Bagi peminat-peminat karya sastera, sosok Usman Awang tidak perlu lagi diperkenalkan lagi pada mereka. Usman Awang semasa hayatnya yang aktif dalam lapangan puisi, drama, cerpen dan novel seringkali mengetengahkan perihal kemanusiaan di dalam karya beliau.

foto-1

Agak menyedihkan sejak kebelakangan ini, anak-anak di bangku sekolah malah ada segelintir anak-anak di universiti tidak kenal dengan Usman Awang. Saya kira dalam hal ini pada, kita tidak boleh lagi menyalahkan sistem pendidikan yang tidak memperkenalkan karya-karya sastera dan sosok-sosok sasterawan di sekolah.

Kerana saya sendiri mengenali karya-karya Usman Awang di perpustakaan sekolah dan bukan di bilik darjah sekolah. Seharusnya anak-anak harus diasuh dari rumah agar menggali benda-benda baru di perpustaakan. Dan yang pasti, tugas ini harus dipikul samada oleh ibubapa, keluarga atau penjaga dengan menggalakan anak-anak mereka menggali benda-benda baru di perpustakaan sebagai langkah pertama.

Berbalik kepada drama Tamu di Bukit Kenny. Drama ini ditulis pada tahun 1967. Dengan ditulis dengan nada romantis serta berlatarbelakangkan hidup di kota raya Kuala Lumpur.

Watak utamanya ialah seorang pegawai kerajaan yang saya kira seorang yang jujur dan suka menolong keluarga serta masyarakatnya yang mengalami kesempitan.

Dalam artikel kali ini, saya tidak akan mengupas soal-soal teknikal dalam drama, kerana bagi saya kritikan sosial yang sarat diketengahkan dalam drama ini lebih menarik minat saya.

Di permulaan drama, dapat dikesan Usman Awang mengkritik masyarakat yang sengaja melanggar aturan. Namun sebenarnya aturan tersebut disusun bagi kesejahteraan semua pihak.

Sebagai contoh yang dapat dilihat, sikap pemandu-pemandu kota yang tergesa-gesa tanpa memikirkan nyawa orang lain.

foto-2

Di sini saya lihat, Usman Awang seolah-olah pelik dengan sikap masyarakat yang sudah terbalik. Saya sendiri juga mengalami nasib yang sama seperti Usman Awang, ada ketikanya saya diberi ‘high beam’ dan lebih pelik lagi dihon kerana saya memandu mengikut had laju yang ditetapkan serta memandu di lorong yang betul.

Sungguh pelik sikap manusia. Jadi benarlah kritikan tajam yang diutarakan dalam drama ini yang menyatakan bahawa:

“Sikap orang dah terbalik. Orang marah kalau kita ikut aturan.”

Dan kita lihat hari ini banyak kemalangan kenderaan berlaku, antara penyumbang peratusan yang terbesar adalah kerana sikap pemandu itu sendiri yang tergesa-gesa tanpa tujuan.

Jadi benarlah apa yang dikritik Usman Awang, hari ini kita sudah biasa melanggar peraturan sedangkan peraturan (terutama sekali peraturan jalan raya) itulah yang menjamin kesejahteraan bersama.

Seterusnya Usman Awang mengkritik dalam drama sikap para pekerja yang bersembang kosong di warong kopi dalam waktu pejabat.

Jika ditelusuri, perkara ini juga masih berlaku sehingga hari ini, malah ada pendedahan di media yang membuat rakaman secara sembunyi mengesan ada segelintir para pekerja ‘makan gaji’ ini bersiar-siar di pusat membeli belah dan bersembang kosong di warong kopi dalam waktu kerja.

Seterusnya lagi, watak isteri pegawai dalam drama yang mengkritik media dan akhbar tempatan pada zaman berkenaan yang lebih membesar-besarkan berita picisan. Dan jika dilihat realiti hari ini juga, keadaan ini masih berterusan, ada segelintir media-media lebih membesar-besarkan tentag hal-hal picisan yang kadangkala langsung membuka minda masyarakat.

foto-3

Dapat dilihat juga, Usman Awang mewujudkan watak Mamat sebagai drebar pegawai dalam drama yang tiba-tiba ingin menyertai parti politik. Kata Mamat, masuk parti politik boleh hidup senang malah senang buat complain dan kadang kala mudah mendapat habuan.

Saya kira, saya tidak mahu ulas panjang bahagian ini, pembaca sendiri boleh jenguk sebentar realiti sekarang dan berkatalah dalam hati masing, apakah benar yang ditulis Usman Awang ini?

foto-4

Seterusnya Usman Awang mengetengahkan isu sogokan dalam bentuk habuan seks dan perniagaan Ali Baba. Dalam drama ini, pegawai didatangi individu yang akan bersaing merebut tender projek. Malah kedatangan individu tersebut bersama seorang wanita untuk mengumpan pegawai, syukur dalam drama ini pegawai langsung tidak tertarik pada sogokan yang ditawarkan.

Dengan berseloroh juga, dalam drama ini watak pegawai mengkritik bahawa ada individu yang apabila sudah mendapat tender, mereka meng ‘Ali Baba’ kannya. Jika dilihat, realiti ini masih berlaku sehingga hari ini.

Ya, memang bukan semua individu bersikap sedemikian. Tapi kadangkala, yang segelintir individu itulah yang merosakan keadaan.

Kritikan yang terakhir sekali yang diketengahkan Usman Awang dalam drama Tamu di Bukit Kenny ini ialah lambakan majalah-majalah dan foto lucah yang menjadi simpanan anak-anak pegawai. Lantaran peristiwa pegawai menjadi terlalu sehingga rebah diserang sakit jantung.

Saya kira, keadaan serupa masih berlaku, cuma hari ini dunia semakin moden dan membangun, tidak perlu bersusah payah mencari majalah, laman-laman sesawang lucah bersepah di internet.

Justeru tidak hairanlah drama Tamu di Bukit Kenny ini sudah beberapa kali diangkat untuk dipentaskan di khalayak ramai malah pada tahun 2001 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (dahulunya Badan Pencegah Rasuah) pernah mementaskan drama ini di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Dan saya kira, tidak keterlaluan saya katakan bahawa sasterawan, penulis-penulis dan penggiat-penggiat seni juga merupakan sebahagian daripada cerminan masa hadapan. Orang-orang ini juga pintar dan seolah-olah boleh menjangkakan realisme kehidupan di masa hadapan.

Akhir kata, hargailah karya-karya tempatan dengan membaca dan dalaminya sendiri. Kalau bukan kita dan anak-anak kita yang mulakan, siapa lagi?