Pagi ini saya bersarapan dengan abah. Sebab minggu ini penat sangat kerja sampai tak cukup rehat jadi hari ini saya bercuti di rumah dan temankan abah untuk selesaikan hal KWSP dia sekali.

Abah (bekas polis pencen) suka sangat bertanya pasal kes jenayah yang saya uruskan di Mahkamah. Bila kami berbual selalunya topik inilah yang Abah akan tanya. Abah akan follow up balik kes-kes saya. Kemudian tanya apa status terbaru. Saling tak tumpah macam bos yang pantau kerja peguam junior dia di pejabat.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Selalu juga saya akan bertanya pendapat Abah untuk kes-kes jenayah terutamanya bila melibatkan polis.

Abah akan selalu bagi “jalan” macam mana nak approach polis yang kadang-kadang saya sendiri tak terfikir untuk guna pendekatan macam tu. Macam mana cara nak soal saksi-saksi pegawai penyiasat di Mahkamah, macam mana nak cross check kertas penyiasatan polis, bagaimana nak cipta keraguan dalam penyiasatan yang dibuat oleh pegawai polis dan lain-lain.

Tadi semasa bersarapan saya kongsikan dengan Abah tentang pengalaman saya masa saya hadir ke Mahkamah Majistret Kajang minggu lepas untuk bicara.

Sementara menunggu kes saya dipanggil oleh bailif Mahkamah, saya sempat mengikuti prosiding kes curi di pasar raya oleh seorang wanita berbangsa Cina. Selepas pertuduhan dibacakan kepada wanita tersebut, dia terus membuat pengakuan salah.

Mengikut fakta kes yang dibacakan oleh bailif Mahkamah, wanita ini telah pergi ke sebuah pasar raya di Kajang dengan menggalas sebuah beg kain di bahunya (ala-ala macam handbag).

Asalnya, beg kain itu memang kosong dan kempis sahaja. Wanita ini kemudiannya mengambil troli dan mula mengisikan pelbagai barang makanan ke dalam troli tersebut.

Beg kain yang digalas di bahunya itu semakin lama semakin menggemuk dan kelihatan seperti sarat dengan pelbagai barang manakala barangan di dalam trolinya pula semakin berkurang.

Perbuatan wanita ini yang mencurigakan diperhatikan oleh seorang pegawai keselamatan di pasar raya tersebut. Akhirnya troli wanita tersebut yang pada awalnya penuh menjadi kosong dan beg kain yang digalasnya kelihatan begitu gemuk dan penuh.

Wanita ini terus menolak troli itu ke pintu keluar pasar raya dan meninggalkan troli sebelum dia ditangkap oleh pegawai keselamatan.

Apabila dibuka beg kainnya yang digalas itu terdapat pelbagai barangan makanan di dalamnya.

Bailif Mahkamah ketika membaca pertuduhan kepada wanita ini turut menyatakan satu persatu barangan yang didapati ada di dalam beg kainnya ketika dia cuba untuk meloloskan diri daripada pegawai keselamatan pasar raya.

Daripada buah limau, susu bayi dalam tin, sardin, roti, beras, Maggi, Milo, teh, gula, tepung, garam, buah epal, buah strawberry, minyak masak, sayur, keropok udang dan segala aneka makanan lain lagi sehinggakan ada di antara orang awam di galeri awam ketika fakta kes ini dibacakan tersenyum sendiri mendengarkan senarai barang yang telah diambil oleh wanita ini.

Sebelum Majistret menjatuhkan hukuman, Tuan Majistret ada bertanyakan kepada wanita ini, “Kamu ada apa-apa nak cakap kepada Mahkamah untuk kurangkan hukuman kamu?”

Wanita Cina ini sebenarnya tidak begitu fasih berbahasa Melayu. Dia kelihatan terkebil-kebil ketika Majistret bertanyakan soalan itu kepada dia.

