Dua rakyat Malaysia yang terlibat dalam keanggotaan Isis (organisasi Negara Islam) mungkin telah ditangkap oleh kumpulan Taliban. Melalui laporan berita antarabangsa, difahamkan bahawa kumpulan yang ditahan adalah cabang dari Isis yang dinamakan sebagai Isis-K yang beroperasi di Asia Selatan dan tengah.

“Empat orang Afghanistan manakala dua lainnya adalah rakyat Malaysia,” kata ketua jabatan penyiasatan jenayah Taliban, Saifullah Mohammed. “Mereka tidak sekuat yang mereka fikirkan. Kami baru saja mengalahkan tentera dari 36 negara di Nato (pakatan Atlantik Utara) sehingga kami tahu kami dapat menangkap dan membunuh Daesh (Isis) di mana sahaja kami jumpa mereka.”

Mereka didakwa menyerah diri setelah aksi tembak menembak berlaku beberapa jam setelah serangan bom bunuh diri yang terjadi di lapangan terbang Kabul. Difahamkan kejadian itu telah membunuh 200 orang dan Isis-K yang bertanggungjawab di atas kejadian terbabit.

Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani, berkata bahawa polis belum mendapat maklumat mengenai mana-mana rakyat Malaysia yang terlibat dalam Negara Islam di Afghanistan. Namun, katanya, Malaysia telah meminta perisikan dari agensi keselamatan antarabangsa untuk mengesahkan dakwaan terbabit. Polis juga sedang menyiasat kemungkinan kedua-dua rakyat Malaysia itu menjalankan operasi di luar negara.

Pada 15 Ogos, pejuang Taliban telah berjaya menguasai keseluruhan Afghanistan termasuk ibukota Kabul. Manakala tentera Amerika Syarikat hanya berjaya mempertahankan kedudukan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kabul yang menjadi tempat tumpuan buat rakyat Afghanistan yang mahu keluar dari negara tersebut.

Manakala pada 26 Ogos, kumpulan yang disyaki berasal dari Isis-K melakukan serangan bom bunuh diri berhampiran lapangan terbang, membunuh 200 orang, termasuk 13 askar Amerika dan dua warga Britain.

Permulaan situasi huru-hara yang terjadi di Afghanistan terjadi apabila AS mengumumkan penarikan semua tenteranya dari Afghanistan pada akhir bulan ini setelah 20 tahun bertapak di negara terbabit.

AS dan sekutunya telah menyerang Afghanistan pada akhir tahun 2001, menjatuhkan pemerintahan Taliban yang keras setelah serangan pengganas di Pentagon dan menara berkembar New York dengan pesawat yang dirampas pada 11 September tahun itu.

Ramai tertanya kenapa ramai mahu melarikan diri sehingga sanggup bersesak di dalam kapal terbang untuk meninggalkan Afghanistan. Klik pautan di bawah untuk tahu lebih lanjut.

640 Orang, Satu Pesawat: Kenapa Rakyat Afghanistan Takut Bila Taliban Berkuasa?

 

Ribuan Lari Tinggalkan Afghanistan Setelah Ditawan Taliban, Ini Apa Yang Berlaku Di Sana