Hari ini saya berpeluang jumpa Dato’ Ramly Mokni, pengasas Ramly Burger.

Tak ramai orang kenal Dato’ Ramly, kalau selisih di jalan pun memang orang tak akan perasan. Tapi kalau sebut burger Ramly, satu Malaysia kenal.

Saya pun tadi bila berselisih, tak berani juga nak tegur takut salah orang. Sebelum ini saya pernah jumpa beliau sekali sahaja.

Lagipun, beliau hanya pakai t-shirt dan selipar biasa, tak nampak macam orang yang ada syarikat bernilai beratus juta pun. Tetapi Dato’ pula yang cakap, “Aku dah nampak kau tadi, ingatkan taknak tegur aku dah”. Hahaha, selamba je Dato’ bahasakan diri beliau sebagai ‘aku’, memang sempoi.

Banyak nasihat yang Dato’ Ramly bagi pada saya mengenai dunia bisnes. Saya nak kongsikan sedikit supaya kawan-kawan FB saya pun dapat.

Survival

Kata Dato’ Ramly, keadaan ekonomi sekarang ini memang mencabar. Tapi ini perkara biasa dalam bisnes. Berdasarkan pengalaman beliau, setiap 10 tahun sekali, memang ekonomi akan jatuh. Tahun 1987, 1997 dan 2007 adalah zaman kejatuhan ekonomi.

Jadi berkemungkinan tahun 2017 pun akan menjadi tahun yang mencabar bagi ekonomi dan bisnes.

Ketika zaman gawat ini, fokus bisnes bukan lagi untuk membuat keuntungan, tetapi cukup sekadar untuk ‘break-even’ dan bertahan.

Kalau mengikut pengalaman beliau, beliau menjangka keadaan ini akan berlarutan antara 1-3 tahun sebelum ekonomi naik semula. Biasanya orang yang dah lama berniaga akan simpan keuntungan siap-siap untuk menghadapi tempoh gawat ni.

Jadi untuk para rakan-rakan usahawan, kita kena betul-betul bersedia untuk menghadapi saat sukar. Memang betul-betul kena ikat perut. Banyak-banyak bersabar dan berdoa ye.

Tentang menghadapi kegagalan

Saya sempat juga berbual mengenai program SUPERB tempoh hari kerana Dato’ Ramly adalah salah seorang hakim. Pesan beliau mudah sahaja, cuba lagi tahun hadapan.

Bagi beliau, kegagalan dan cabaran adalah perkara biasa bagi usahawan. Bahkan kalau nak dibandingkan kegagalan saya di peringkat akhir SUPERB untuk mendapatkan geran bernilai RM500 ribu, tak boleh dibandingkan dengan kegagalan yang pernah dialami oleh beliau.

Ketika awal-awal beliau mengusahakan Ramly Burger dahulu pada tahun 1980, permohonan beliau untuk mendapatkan pinjaman MARA yang hanya bernilai RM7000 untuk membeli mesin ditolak mentah-mentah hanya kerana ketika itu, MARA tak percaya yang orang Malaysia akan suka makan burger.

Bayangkan kalau beliau patah semangat ketika itu, maka tak merasalah kita semua makan daging burger Ramly hari ini.

Tiada modal

Pesan saya kepada ramai yang beralasan tiada modal dan tiada kedai untuk memulakan bisnes, Dato’ Ramly sendiri hanya mulakan bisnesnya dengan modal sendiri RM2 ribu dari rumah di Flat Jalan Haji Hussein, Kampung Baru.

Dulu beliau buat sendiri daging burger di rumah tanpa gunakan sebarang mesin pun.

Jadi apa salahnya kalau kita sekarang nak mulakan bisnes sendiri di rumah? Tak payah fikir untuk ada kedai dan ofis yang besar dan mewah sebelum tiba masanya. Kalau Dato’ Ramly boleh berjaya, kenapa kita tidak?

Sekarang

Daripada seorang yang mula berniaga dari rumah dan ditolak pinjaman oleh MARA, jualan syarikat beliau kini sudah pun melebihi RM1 bilion sekarang dan dijangka mencapai RM2 bilion pada tahun 2017.

Dan sekarang ini kilang baru Ramly pun hampir siap di Pulau Indah, Selangor yang bernilai RM1 bilion. Memang kagum apabila mendengar kisah beliau.

Kalau nak kira, cabaran yang beliau hadapi setelah hampir 40 tahun berniaga memang banyak, tetapi beliau memang cukup tabah dan tak putus asa. Moga kita semua pun ada semangat seperti beliau.

Cabaran

Antara cabaran besar yang pernah beliau hadapi adalah pada tahun 2011, apabila ada pihak yang memfitnah secara meluas bahawa produk Ramly mengandungi DNA babi.

Habis jatuh merudum jualan syarikat beliau pada tahun itu tapi beliau tetap tak putus asa dan kembali bangkit menjadi lebih hebat.

Banyak benda yang kita boleh belajar daripada kisah Dato’ Ramly ini. Kisah seorang yang bermula dari bawah dengan pelbagai kesukaran, sebelum sampai ke tahap beliau sekarang.

Kepada kawan-kawan yang baru melangkah dalam dunia bisnes, bersabarlah dan jangan sesekali inginkan kejayaan dengan cara mudah.

Setakat ini, SEMUA orang hebat yang saya pernah jumpa, tiada seorang pun berjaya dengan mudah. Semuanya telah hadapi macam-macam cabaran yang sangat dahsyat.

Senang cerita, lagi besar kejayaan yang kita nak, lagi besarlah ujian dan cabaran yang kita akan hadapi!