Kemudiannya, bailif datang menghampiri wanita ini di dalam kandang pesalah dan bertanyakan lagi, “Sekarang ni Tuan Majistret nak jatuh hukum atas kesalahan awak. Awak ada apa-apa nak bagitau kepada Mahakamah untuk minta kurangkan hukuman?”

Sekali lagi kelihatan wanita Cina ini terkebil-kebil sendiri memandang wajah bailif dan wajah Majistret silih berganti.

Melihatkan riak wajah wanita Cina itu, saya berasa begitu simpati kepadanya. Daripada pemakaiannya saya dapat mengagak yang dia memang orang susah.

Saya terus bangun dan memperkenalkan diri saya kepada pihak Mahkamah yang saya merupakan peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) dan saya pohon pihak Mahkamah untuk menangguhkan sebentar kes wanita Cina ini untuk saya menemubual dia bagi membuat permohonan mitigasi atau mitigation on behalf of her.

Majistret membenarkan penangguhan dan saya mengajak wanita ini untuk ke luar Mahkamah sebentar bagi menemubual dia.

Rupa-rupanya wanita Cina ini merupakan seorang ibu tunggal yang punya 5 orang anak kecil. Suaminya sudah lama menghilangkan diri meninggalkan dia terkontang kanting membesarkan anak-anak seorang diri. Dia tinggal merempat di jalanan, kadang-kadang tidur di bawah jambatan dengan anak-anak sebab tak mampu nak bayar sewa rumah.

Dia tiada kerja tetap. Sukar untuk dia mencari pekerjaan kerana tiada siapa yang boleh diharapkan untuk menjaga anak-anaknya. Dia terpaksa mencuri untuk memberi makan kepada anak-anaknya.

Mengikut peruntukan hukuman yang boleh disabitkan ke atasnya, wanita ini perlu membayar denda sebanyak RM3000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.

Ketika kes wanita ini dipanggil semula, saya telah membuat mitigasi bagi pihaknya.

Memandangkan pihak pasar raya tidak mengalami apa-apa kerugian kerana kesemua barangan yang cuba dicuri oleh wanita ini berjaya diambil semula, saya cuba untuk mendapatkan hukuman yang seminimum mungkin baginya. Desakan hidup dan kesusahan dalam membesarkan anak-anak turut memaksa dia untuk mencuri bagi mendapatkan makanan.

Akhirnya pihak Majistret telah menjatuhkan hukuman penjara selama sehari sebagai pengajaran di atas kesalahannya. Pihak Majistret ketika membacakan hukuman kepada wanita ini turut memberikan peringatan kepadanya bahawa desakan hidup tidak boleh dijadikan alasan untuk dia melakukan jenayah.

Wanita ini menangis teresak-esak di dalam kandang tertuduh. Orang awam yang ada di Mahkamah pada ketika itu turut tersentuh melihatnya.

Ketika saya bercerita kisah ini kepada Abah, secara tiba-tiba wajah Abah turut menjadi merah. Abah jadi sebak. Ada takungan air mata di hujung kelopak matanya.

Saya menggelabah puyuh bila tengok Abah menangis.

Dalam suara yang tersekat-sekat di kerongkong Abah bersuara, “Kalau Kak Cik jumpa orang susah lagi lepas ni, tolonglah Kak Cik semampu yang boleh. Abah dulu pernah hidup susah. Abah tahu macam mana perasaan susah tu sampai buat orang sanggup untuk buat apa saja.”

Kata-kata Abah mati di situ. Dia mengesat air mata yang mengalir di pipinya.

Tengok Abah menangis, saya ikut jadi sebak. Kami berdua terus diam di meja makan tengok nasi lemak dalam pinggan masing-masing.

Allahurabbi..

Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) adalah satu organisasi yang ditubuhkan oleh pihak kerajaan untuk memberi khidmat bantuan guaman secara percuma kepada orang awam yang tidak mampu untuk melantik peguam bagi kes mereka di mahkamah.