Nota Editor: Catatan ini diambil dari Ebook Mendorong Tingkah Laku Positif Kanak-Kanak. E-book ini ditulis untuk menghimpunkan laporan eksperimentasi para pengurus dan guru-guru ketika mengaplikasikan Teknik Nabi di Rangkaian Tadika ABS. Buat pengetahuan pembaca, Teknik Nabi merupakan kajian Tim Pengkaji Hadith Psikologi yang mengkaji prinsip, strategi dan teknik Nabi Muhammad S.A.W apabila mendorong sikap dan tingkah laku orang lain. Kami kongsikan semula di sini dengan izin Puan Nurhidayah Jaafar, Penyunting.

Apabila diminta melanjutkan penulisan tentang pengalaman menggunakan Teknik Nabi, saya teringat satu permainan yang saya lakukan bersama guru-guru lain untuk melatih mereka supaya tidak menyiasat.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Salah satu Teknik Nabi adalah tidak menyiasat punca sesuatu masalah, sebaliknya hanya memberi penyelesaian sekiranya timbul sesuatu masalah. Saya namakan permainan ini sebagai “20sen”. Guru telah sedia maklum tentang Teknik Nabi iaitu tidak menyiasat punca kesalahan.

Apakah kebaikan teknik ini pada anak murid?

1) Anak murid lebih mudah mengaku kesalahan sendiri tetapi pada masa yang sama mereka tidak takut tentangnya.

2) Anak murid tahu mereka tidak akan didenda apabila mengaku kesalahan, sebaliknya diberikan cara menyelesaikan sesuatu isu itu.

3) Memupuk sifat tanggungjawab. Anak murid yang berani mengaku kesalahan dan kesilapan lebih bertanggungjawab berbanding mereka yang menyembunyikan kesalahan sendiri.

4) Belajar menyelesaikan isu berbangkit. Ini dapat menjadikan anak murid lebih kreatif apabila berhadapan dengan halangan.

Semasa berbual-bual dengan guru tadika, saya dapati para guru cenderung bertanya, “Kenapa?”

Sebagai contoh, apabila anak murid meletakkan pinggan ke dalam besen yang salah, guru akan bertanya:

    “Kenapakah Tuan Muda Hassan meletakkan pinggan di situ?”

Perkara ini kelihatan seperti hal yang biasa sahaja. Tetapi hakikatnya adalah ia boleh menjadi satu perangai yang menyiasat-menyiasat.

Khuatir apabila anak murid menconteng dinding, maka guru akan terbiasa berkata:

    “Kenapa Tuan Muda Hassan menconteng dinding?”

Sepatutnya sebagai seorang guru pendorong, mereka boleh berkata:

    “Di manakah lukisan yang cantik ini patut dilakarkan?”

(Soalan yang berbentuk dorongan positif)

Ada juga guru bertanya:

    “Betulkah contengan mereka itu cantik?”

Di mata kita mungkin tidak cantik sebenarnya, jika dipandang dari sudut anak murid yang ‘berusaha’ menconteng di dinding, sudah tentu mereka suka jika dipuji.

Dalam memuji, kita juga mendorong.

Apabila kita berkata,

    “Di manakah lukisan yang cantik ini patut dilakarkan? Cikgu suka jika Tuan Muda Hassan lukiskan di atas kertas, lain kali jika mahu melukis, beritahu cikgu ya?”

Secara tidak langsung, kita telah menetapkan peraturan:

    “Jika mahu melukis, beritahu cikgu dahulu.”

Kita dapat mengambil tindakan yang lebih wajar ketika itu.

Baiklah, berbalik kepada permainan “20 sen” itu.

Peraturannya mudah sahaja, mana-mana guru yang bertanya dengan soalan yang berbentuk “kenapa?” Mereka akan membayar 20 sen kepada saya.

Guru membantah kerana mereka tahu, walaupun 20 sen, mereka menggunakan perkataan “kenapa?” dengan kerap.

Jika sehari tiga kali, bermaksud 60 sen. 30 hari pula sudah mencecah RM18.00.

Bukankah itu suatu jumlah yang banyak?

Boleh membeli beras dengan jumlah itu.

Setelah berbincang, kata sepakatnya adalah setiap kali menggunakan soalan berbentuk menyiasat iaitu “kenapa?” mereka didenda sebanyak 10 sen pada minggu pertama.

Minggu kedua 20 sen.

Beberapa hari dalam seminggu adalah minggu yang mencabar dan menyeronokkan. Saya dapat kumpul duit setiap hari.

Jika sebelum ini guru berbual dengan gaya menyiasat seperti:

    “Kenapa tuan letakkan tong sampah di hadapan pintu?”

Sekarang mereka berbual seperti ini:

    “Di manakah tempat yang sesuai untuk tong sampah ini diletakkan?”

Permainan 20 sen ini berakhir sekitar minggu kedua, kerana guru-guru sudah jarang menyiasat lagi.

Mereka sudah boleh berhenti sebentar sebelum terus bertanya. Berfikir gaya cakap yang lebih banyak memberi penyelesaian berbanding soalan yang berbentuk mencari-cari kesalahan orang lain.

Anda boleh membeli Ebook Mendorong Tingkah Laku Positif Kanak-Kanak disini

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram