang untuk membuat sedikit ubahsuai kepada rumah itu nanti.

Sudah lama isteri Mamat menyuarakan hajatnya untuk memiliki sebuah dapur sempurna lengkap dengan kabinet dapur yang moden dan cantik.

Kini rumah yang selama ini mereka impikan sudahpun ditemui. Cantik. Bersesuaian pula dengan bajet mereka. Lokasi pun strategik, dekat dengan sekolah.

Mudahlah bagi Mamat menghantar anak-anaknya ke sekolah setiap hari. Taman permainan pula hanya beberapa meter dari pagar rumah.

Hanya itu satu-satu rumah seumpamanya di kawasan ini. Mamat tak mahu terlepas peluang memiliki rumah itu. Dia mesti bertindak cepat.

Mamat berasal daripada sebuah keluarga susah. Keluarganya di kampung tinggal di sebuah rumah pusaka yang usang. Adik-beradiknya ramai. Mereka sekeluarga terpaksa membesar dengan bersempit-sempit di rumah yang buruk itu.

Mamat tidak mahu anak-anaknya mengalami nasib yang sama seperti dirinya. Biarlah dia seorang sahaja yang pernah merasa susah. Dia mahu keluarganya hidup selesa seperti orang-orang lain.

Usai meletakkan wang pendahuluan dengan ditemani oleh perunding hartanah, Mamat bergegas ke pusat bandar untuk menyerahkan permohonan pembiayaan kepada beberapa buah bank.

Tujuannya supaya dia boleh memilih bank mana yang menawarkan kadar pembiayaan yang paling murah. Dokumen di tangannya telah dipastikan lengkap semuanya.

Berkali-kali Mamat membuat semakan untuk memastikan tiada apa yang kurang. Dia yakin permohonannya pasti berjaya kerana rekod kewangannya baik. Pendapatannya sebagai seorang pengurus agak selesa. Tiada sebab untuk bank menolak permohonannya.

Kini apa yang Mamat boleh buat ialah tunggu sahaja panggilan daripada bank untuk tandatangan surat tawaran pembiayaan. Mamat sekeluarga sudah tak sabar-sabar untuk pindah ke rumah baru mereka.

Setiap hari selepas pulang dari tempat kerja, dia dan isterinya pasti akan lalu di hadapan bakal rumah barunya. Mamat akan memberhentikan keretanya di bahu jalan dan mereka berdua akan berbincang berkenaan perancangan mereka untuk mengubahsuai rumah itu.

Sudah 4 minggu berlalu sejak dia membuat permohonan pembiayaan bagi rumah barunya. Pagi ini Mamat masuk ke pejabat seperti biasa.

Dia terus duduk di hadapan mejanya dan membuka komputer. Sedang Mamat sibuk membaca emel di komputernya, telefon bimbit Mamat berdering.

“Assalamualaikum encik Mamat, saya membuat panggilan daripada Bank X berkenaan dengan status permohonan pembiayaan perumahan encik tempoh hari”, terdengar suara seorang wanita muda di corong telefon.

Mamat terus melonjak kegembiraan dari kerusinya. Sudah 4 minggu dia menantikan panggilan ini dan sekarang saat itu telah tiba.

Wanita itu meneruskan percakapannya, “… maaf kerana permohonan encik Mamat terpaksa kami tolak kerana menurut rekod di CCRIS menunjukkan yang encik Mamat ada tunggakan PTPTN selama 180 bulan berjumlah RM72,000.

Encik perlu jelaskan tunggakan ini secara keseluruhan, dapatkan surat pengesahan bayaran daripada PTPTN dan buat permohonan semula selepas 12 bulan.” Wanita itu meneruskan penjelasannya secara terperinci kepada Mamat yang sedang terkaku.

hutang-ptptn-3

Hancur luluh hati Mamat mendengar maklumbalas daripada wanita itu. Selepas meletakkan telefonnya dia tersandar di kerusi, pandangannya gelap seketika.

Mana hendak dia cari wang sebanyak itu dalam tempoh yang singkat. Jika dia mengunakan wang simpanannya, tiada lagi wang yang boleh digunakan untuk membuat bayaran deposit dan caj guaman.

Andainya boleh pun, dia terpaksa pula menunggu selama 12 bulan untuk mencantikkan kembali rekod CCRIS nya yang kini sudah buruk.

Baca: Ini Cara Peminjam PTPTN Bebas Dari Rekod Buruk CCRIS

Menurut kata perunding hartanahnya tempoh hari, sekiranya dia gagal membuat pembiayaan dan menandatangani surat perjanjian jual beli, wang depositnya akan hangus kerana sudah melepasi tempoh 14 hari bekerja untk mendapatkan pembiayaan.

Tuan rumah pula sudah ada pembeli-pembeli lain yang menunggu giliran untuk membeli rumah itu sekiranya Mamat menarik diri.

Kini dia merasa kesal sekesal-kesalnya. Mengapalah selama ini dia tidak pernah ambil peduli untuk menjelaskan ansuran pinjaman PTPTN nya sedangkan dia mampu.

Bukannya dia tidak pernah terima surat peringatan, tapi Mamat buat tidak tahu sahaja walaupun berulang kali dia diingatkan oleh isterinya supaya bayar tepat pada waktunya.

Dia ambil remeh, padanya hutang PTPTN nya bukan satu perkara penting.

Akibatnya kini, dia terlepas peluang untuk memiliki rumah idamannya. Pasti isterinya akan bising. Pemilik sudah membatalkan penjualan rumah itu, wang mukanya hangus begitu sahaja.

Rumah idamannya kini bakal jadi syurga orang lain. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Ini bakal jadi pengajaran paling berharga pada dirinya.

Dia nekad tidak mahu nasibnya berulang kepada kawan-kawan dan ahli keluarganya yang lain. Mamat terus menangis keseorangan.

Baca lagi: Terkejut Dengan Tunggakan, Lelaki Ini Dedah Cara Beliau Urus Hutang PTPTN