Sindrom Asperger adalah salah satu profil autisme yang merupakan ketidakupayaan perkembangan sepanjang hayat yang memberi kesan kepada cara hidup dan interaksi dengan individu lain.

Semua individu autistik mungkin berkongsi beberapa kesukaran yang sama dan keadaan ini memberi kesan kepada mereka dalam pelbagai cara kehidupan.

Sindrom Asperger ini, bukanlah suatu penyakit. Namun individu yang mengalami sindrom ini melihat dan mendengar dunia sekelilingnya sedikit berbeza berbanding orang biasa.

Sebahagian individu dengan sindrom Asperger mungkin turut menghadapi isu kesihatan mental dan sebagainya, bermakna golongan ini amat perlukan sokongan dari keluarga dan masyarakat.

Anak-anak sindrom Asperger ini tiada masalah pembelajaran seperti individu autistik lain tapi mungkin berdepan dengan kesukaran pembelajaran yang tertentu. Mereka kurang masalah dengan pertuturan tapi menghadapi masalah untuk fahami dan memproses bahasa.

Namun dengan sokongan, bimbingan dan rawatan yang betul, mereka boleh menangani masalah ini dengan baik. Biasanya ibu bapa akan mula perasan simptom sindrom Asperger pada anak bila anak mula bersekolah dan berinteraksi dengan kanak-kanak lain.

Tanda-tanda Sindrom Asperger

Anak dengan sindrom Asperger mungkin menunjukkan ciri berikut:

1. Menghadapi masalah untuk faham bahasa badan orang lain, sukar untuk mulakan atau teruskan sesuatu perbualan atau menunggu giliran bercakap.

2. Tidak suka mengubah rutin.

3. Kurang perasaan empati.

4. Sukar faham maksud sesuatu dengan nada percakapan seperti jenaka atau bersifat sarkastik.

5. Bercakap gaya formal. Mungkin lebih advance berbanding usianya.

6. Banyak bercakap jika berkenaan topik kegemarannya sahaja. Perbualan biasanya sehala. Apa yang difikir akan diluahkan melalui bercakap.

7. Mengelak eye contact atau merenung orang lain.

8. Mempunyai ekspresi muka atau postur yang lain daripada biasa.

9. Melakukan hanya satu atau beberapa perkara yang diminati sahaja, yang mana mereka berpengetahuan luas tentangnya.

Kebanyakan anak-anak sindrom Asperger menunjukkan minat luar biasa terhadap sebahagian perkara atau aktiviti yang agak jarang dilakukan pada anak berusia kecil seperti mereka bentuk rumah, melukis sesuatu dengan sangat detail atau mengkaji tentang astronomi.

10. Kebanyakannya mungkin menunjukkan minat yang berbeza dalam topik tertentu seperti ular, nama-nama bintang atau dinasour.

11. Perkembangan motor yang lambat. Anak mungkin lambat belajar menggunakan sudu dan garfu, belajar naik basikal atau menangkap bola. Berkemungkinan juga mereka berjalan dengan cara yang sedikit kekok. Tulisan tangannya juga selalunya kurang kemas.

12. Mempunyai sensitiviti yang agak tinggi. Mudah terangsang dengan bunyi yang sangat kuat, cahaya yang terlalu terang atau rasa dan tekstur yang terlalu kuat.

Perlu diambil perhatian, anak autistik termasuk mereka dengan sindrom Asperger, tidak kelihatan seperti golongan kelainan upaya. Ibu bapa mungkin akan anggap anak nakal, atau sukar dimengerti.

Maka di sinilah pentingnya untuk ibu bapa untuk pantau dan perhati perlakuan anak supaya dapat diberi rawatan atau bantuan sewajarnya.

Artikel ini hanya sebagai panduan ringkas sahaja agar timbul kesedaran di kalangan ibu bapa. Untuk lebih lanjut, dianjurkan anda berjumpa dengan pihak berkenaan.