Jacobs Douwe Egberts (JDE) Holdings Asia NL B.V. dijangka mengambilalih OldTown Bhd pada harga RM1.47 bilion atau RM3.18 sesaham. Angka itu adalah 10.4% lebih tinggi daripada harga dagangan terakhir pada 7 Disember iaitu RM2.88.

Dalam satu kenyataan berasingan, Oldtown berkata para pemegang saham majoriti yang memiliki 51.4% saham telah memberikan janji untuk menerima tawaran itu.

JDE adalah sebuah syarikat swasta yang diperbadankan di Belanda yang mempunyai perniagaan kopi dan teh global. Acorn Holdings B.V mempunyai kepentingan tidak langsung dalam JDE, sekitar 73% milik dalam JDE.

CIMB Investment Bank yang bertindak bagi pihak JDE telah mendepositkan sejumlah wang ke dalam akaun escrow JDE melalui sebuah bank di Singapura. Dana tersebut akan digunakan untuk tujuan pengambilalihan OldTown.

OldTown yang ditubuhkan pada tahun 1999 merupakan sebuah perniagaan rantaian yang merangkumi kafe, pembuatan, pemasaran dan penjualan kopi dan minuman lain.