Pembuat kereta sport Lotus, yang dimiliki oleh hartawan Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary dengan 49% kepentingan melalui Etika Automotive Sdn Bhd, merancang penyenaraian unit kenderaan elektrik (EV) mewahnya di Amerika Syarikat, lapor The Edge Markets.

Lotus Technology Inc, bahagian EV mewah Lotus, berkata penyenaraian itu akan dijalankan melalui penggabungan antara Lotus Tech dan L Catterton Asia Acquisition Corp (LCAA).

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Nilai syarikat gabungan itu kira-kira AS$5.4 bilion (~RM23 bilion), dengan mengambil kira tunai AS$288 juta (~RM1.2 bilion) dalam akaun amanah LCAA, kata Lotus Tech dalam satu kenyataan.

Semua pemegang ekuiti sedia ada, termasuk Zhejiang Geely Holding Group, Etika dan NIO Capital, dijangka mengekalkan kepentingan mereka, secara kolektif memiliki 89.7% kepentingan dalam syarikat gabungan itu.

Manakala Geely pula masih memiliki baki 51% kepentingan dalam Lotus.

Lotus Tech berkata selepas penggabungan itu selesai, ia akan mengekalkan nama semasanya, dan pasukan kepimpinan semasanya yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Qingfeng Feng akan terus menerajui syarikat gabungan itu, menyasarkan untuk penghantaran SUV elektrik pertamanya pada suku pertama tahun ini.

Deutsche Bank bertindak sebagai penasihat kewangan untuk latihan korporat, dengan Skadden, Arps, Slate, Meagher & Flom sebagai penasihat undang-undang antarabangsa.

Credit Suisse Securities (USA) LLC berkhidmat sebagai penasihat pasaran modal, dan Shearman & Sterling LLP bertindak sebagai penasihat undang-undang antarabangsa kepada Credit Suisse Securities (USA) LLC.

Lotus Tech juga telah membentuk perkongsian pembuatan dengan Geely untuk memanfaatkan kapasiti pengeluaran pembuat kereta China itu.

Terdahulu, satu laporan menyatakan Syed Mokhtar juga sedang meninjau untuk menjalankan kajian semula strategik perniagaannya, termasuk kemungkinan menswastakan DRB-Hicom Bhd.

*Ikuti Facebook dan Instagram VOCKET CAR CLUB untuk ketahui perkembangan dan isu semasa automotif dari dalam dan luar negara.