Nota Editor: Ini adalah pendapat peribadi Dr. A, bukan The Vocket. Maka, artikel ini tidak berkaitan dengan The Vocket dan tidak mewakili pendapat The Vocket. Penulisan ini juga tidak disunting untuk mengelakkan sebarang percanggahan maklumat kecuali dinyatakan jika berbuat demikian. Harap maklum.

Gambar hiasan. forumbiodiversity.com
Gambar hiasan. forumbiodiversity.com

Untuk para pemuda negara: 
Bangkitlah para pemuda negara!

Salam 1 Malaysia buat semua pemuda Malaysia.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Ya, kamu! Tidak kira kamu itu Melayu, Cina atau India. Kamu Dusun, Murut atau Iban. Kamu lelaki atau wanita. Kamu agama apa sekalipun. Tulisan ini aku tujukan buat aku sendiri pertama-tamanya dan buat kamu.

Saudara saudari yang aku hormati, aku pasti keadaan negara kita sekarang membuat kau sedih dan kecewa. Negara kita dewasa ini penuh dengan tipu daya dan putar belit. Justeru, jiwa kita marak dengan api kemarahan. Marah dengan segala lakonan, fitnah memfitnah, tikam belakang, pengkhianatan dan kata nista.

Mengapa pemimpin ini begini dan mengapa beliau berbuat begitu?
Mengapa tidak dilakukan begitu dan begini?
Mengapa mereka harus masih memerintah?
Mengapa dikeluarkan kenyataan sebegitu yang tidak mencerminkan kematangan?
Mengapa masih bercakaran antara kita hanya kerana bangsa dan handphone?
Mengapa harga barang, minyak dan segalanya naik?
Mengapa dan mengapa?

Persoalannya untuk kita para pemuda…

Mengapa kita tidak melakukan apa daya kita untuk perbaiki keadaan warga dan negara ini?
Mengapa tidak kita selidiki suatu berita yang tidak kita pasti dan kemudian kita sebarkan?
Mengapa kita mudah terpengaruh dengan kenyataan orang tertentu membuta tuli?
Mengapa kita mudah bermain sentimen ke’bangsa’an dan ke’agama’an?
Mengapa tidak kita perkukuh pembacaan dan pengetahuan kita?
Mengapa kita tidak perhatikan sejarah negara kita dan dunia keseluruhannya?

Maka untuk itu, ingin sekali dengan kasihnya aku mengajak kamu merenung akan tiga hal ini:

1. Kepimpinan itu bermula dari kita.
2. Sejarah tidak harus tinggal sejarah.
3. Kesatuan adalah kunci kemenangan.

Wahai pemuda pemudi negara,

Lihatlah, bagaimana kepimpinan itu bukan perkara mudah. Kepimpinan adalah amanah yang berat bagi manusia yang sedar tanggungjawab yang dipikul di pundaknya. Tetapi, harus kau sedar kepimpinan itu bukan pada pemerintah negara yang menang pilihanraya sahaja.

Pemimpin itu kita. Kepimpinan itu milik kita.

Kitalah pemimpin diri, keluarga dan generasi kita. Kitalah pencorak negara. Pemimpin sekarang pasti berlalu masa dan waktu kegemilangan atau kesuramannya, dan kelak kitalah juga bakal menjadi pemimpin yang menggantikan mereka. Samada untuk negara, parti politik, negeri, parlimen, syarikat, bahkan ketua kampung.

Bila sekarang kita mengatakan pemimpin negara tidak adil, maka kita sendiri harus mengambil iktibar dan berusaha menjadi adil. Adil dalam memberi dan menerima pandangan. Adil dalam menghakimi sesiapa jua bahkan yang kita anggap musuh. Juga adil dalam menerima kekurangan dan kelemahan diri sendiri dan orang lain.

Jika kita kecewa dengan rendahnya nilai ketelusan hingga berleluasanya rasuah dan luputnya billion ringgit dari simpanan negara, maka kita sendiri harus telus dalam segala tindak tanduk kita. Jika kita sedih dengan lemahnya sistem pendidikan dan pentadbiran negara kita, kitalah yang seharusnya berusaha mempersiapkan diri kita dengan segala pengetahuan dan skill pengurusan kita. Secara mudahnya, mulakan pembaharuan negara kita dengan KITA.

“Keadilan takkan tertegak di muka bumi, selagi ia tidak tertegak dalam diri sendiri.”
“Be the change you wish to see in the world” -Mahatma Gandhi
Jangan hanya kita mahukan perubahan tapi kita sendiri tidak menjadi ajen perubahan.

