Sebuah menara pejabat 20 tingkat yang dikenali sebagai Menara VSQ1 akan dibeli oleh Lembaga Tabung Haji (TH) pada harga RM147 juta.

Pembelian yang dibuat daripada Bukit Damansara Development Sdn Bhd ini juga akan menyaksikan pulangan sebanyak 5.5 peratus berdasarkan perjanjian penghunian penuh dan penyewaan jangka panjang bangunan.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata kepada Awani bahawa pembelian ini turut merangkumi 1,060 tempat meletak kenderaan.

Majlis Menandatangani Tawaran Pembelian Menara VSQ1 ini turut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri; Pengerusi TH, Tan Sri Md Nor Md Yusuf; dan Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim.

Dr Zulkifli dalam satu kenyataan kepada Berita Harian berkata bahawa pelaburan ini mampu untuk membantu merancakkan sektor hartanah negara serta memberi pulangan yang baik kepada pendeposit.

Dia turut menambah bahawa tujuan utama TH melakukan pelaburan dalam sektor penting negara adalah bagi membantu mengembangkan simpanan pendeposit yang berhasrat menunaikan rukun Islam kelima.

Terdahulu, hibah Tabung Haji diumumkan dengan agihan pada kadar 3.05 peratus. Klik pautan di bawah untuk membaca.

Hibah Tabung Haji Diumumkan Dengan Agihan Pada Kadar 3.05 Peratus