Pertubuhan Bina Bangsa adalah sebuah NGO yang dianggotai ramai sukarelawan terdiri daripada peguam, ahli perniagaan, penulis dan dari beberapa bidang profesional yang lain.

Sebagai sebuah pertubuhan tidak bermotifkan keuntungan, aktiviti yang dijalankan lebih kepada bantuan kemanusiaan di dalam dan luar negara khususnya melibatkan rakyat Malaysia.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Bertitik-tolak di atas keazaman itu, kami bertolak ke Medan, Indonesia untuk melakukan kunjungan hormat ke atas Konsulat Jeneral Malaysia, Tuan Amizal Fadzli Rajali di sana.

Memandangkan sewaktu tiba ia merupakan hari cuti umum di Indonesia, kami memilih untuk mengadakan perbincangan tidak formal dengan para pegawai konsulat sambil makan tengah hari di salah sebuah restoran di pinggir bandar.

Gambar: Syahril A Kadir

Juadah nasi padang yang menyelerakan itu bagaimanapun ‘terbantut’ apabila Amizal Fadzli memaklumkan terdapat ramai rakyat Malaysia yang ditahan di negara itu atas pelbagai kesalahan seperti tinggal lebih waktu, memasuki perairan Indonesia secara haram (nelayan), penipuan dan pelbagai lagi.

Namun menurutnya kesalahan yang paling banyak dilakukan yang berkaitan dengan dadah.

Pasukan berkuasa di sana sangat memandang berat gejala pengedaran dan penagihan dadah sehingga memaksa mereka mengetatkan kawalan terutama di pintu masuk ke negara itu seperti pelabuhan dan di lapangan terbang.

Disebabkan inilah, ramai rakyat Malaysia yang melakukan kesalahan berkenaan telah diberkas dan terpaksa meringkuk di dalam penjara-penjara sekitar Indonesia. Tidak terkecuali di bandar besar seperti di Medan.

Biarpun kami di pertubuhan juga tidak mahu bertolak-ansur darihal dadah ini, namun jauh di sudut hati kami juga, atas dasar kemanusiaan dan keprihatinan, perasaan untuk menziarahi mereka meluap-luap apatah lagi bila mengenangkan nasib mereka yang terkurung beribu batu dari tanah air sendiri. Jauh dari anak isteri dan mereka yang tersayang.

Dengan bantuan Pegawai Liaison Keselamatan Konsulat, ASP Sham Ahmad dan pegawai Imigresen, Puan Salmiah, keesokan harinya kami bertolak ke Rumah Tahanan Negara (RUTAN) Klas 1 Medan di Tanjung Gusta.

Gambar: AMINOER RASYID/SUMUT POS. Sejumlah pegawai berdiri di depan pintu masuk Rumah Tahanan (Rutan) Tanjung Gusta Kecamatan Medan Helvetia.

Pada mulanya kami terbayang imej ‘ngeri’ penjara di Indonesia yang terkenal dengan kesesakan tahanan di dalam sel, namun semuanya terubat apabila melihat keadaan penjara di Medan ini yang dicat dengan warna-warna lembut, malah jangan terkejut ada patung zirafah di lamannya, macam di taman permainan kanak-kanak pula rasanya!

Tetapi memang diakui, daripada pengamatan kasar kami, jumlah tahanan memang sangat ramai.

Keadaan di sana sangat sibuk dengan kenderaan penjara yang keluar masuk, hiruk-pikuk tahanan yang baru sampai dan yang baru nak dibawa ke mahkamah, seperti masuk dalam pesta keramaian pun ada juga.

Kami tiba kira-kira pukul 10.30 pagi. Setelah menunggu kira-kira setengah jam, seramai lima banduan orang Malaysia dibawa masuk ke bilik perjumpaan tahanan yang terletak dalam kompleks penjara tersebut.

Gambar: Syahril A Kadir

Ada yang tersenyum, ada yang berwajah sugul malah ada yang seolah-olah dalam keadaan bingung!

Senyum mungkin kerana gembira dengan kehadiran kami, NGO pertama dari Malaysia yang melawat mereka. Sugul mungkin kerana memikirkan nasib yang mereka terima. Bingung mungkin kerana baru bangun tidur!

