Tidak dinafikan, cabaran ekonomi semasa kian terasa. Semakin ramai yang berjimat cermat dan mula bercakap-cakap tentang mengurangkan kos, membuat simpanan dan lokasi belian barang murah. Namun begitu, usaha untuk menambah pendapatan usah dipandang remeh.

Jauh dalam sudut hati seorang suri rumah, sebenarnya tersimpan segala macam perasaan ingin membantu menambah pendapatan keluarga. Cuma mungkin mereka masih tidak nampak jalan atau caranya.

Berikut saya kongsi beberapa tip buat suri rumah yang memilih bahagia dengan usaha:

1. Menjadi Penulis Dari Rumah

Imej oleh Imuslimshop.com
Imej oleh Imuslimshop.com

Ramai yang suka menulis, saya lihat bakat menulis di kalangan ibu-ibu tidak kurang hebatnya. Pelbagai kisah dikongsi di laman sosial kadang-kadang menjadi viral tanpa dipinta. Berkongsi tip kehidupan, tip masakan, tip menabung dan sebagainya yang boleh menjadi inspirasi kepada ramai yang membaca. Tawarkan khidmat menulis dan bakat yang ada kepada orang yang ingin menulis tetapi tidak pandai menyusun ayat. Tulis novel atau buku motivasi yang boleh diterbitkan semula dengan mana-mana penerbit.

2. Ambil Upah Belian Barang Dapur

Imej oleh Imuslimshop.com
Imej oleh Imuslimshop.com

Kita sendiri biasanya akan ke kedai atau pasar untuk membuat belian keperluan rumah. Alang-alang sudah ke kedai, tanyakan saja jiran-jiran siapa mahu kirim barang. Ambil upah setiap kali membuat belian untuk orang lain. Mungkin ada jiran yang sudah tua, sakit dan tidak boleh meninggalkan rumah. Sekarang tidak ada benda yang percuma, sudah namanya pun ambil upah beli barang. Sebagai contoh upahnya 10% daripada jumlah belian barang.

3. Ambil Upah Membasuh Baju

Imej oleh Imuslimshop.com
Imej oleh Imuslimshop.com

Di rumah kita ada mesin basuh automatik, mahu atau tidak setiap hari kita tetap membasuh juga. Tawarkan khidmat membasuh baju untuk jiran atau kenalan yang tinggal berhampiran kita. Caj pada harga yang berpatutan, sebagai contoh upahnya RM2 sekilo siap lipat. Target budak bujang yang malas basuh baju. Silap haribulan, rumah jadi kedai dobi!

4. Berkebun, Tanam Dan Jual Semula

Imej oleh Imuslimshop.com
Imej oleh Imuslimshop.com

Suri rumah kebanyakannya mengisi masa terluang dengan berkebun. Penuh halaman rumah (depan sampai belakang) dengan bermacam jenis pokok bunga, pokok herba dan sayur-sayuran. Jadikan ini sebagai hobi yang menguntungkan, tanam pokok yang mempunyai harga dan boleh dijual semua. Letakkan dalam pasu yang cantik, susun di luar rumah dengan papan tanda, “Semua ini untuk dijual“.

5. Mengedarkan Produk Kosmetik

Imej oleh Imuslimshop.com
Imej oleh Imuslimshop.com

Wanita dan kecantikan tidak dapat dipisahkan. Paling tidak pun, wanita akan pakai bedak sejuk untuk jaga kecantikan kulit muka. Sebagai suri rumah yang pandai menjaga penampilan, cari peluang untuk mengedarkan pelbagai jenis produk kosmetik yang ada dalam pasaran. Carilah produk yang boleh berikan untung jualan runcit yang tinggi bagi setiap barang.

6. Daycare Untuk Anak-Anak Jiran

Imej oleh Imuslimshop.com
Imej oleh Imuslimshop.com

Ini sesuai untuk suri rumah yang masih punya banyak tenaga dan suka melayan karenah anak-anak. Buka mulut dan war-warkan kepada jiran dan kenalan yang tinggal berhampiran bahawa kita mengambil upah menjaga anak-anak sehingga petang. Suri rumah yang boleh memandu, boleh ambil upah jemput anak-anak dari sekolah dan bawa ke rumah kita untuk transit. Jangan ambil terlalu ramai, cukuplah sekadar yang kita mampu menjaga dan mengawasi.

Penulis, Ikram Al-Banjari bersama isteri ketika menjadi tetamu Allah di Jabal Rahmah.
Penulis, Ikram Al-Banjari bersama isteri ketika menjadi tetamu Allah di Jabal Rahmah.

Kepada para suami yang budiman, usah lagi menyekat minat dan usaha isteri untuk membantu kita menambah pendapatan keluarga. Berilah ruang kepada mereka untuk beraktiviti, ini juga bagus untuk pasangan anda menghilangkan stress dan kurang tekanan. Sokong dan dokong usaha mereka setiap masa. Asalkan kerja ini halal, apa salahnya?

Tip ini hanyalah panduan cetusan idea kepada semua suri rumah yang sedang berfikir mahu buat apa untuk tambah pendapatan. Ini bukan jaminan kebahagiaan atau pendapatan.

Saya sangat yakin, ibu-ibu yang rajin berusaha pasti mendapat hasilnya. Kongsi keputusannya nanti bersama saya. Usahakan saja jangan ditangguhkan lama-lama.

Salam Sukses buat semua.

Ikram Al-Banjari.
Masih Saudagar Jalanan.

BACA: 16 Tips Yang Anda Kena Tahu Sebelum Berhenti Kerja, Ini Pengalaman Sebenar Seorang Jurutera Yang Kini Suri Rumahtangga Sepenuh Masa