Tanner Brownlee hanya berusia 15 tahun apabila bapanya, Timbalan Sheriff Daerah Weld, Sam Brownlee terbunuh semasa bertugas ketika beliau sedang berada dalam kejar-mengejar menggunakan kereta pada tahun 2010. Dengan sedikit duit yang beliau ada, Tanner bercadang membeli kereta peronda Dodge Charger yang pernah digunakan oleh ayahnya dalam satu acara lelongan polis.

Malangnya, harga bidaan melebihi harga yang beliau mampu bayar dan menganggap peluangnya untuk memiliki memento terakhir ayahnya sudah berakhir. Akan tetapi, apabila acara bidaan itu tamat, seorang lelaki pemilik ladang yang merupakan pemenang bidaan kereta tersebut, berjalan dari belakang menuju ke arah Tanner dan memberinya set kunci kereta berkenaan. “Tanner, this is your car key,” kata lelaki itu.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Kisah ini bermula apabila Tanner dan keluarganya berhasrat memiliki kereta peronda Dodge Charger yang pernah digunakan oleh mendiang ayanhya. Ia merupakan memento terakhir Sam Brownlee yang masih berada dalam simpanan polis. Apabila berita tentang acara lelongan diumumkan, termasuk melelong kereta peronda ayahnya tersebar, Tanner bercita-cita untuk mendapatkannya. Tanner mencipta kempen di laman web pengumpulan dana GoFundMe, dan berjaya mengumpul $3000 dalam masa 48 jam. Beliau juga bercadang untuk menggunakan dana tambahan sebanyak $12,000, iaitu wang hasil peninggalan bapanya.

Lelongan bermula pada harga $2500. Dalam masa beberapa minit sahaja, bidaan melebihi bajet. Tanner berpaling ke arah ibunya dan berkata, “Saya sudah cuba,” dan mereka mula menerima hakikat yang mereka tidak akan memiliki kereta Dodge Charger itu.

“Selepas bidaan melebihi bajet, tiada apa yang dapat saya lakukan,” Tanner berkata. “Saya hanya menerima hakikat dan cuba melupakannya.”

Tanner dan ibunya hanya memerhatikan acara bidaan itu berlangsung. Kereta peronda ayahnya itu sudah mencatatkan penggunaan hampir 240,000 km dengan harga pasaran sebanyak $12,500. Bidaan meningkat daripada harga asal $2500 seterusnya ke $10,000 seterusnya ke $30,000 seterusnya ke $50,000 yang akhirnya terjual pada harga $60,000. Steve Wells yang memenangi bidaan ini menemui Sheriff Daerah Weld Steve Reams untuk mengambil kunci, dan seterusnya menyerahkan kunci tersebut kepada Tanner.

“Tanner, this is your car key,” kata Steve.

“Saya tidak dapat berkata-kata. Saya hanya tertunduk menangis. Saya tidak menyangka Steve akan menyerahkan kunci kepada saya selepas membelanjakan wang sebanyak $60,000,” kata Tanner Brownlee.

Sebelum kejadian itu, Tanner dan Steve tidak mengenali satu sama lain. Mereka berjabat tangan dan berpelukan tanda berterima kasih.

Selepas menjawab soalan para wartawan, Tanner dan keluarganya mengisi beberapa dokumen untuk urusan pemilikan kereta tersebut. Selepas itu, beliau mula memandu keretanya pulang ke rumah.

“Saya selalu teringat saat ayah memandu kereta ini,” kata Tanner semasa memandu. “Apa yang Steve lakukan amat mulia. Ia memang awesome. Saya mungkin tidak akan menempuhi pengalaman sebegini lagi.”

Wang jualan kenderaan berkenaan akan diberikan kepada Concerns of Police Survivors (COPS), iaitu sebuah persatuan sokongan untuk ahli keluarga polis yang kehilangan tempat bergantung disebabkan kemalangan semasa bekerja. Tanner juga menderma wang $3000 yang beliau kumpulkan melalui kempen GoFundMe kepada COPS.

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram