Selepas memenangi ‘Pelakon Wanita Terbaik’ bagi Anugerah Oscar ke-95 sebentar tadi, Tan Sri Michelle Yeoh mengucapkan bahawa kemenangan itu didedikasikan khas buat ibunya, yang mana beliau anggap setiap ibu-ibu di dunia merupakan superhero di dunia.

“Dia berumur 84 tahun, dan saya membawa (anugerah Oscar) ini pulang kepadanya. Dia sedang menonton sekarang di Malaysia. Saya membawa pulang ini kepada awak,” itu sebahagian ucapan Tan Sri Michelle Yeoh selepas menjadi wanita Asia pertama memenangi trofi Oscar.

Baca Juga:

Sementara di Malaysia pula ahli keluarga Michelle Yeoh telah menghadiri acara Tontonan Eksklusif Oscar 2023 – Kebanggaan Malaysia secara langsung di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur.

Acara eksklusif itu dihadiri lebih 200 tetamu termasuk Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri serta Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang memberi sokongan kepada Yeoh sebagai calon kategori Pelakon Wanita Terbaik pada edisi ke-95 Anugerah Oscar.

Sejurus memenangi anugerah berprestij itu Michelle Yeoh terus membuat panggilan video untuk menunjukkan trofi anugerah berprestij tersebut kepada ibunya, Datin Janet Yeoh.

“Ibu sayangkan awak, tahniah. Malaysia boleh!” para tetamu bersorak selepas Janet, Megan Yeoh dan ahli keluarga lain mengucapkan tahniah kepada Michelle Yeoh yang kini berada di Teater Dolby, Los Angeles.

Janet berkata kepada The Star, beliau sangat berbangga dengan kejayaan Michelle Yeoh.

Sumber Gambar: YAP CHEE HONG/The Star

“Dia memenangi anugerah itu kerana dia seorang yang rajin. Anda boleh lihat dalam cara dia bertarung dalam filem, cara dia beraksi. Dia sangat cantik, berbakat dan bijak juga,” kata Janet.

Antara selebriti tempatan yang hadir bersama Janet menyaksikan detik bersejarah itu termasuk Amber Chia, Nasha Aziz, Sangeeta Krishnasamy dan Henley Hii.

Turut hadir pada majlis itu ialah Datuk Seri Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, yang menyampaikan anugerah “Anugerah Wanita Kasih Unggul” kepada Janet sempena Hari Wanita Antarabangsa.