Ada satu hal gempak yang terjadi di Tasik Raban, Lenggong baru-baru ini. Bayangkan beribu orang dari seluruh Malaysia turun berkumpul di hadapan tasik, sambil dibelakangnya meninggi gunung-gunung dan hijau gelap hutan tebal yang sunyi dan menenangkan. Selain bintang, mereka yang berkumpul layan view dan lari dari keserabutan ini turut ditemani oleh alunan muzik dari pelbagai latar. Bayangan ini sebenarnya adalah sebahagian kenangan yang terjadi pada 22 dan 23 Oktober yang lalu di acara TAPAUfest 2022.

Itu hari The Vocket hadir ke acara TAPAUfest 2022. Ia diadakan jauh dari Kuala Lumpur bagi mengejar kelainan dalam banyaknya acara muzik yang sedang berlangsung. Kelainan ini dapat dilihat daripada latar persembahan dan tempat acara ini berlangsung.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Pertamanya, acara ini berlangsung di Tasik Raban, kawasan yang bukan sahaja kaya dengan flora dan fauna, tapi keharmonian yang dibentuk oleh penduduk-penduduk di sekitarnya. Seolah-olah orang Lenggong mengajar, keindahan bukan hal Yang Paling Semula Jadi sahaja, tetapi tanggungjawab tangan-tangan yang meminjamnya juga. Acara dua hari ini bukan sahaja menawarkan keindahan alam, tetapi juga pengalaman buat mereka yang hobinya berkhemah. Di satu bahagian pula diadakan ruang jualan serbaneka atau Kedai Serba Serbi.

Hal kedua pula adalah berkenaan persembahan. Tapau Fest membawa kelainan dengan mengumpulkan tiga negara di bawah satu langit. Kita ada The Pinholes, SOBS dan Abang Sapau dari Singapura. Hindia, .Feast dan The Dare dari Indonesia. Salam Musik, The Times, Sweetass, The Filters, Kungfu Heidi dan Margasatwa dari Malaysia. Pengunjung dengan ‘kerusi healing’ berkumpul layan jiwa sambil tengok langit biru. Ada hari hujan turun, mereka sarung baju hujan dan menari pada rintis langit berawan gelap. Hari pertama dibuka oleh .Feast dan ditutup oleh Salam Musik. Hari kedua pula dibuka oleh KungfuHeidi dan ditutup oleh Hindia.

Malam terakhir di Tasik Raban, perjalanan pulang terasa penuh diisi dengan pengalaman dan makanan jiwa. Di tengah-tengah tekanan hidup selepas wabak, acara macam TAPAUfest 2022 ini mungkin antara jalan kecil untuk mereka yang mahu lari dari keserabutan kota, tekanan ekonomi atau masalah dalaman. Di antara kubah granit Chepar di timur dan banjaran granit Bintang di barat, mereka duduk berehat dari payahnya hidup sambil melayan alunan muzik dari pelbagai negara.

Sepanjang dua hari bertapak di Lenggong, persembahan oleh pemuzik dari pelbagai negara dan pengalaman meneroka kawasan di sekitar Lenggong sudah pasti adalah sebuah kenangan yang luar biasa. Diharapkan acara ini akan terus dijalankan di kawasan terpencil seperti ini, ia bukan sahaja meningkatkan ekonomi penduduk tempatan, tetapi sekurang-kurangnya memberi pendedahan kepada orang ramai bahawa Malaysia juga mempunyai tempat-tempat yang menarik dan cantik.

Terakhir sekali, special shoutout untuk Agro Flora Garden Homestay sebab sediakan tempat tinggal yang selesa dan dikelilingi kebun jagung dan buah-buahan. Masa mula tempah rumah tumpangan ini, kami tak letakkan sebarang jangkaan. Tetapi bila sampai, tak sangka pula tempat ini indah dan dikelilingi hutan hijau.