Pulau Pinang sinonim dengan syurga makanan. Selain daripada syurga makanan, apa yang terlintas di minda anda? Pastinya tapak warisan, bukan? Terdapat budaya dan warisan yang masih kita boleh lihat jika berkunjung ke Pulau Pinang.

Untuk pengetahuan anda, tapak Pasar Sia Boey pernah menjadi pusat pelabuhan perdagangan yang terkenal suatu ketika dahulu dan mempunyai kepentingan yang amat bermakna kepada penduduk Pulau Pinang.

Justeru itu, projek pemeliharaan dan rejuvenasi Pasar Sia Boey giat dijalankan sejak tahun lepas. Projek ini diketuai oleh Penang Development Corporation (PDC) bersama George Town World Heritage Incorporated (GTWHI).

Kini, projek tersebut telah memasuki fasa kedua dan pastinya projek pemeliharaan dan rejuvenasi ini akan memberi manfaat kepada masyarakat sekitar. Bukan sahaja dapat mengekalkan sejarah yang ada, tetapi dapat juga menarik pelancong ke sana.

Bagi fasa kedua, ia akan memelihara dua rumah kedai di Jalan Majalah untuk dijadikan ruang untuk kemudahan awam seperti tandas, bilik mandi, bilik tukar pakaian dan banyak lagi serta ruang untuk program arkeologi.

DSC_6682-1
Sumber: Buletin Mutiara

Selepas fasa kedua, fasa ketiga akan mula dijalankan, di mana pemulihan dan penggunaan semula 22 rumah kedai dan menggunakan beberapa bangunan untuk memaparkan artifak-artifak di Galeri Prangin Archaeological sebagai program pendidikan dan penjagaan awam.

Malah, tapak ini akan juga dirancang akan dinaiktaraf sebagai hab pengangkutan, kawasan hijau, serta pusat kesenian dan kebudayaan untuk komuniti tempatan. Pastinya setelah proses pemeliharaan dan rejuvenasi selesai dapat menarik ramai pelancong dan ini merupakan satu usaha yang baik.

Diharap projek ini akan berjalan lancar dan dapat mengekalkan sejarah dan budaya untuk ditunjukkan kepada generasi akan datang. Jika tidak bermula sekarang, pasti tinggalan budaya dan warisan terdahulu akan hilang ditelan zaman.