Wahai generasi kebangkitan,

Sedarlah di hadapan kita sekarang sejarah sedang tercipta. Sejarah yang telah dan bakal merubah Malaysia, tanah air tercinta. Dua dekad ini penuh dengan bermacam peristiwa duka dan pahit.

Reformasi
MH17
PRU13
1MDB
TPPA
GHB
Nilai RM susut
Isu di Lowyat…

and the list goes on.

Tapi, yakinlah bahawa negara kita masih punya harapan. Masih punya nadi. Harapan dan nadi negara adalah kita para pemuda. Tapi perubahan baru tidak akan direalisasikan jika kita hanya menjadi penonton dan tukang sorak. Perubahan akan terjadi dengan syarat kita tidak lupa apa yang berlaku sekarang, belajar darinya dan berusaha memperbaiki kesilapan lama. Supaya pisang tidak berbuah dua kali. Sungguh, sejarah lampau punya satu mutiara hikmah. Sejarah itu sebenarnya mematangkan.

Malah terbukti, sejarah pasti berulang! Samada yang gemilang atau sebaliknya. Lihatlah peristiwa kegawatan ekonomi yang berlaku pada 1997, atau peristiwa 13 Mei, bagaimana situasi yang hampir sama berlaku sekarang dan mungkin bakal berlaku lagi. Maka kitalah yang memastikan sejarah pahit tidak berulang lagi. Untuk generasi kita dan generasi masa hadapan yang kembali akan melihat sejarah yang kita cipta.

Justeru, lengkapkanlah diri kita dengan ilmu pengetahuan terutamanya sejarah. Belajarlah dari pengalaman ini. Ambil peduli. Ambil tahu. Cari dari pelbagai sumber. Kaji, analisa dan sampaikanlah. Kajilah gerakan politik dunia, berjinaklah dengan sistem perundangan dan ekonomi dan belajarlah mengenali dan berkomunikasi dengan masyarakat. Gunakan segala teknologi yang sekarang dihujung jari untuk mencari kebenaran, dan suka aku ingatkan.. usahlah persiakan teknologi ini dengan menyebarkan propaganda dan berita palsu.

Wahai pejuang kebenaran,

Kenanglah kembali zaman kecil kita. Pernahkah kita melihat pada warna kulit dan agama untuk berkenal-kenalan? Bukankah anak-anak kecil itu colour-blind? Jadi mengapa status bangsa (dan agama) harus menjadi pemisah kita bila kita dewasa? Mengapa kita harus membiarkan kita semua dipisahkan dengan definisi cetek dan sempit ini? Bukankah kita ini berpijak pada tanah yang sama dan melihat langit yang sama? Bukankah kita ini sama-sama manusia yang punyai hak, maruah dan kehormatan? Masing-masing juga punya kelebihan dan peranan. Maka mengapa perlu kita membezakan antara kita?

Lantas sekarang aku ingin menyeru… Marilah saling berkenalan, bekerjasama, saling memahami dan bersatu.

Carilah titik-titik persamaan dan tutuplah ruang perbezaan. Marilah kita bersepakat pada perkara yang boleh disepakati, walau kita berbeza pandangan pada perkara lainnya. Dan hormatilah pandangan sesama kita. Hentikanlah kata-kata yang membina tembok pemisah seperti ‘pendatang’ yang menambahkan jurang permusuhan dan kebencian. Sebuah rumah tidak akan kuat dan teguh jika batu binaannya rapuh. Maka, jadilah antara batu bata yang terbaik dan perkuatkanlah dengan simen dan plaster persahabatan yang padu.

izquotes.com
izquotes.com

Kerana aku yakin dengan masa depan yang cemerlang, aku ingin kamu juga punya harapan yang sama. Kerana kuasa pemuda ini luar biasa. Sejarah membuktikan bahawa pemuda adalah pemacu perubahan. Kebanyakan revolusi di dunia dipelopori dan didokong oleh pemuda, seperti Revolusi Perancis, kebangkitan pemuda Czechoslovakia menentang tentera Soviet, Arab Spring dan banyak lagi. Maka ingin aku menyeru kita semua para pemuda, bangkitlah dan ciptalah sejarah! Jadilah yang terbaik dalam apa saja yang kau lakukan. It’s either you make history or you become history!

Dari aku yang juga pemuda,
Dr A
29 Julai 2015

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram