Siri Original dari Malaysia, Special Force: Anarchy yang diarahkan pengarah muda prolifik, Syafiq Yusof kini sudah ditayangkan secara eksklusif di Disney+ Hotstar sejak 14 Januari.

Siri Original tujuh episod ini mengikuti perjalanan Iman iaitu dibintangi oleh pelakon jelita Puteri Aishah, seorang pegawai polis muda yang berani dari sebuah negara fiksyen, Tenggara dalam menyiasat sebuah kes rompakan bank terancang.

Selepas episod pertama ditayangkan ketika sesi pra-tonton bersama media, ramai yang memberi kritikan termasuklah pengkritik filem penuh kontroversi, Zhafvlog. Zhaf hanya memberikan rating 1/5 untuk siri terbaru arahan Syafiq tersebut.

Dalam satu perkongsian yang telah dipadam, Syafiq rasa kecewa dan sedih dengan rating yang diberikan. “Zhaf tak boleh dibeli, tak boleh dibeli dengan duit mahupun dengan jiwa. Semua orang industri tahu perkara ini. Itu satu benda yang aku hormat dengan dia, tak boleh dinafikan,” ujar Syafiq di laman Twitternya.

“Jujur aku tak sangka orang yang boleh ‘rate’ Mat Kilau 5/5 bintang, boleh ‘rate’ karya aku kali ni 1/5 ‘s***’! Serendah itu Zhaf? Tak apa, aku terima ulasan kau dengan hati yang terbuka. Lain orang, lain cita rasa. Terima kasih hadir tayangan perdana episod pertama Special Force Anarchy,” luahnya.

Bagaimanapun, adik kepada Syamsul Yusof itu kemudiannya memadam ciapan tersebut dan memuat naik ciapan baharu yang mengatakan sepatutnya dia terima segala kritikan terhadap karyanya.

Bukan itu sahaja, dia akan terus perbaiki kesilapan-kesilapan dalam karyanya di masa akan datang serta memohon maaf di atas kesilapan yang dilakukan.

Dalam video terkini Zhaf di YouTube, beliau berkata ada sebab tersendiri mengapa beliau memberi rating rendah untuk episod pertama siri itu. Beliau sebenarnya mempunyai expectation yang tinggi untuk siri Special Force: Anarchy tetapi tidak merasai ‘wow factor’ siri tersebut dalam episod pertama.

Special Force: Anarchy turut dibintangi oleh penyanyi, komposer dan artis legenda Dato’ M. Nasir sebagai Umar, yang merupakan dalang di sebalik rompakan Bank Tenggara serta ketua kumpulan Anarki.

Drama bersiri ini turut membariskan bintang-bintang tersohor seperti Hasnul Rahmat, Alvin Wong, Johan As’ari serta Fify Azmi (pemenang anugerah ‘Pelakon Harapan Wanita Terbaik’ pada Festival Filem Malaysia ke-31), Chacha Maembong, Yusuf Bahrain, Anas Ridzuan, Elizabeth Tan, Dynas Mokhtar, dan Steve Yap.