Kisah tragis nasib wanita di Afghanistan terus dilaporkan media dengan terbaharu, mereka yang bercerai semasa kerajaan yang disokong Amerika Syarikat memerintah negara itu telah diminta untuk kembali ke pangkuan suami kerana Taliban memberitahu mereka bahawa penceraian mereka sebelum ini tidak sah.

Penceraian mereka ini bukannya dibuat dengan sesuka hati, mereka sebenarnya minta dilepaskan daripada suami yang kaki pukul dan tidak bertanggungjawab. Seperti kisah Marwa yang dilaporkan NDTV, yang kini bersembunyi bersama lapan anaknya setelah bertahun-tahun didera oleh bekas suami hingga patah semua giginya.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Marwa adalah salah seorang daripada sebilangan kecil wanita yang, di bawah kerajaan yang disokong AS sebelum ini, telah diberikan penceraian secara sah di Afghanistan, di negara yang mana wanita hampir tidak mempunyai hak dan penderaan domestik adalah endemik.

Apabila tentera Taliban mula berkuasa pada 2021, suaminya mendakwa dia telah dipaksa bercerai dan komander Taliban telah mengarahkannya untuk kembali ke suaminya. “Saya dan anak perempuan saya banyak menangis pada hari itu,” kata Marwa, 40, bukan nama sebenar. “Saya berkata kepada diri sendiri, ‘Ya Allah, syaitan telah kembali’.”

Kerajaan Taliban berpegang kepada undang-undang Islam yang ketat dan telah mengenakan sekatan yang berat ke atas kehidupan wanita. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melihat situasi ini seperti “apartheid berasaskan jantina”.

Selama berbulan-bulan Marwa dilayan dengan teruk – dipukul, dikurung, dengan tangannya patah dan jarinya retak. “Ada hari ketika saya tidak sedarkan diri, anak perempuan saya akan memberi saya makan,” katanya. “Dia pernah menarik rambut saya dengan kuat sehingga saya botak. Dia memukul saya sehingga semua gigi saya patah.”

Bagaimanapun, beliau selamat selepas berjaya melarikan diri ratusan kilometer ke rumah saudara mara bersama enam anak perempuan dan dua anak lelakinya, yang semuanya menggunakan nama rekaan.

Menurut laporan AFP pula, seorang peguam memberitahu bahawa sebahagian wanita kini telah diarahkan untuk kembali ke pangkuan suami selepas komander Taliban membatalkan perceraian mereka.

Di Afghanistan sembilan daripada 10 wanita akan mengalami keganasan fizikal, seksual atau psikologi daripada pasangan mereka, menurut misi PBB di negara itu.

Perceraian, bagaimanapun, selalunya lebih tabu daripada penderaan itu sendiri dan budaya di sana adalah mereka akan memandang serong wanita yang bercerai dengan suami mereka.