Setelah memperkenalkan diri dan tujuan kami bertemu mereka, masing-masing mula kelihatan semakin selesa. Seorang demi seorang kemudiannya mula memperkenalkan diri.

Tidak cukup dengan itu, mereka tidak mengambil masa yang lama untuk terus meluahkan perasaan dan berkongsi kehidupan mereka di penjara tersebut.

Rata-rata menerima ketentuan takdir atas perbuatan yang telah mereka lakukan namun pada masa yang sama mengharapkan agar boleh dibebaskan secepat mungkin atau paling tidak pun hukuman penjara yang mereka terima boleh dikurangkan supaya mereka boleh pulang ke Malaysia.

1. Rahman

Bagi Rahman (bukan nama sebenar), kehidupan di penjara itu tidaklah seburuk yang disangka namun tetap mengakui berasa tertekan khususnya bila mengenangkan tiada saudara-mara dari Malaysia yang datang menziarahinya sejak dimasukkan ke sini lebih setahun yang lalu.

“Mungkin mereka tak ada duit nak datang. Tetapi Alhamdulillah adakalanya saya berpeluang bercakap dengan mereka di tanah air melalui telefon. Duit saya pun banyak dah habis waktu perbicaraan dulu.

Nak kata saya dibuli di sini, takde juga. Mereka tahu saya orang Malaysia dan setakat ini tak ada kejadian yang merisaukan berlaku, nama pun penjara, mana ada penjara yang selesa,” katanya yang berasal dari Johor.

2. Ah Lek

Bagi Ah Lek (bukan nama sebenar), kesilapannya melibatkan diri dalam dadah setelah gagal dalam perniagaan benar-benar telah memusnahkan masa depannya.

“Saya kahwin dengan orang Medan. Bila perniagaan saya gagal, saya tertekan dan mula mengambil dadah untuk melupakan masalah saya yang bertimpa-timpa tetapi tak lama selepas berjinak-jinak dengan dadah, saya ditangkap.

Saya harap betul kalau dapat segera keluar dari sini, tetapi prosesnya bukan mudah, cara macam mana nak buat pun saya masih keliru,” katanya yang berasal dari Kajang, Selangor dan telah memeluk agama Islam semasa berada di sini.

3. Hussein

Bagi Hussein (bukan nama sebenar) pula, kedatangannya ke Medan benar-benar memusnahkan kehidupannya apabila ditangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Namu ketika membawa sejumlah besar dadah.

“Masa di Malaysia, saya dapat lepas pemeriksaan tetapi malang menimpa bila saya tiba di sini, pihak polis dapat mengesan bagasi saya yang mengandungi bahan terlarang itu.

Kini saya pasrah sajalah untuk menghabiskan 13 tahun hukuman penjara kat sini, kalau boleh biarlah saya jalani hukuman ini, saya tak mahu menyusahkan keluarga di Malaysia, redha sajalah,” katanya yang berasal dari Pulau Pinang.

Gambar: Syahril A Kadir

Selepas kira-kira sejam berada di penjara tersebut, kami beredar dari penjara berkenaan. Walaupun kesal dengan perbuatan para banduan ini yang bukan saja telah memalukan diri sendiri dan keluarga, tetapi juga nama baik negara – namun sebagai seorang manusia, naluri kasihan tetap ada.

Kami sempat memberi sedikit buah tangan sumbangan persatuan dan pihak konsulat kepada para banduan ini dan berdoa agar mereka dapat pulang ke tanah air dan bertemu semula dengan mereka yang tersayang walaupun hakikatnya, ia bukan satu perkara yang mudah.

Semoga ada sinar di hujung kehidupan anak bangsa kita ini.

Terima kasih tak terhingga kepada pihak konsulat yang diketuai oleh Tuan Amizal, ASP Sham dan Puan Salmiah kerana tanpa kerjasama yang mereka berikan, kami dari Pertubuhan Bina Bangsa tak mungkin sampai hingga ke sini.

Melawat banduan di penjara bukan satu perkara yang ‘glamour’ namun kalau bukan kita, siapa? Kalau bukan sekarang, bila?