Pengasas jenama pakaian FashionValet dan dUCk, Datin Vivy Sofinas Yusof bukanlah satu nama yang asing dalam dunia fesyen tempatan. Malah, segala tindakan yang beliau lakukan juga sering kali menjadi tumpuan para media dan pastinya netizen.

Terbaharu, berikutan isu penindasan tentera Zionis terhadap rakyat Palestin yang semakin membarah, Vivy Yusof kembali menjadi perhatian apabila beliau dalam satu kenyataan meluahkan dan mengakui bahawa dirinya sukar untuk tidur malam apabila mengenangkan nasib dan penderitaan yang menimpa rakyat Palestin.

“Luluh hati saya setiap kali membaca berita mengenai apa yang terjadi di Palestin. Saya akui tidak dapat tidur malam kerana memikirkan apa lagi yang boleh saya lakukan untuk bantu mereka.

“Sebagai seorang ibu, amatlah tidak sanggup sekiranya saya melihat gambar atau video mengenai kanak-kanak kecil Palestin yang menderita di sana,” kata Vivy semalam dalam satu kenyataan media.

Lantaran itu, Vivy telah menggunakan segala platform miliknya bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang ramai mengenai isu ini. Beliau juga telah memulakan kutipan dana untuk meringankan beban rakyat Palestin melalui kolaborasi bersama badan NGO Viva Palestin Malaysia (VPM).

Menurut Vivy lagi, dalam masa dua hari, pihaknya dan VPM telah berjaya mengutip dana sebanyak RM1 juta. Kutipan ini telah menunjukkan sokongan kuat daripada orang ramai untuk membantu saudara-saudara kita di Palestin.

“Alhamdulillah, kami berjaya mengutip dana sebanyak RM1 juta dalam masa dua hari untuk membantu rakyat Palestin.

“Dana ini bukan sahaja disumbangkan oleh rakyat Malaysia bahkan ia termasuk mereka yang Islam dan bukan Islam dari Brunei, Singapura, Jepun, Australia, Filipina, Qatar, Jeddah, Amerika Syarikat, UK, Kazakhstan, Scotland, Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi, Jerman, Ireland, Sri Lanka dan Perancis,” kata Vivy lagi.

Difahamkan, dana ini akan disumbang dalam bentuk bantuan perubatan dan keperluan krtikal yang lain bagi keperluan rakyat Palestin yang terjejas ekoran peperangan ini. Anda yang berminat, boleh menderma melalui klik pautan di sini.

Dalam pada menderma, Vivy dengan jenama dUCk milknya juga akan melancarkan koleksi khas ‘The Palestin dUCK’ pada bulan Jun ini. Difahamkan, 100 peratus daripada jualan koleksi tersebut akan disumbangkan kepada VPM. Bukan sahaja memiliki busana fesyen berjenama dUCk, malah mereka yang membeli koleksi ini juga secara tidak langsung telah menderma untuk Palestin.

Model bagi jenama Dior, Bella Hadid dikecam kerana menyokong Palestin. Klik pada pautan di bawah untuk membacanya.

‘Tidak Tahu Malu!’ – Kerajaan Israel Kecam Bella Hadid Kerana Sertai Demo Sokong Palestin

Lantang Suarakan Isu Palestin, Instagram Beri Amaran Padam Akaun Heliza Helmi