Menurut satu laporan oleh CNN, seorang wanita Pennsylvania berusia 49 tahun menunjukkan kehadiran sejenis jangkitan E. coli yang jarang berlaku, kes pertama yang diketahui seumpamanya di Amerika Syarikat. Ia adalah superbug yang kalis kepada banyak antibiotik, malah, ia kalis kepada Colistin, iaitu antibiotik terakhir yang akan doktor gunakan apabila antibiotik-antibiotik lain gagal.

Kes itu telah diperincikan dalam satu laporan oleh Jabatan Pertahanan U.S. pada hari Khamis. Pengarah Pusat Kawalan Dan Pencegahan Penyakit (CDC) Dr. Tom Frieden bercakap mengenai kes tersebut di Kelab Akhbar Kebangsaan di Washington.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Wanita itu berkunjung ke sebuah klinik di Pennsylvania, dan sampel air kencing telah diambil dan dihantar ke Pusat Perubatan Walter Reed National Military. Walter Reed mendapati terdapat bakteria di dalam air kencingnya. Tidak ada sebarang petunjuk bagaimana bakteria masuk ke dalam sistem badan wanita itu. Dia tidak mengembara ke luar negara dalam tempoh lima bulan yang lalu.

CDC dan Jabatan Kesihatan Pennsylvania menggerakkan pasukan untuk menyiasat kes itu dengan segera dan sedang mengesan jejak perjalanan pesakit untuk mengenal pasti sama ada bakteria telah merebak atau tidak.

Wanita itu dirawat dan dilepaskan dan tidak mempunyai masalah perubatan yang lain, menurut Dr. Alex Kallen, seorang pegawai perubatan dengan CDC.

CDC berkata ia sedang menyiasat sama ada terdapat kes-kes lain dalam fasiliti kesihatan lain yang telah dikunjungi pesakit.

Jangkitan akibat bakteria itu telah dikenal pasti di luar Amerika Syarikat. Doktor sedang meneliti kes-kes di Eropah, Kanada dan China.

Jabatan Pertanian U.S. juga menjumpai satu terikan E. coli kalis Colistin dalam satu sampel usus babi, menurut satu kenyataan oleh Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia. USDA sedang menentukan dari ladang mana babi itu datang dan melihat sama ada terdapat haiwan-haiwan lain turut terjejas.

Kedua-dua kes disifatkan CDC sebagai ‘tanda amaran, dan bukannya malapetaka’, menurut Kallen.

Antara kebimbangan lain ialah sifat E. coli tahan Collistin ini boleh berpindah ke bakteria lain yang bertindak balas hanya kepada Colistin, mewujudkan superbug yang tidak dapat dihalang.

Satu laporan menunjukkan bahawa jangkitan bakteria kalis antibiotik boleh menyebabkan kematian separuh pesakit yang dijangkiti.

Rintangan antibiotik telah menjadi masalah yang semakin meningkat di negara Amerika Syarikat. Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah memberi amaran bahawa ia adalah salah satu ancaman terbesar kepada kesihatan global hari ini.

Frieden memberi amaran bahawa walaupun ini adalah kes pertama di Amerika Syarikat, kita patut bersedia melihat lebih banyak superbug dalam masa terdekat. Frieden sering memberi amaran kepada doktor tentang penggunaan antibiotik berlebihan, menggesa ahli-ahli sains untuk membangunkan ubat-ubatan baru dengan lebih cepat.

Setiap tahun di Amerika Syarikat, sekurang-kurangnya 2 juta orang dijangkiti dengan beberapa jenis bakteria yang tidak boleh diubati dengan pelbagai jenis antibiotik, dan sekurang-kurangnya 23,000 orang mati setiap tahun akibat jangkitan tersebut, menurut CDC.

“Ubat-ubatan di kabinet tidak cukup bagi sesetengah pesakit,” kata Frieden. “Ia adalah jalan mati melainkan jika kita bertindak segera. “

Sumber