Seperti sedia maklum, keadaan ekonomi pada ketika ini membuatkan sejumlah besar individu serta keluarga gagal mendapatkan rumah kediaman sendiri. Harga rumah mampu milik yang dianggap masih mahal bagi sesetengah pihak antara yang membuatkan hasrat mendapatkan rumah terbatal sekaligus memilih untuk terus menyewa.

Isu yang berlaku ini turut mendesak orang ramai memilih untuk mencari altenatif rumah yang lebih murah sekaligus menjadi ‘peluang’ buat syarikat perumahan sama ada yang sah atau sebaliknya memperkenalkan skim rumah dengan harga tidak masuk akal dalam memperdayakan pembeli.

Baca Juga:

Lebih mengejutkan, terdapat syarikat perumahan yang mendakwa sedia tawarkan rumah kepada pembeli yang mahu dapatkan kediaman pada harga serendah RM10 sahaja. Meskipun harga yang ditawarkan jelas tidak masuk akal, difahamkan sudah ramai pembeli yang ‘cuba nasib’ dalam usaha mendapatkan rumah kediaman sendiri.

Kenyataan ini turut disahkan oleh Pengarah MRF Consultant yang mahu dikenali sebagai Dato’ Sri Siti Nur Atiqah menerusi temubual bagi skim Rumahku Syurgaku serta dikongsikan oleh Facebook MRF Consultant M Sdn Bhd Scammer.

Menurut wanita ini, beliau mendapat ilham dan cadangan untuk menawarkan rumah serendah RM10 sewaktu berada di hadapan Kaabah. Beliau juga memaklumkan tidak ralat sekiranya idea beliau diciplak dalam mengelakkan orang ramai terbeban membayar harga rumah serta sewa yang mahal.

Pengarah MRF Consultant ini turut dipersoal oleh wartawan mengenai dana yang diperoleh dalam membangunkan sebuah rumah dan adakah berbaloi menghasilkan rumah serendah RM10? Dalam pada itu, jawapan yang diberikan wanita yang mendakwa memiliki 3,000 buah rumah ini nyata mengejutkan ramai.

“Dalam Al-Quran sudah tertulis di mana pada akhir zaman memang akan terbukti Melayu adalah hamba yang paling kaya. Jadi harta-harta ini semua Allah sudah cipta pada akal fikiran dan kita yang kena cari” – respon Dato’ Sri Siti Nur Atiqah.

Beliau juga turut memaklumkan orang ramai dinasihatkan untuk membuka Al-Quran untuk mempelajari maksud yang terkandung dalam Al-Quran.

Hal ini membuatkan beliau memilih untuk menawarkan rumah serendah RM10 kerana bukan sahaja untuk membantu orang ramai di Dunia malah di Akhirat. Menerima tempahan yang tinggi membuatkan beliau yakin perniagaan yang dilakukan mendapat sokongan ramai.

Kenyataan yang mengelirukan dan mengejutkan ramai ini nyata mendapat respon yang pelbagai di kalangan netizen. Berikut merupakan respon netizen terhadap kenyataan Dato’ Sri Siti Nur Atiqah mengenai penjualan rumah beharga RM10 ini.

Sumber: Facebook MRF Consultant M Sdn Bhd Scammer
Sumber: Facebook MRF Consultant M Sdn Bhd Scammer
Sumber: Facebook MRF Consultant M Sdn Bhd Scammer
Sumber: Facebook MRF Consultant M Sdn Bhd Scammer

Orang ramai juga diingatkan berhati-hati sebelum memilih untuk membayar serendah RM10 agar tidak terjerat dengan mana-mana skim perumahan scam yang berleluasa ketika ini.

Penggunaan artis untuk mempromosikan sesebuah skim tidak menjamin sesebuah syarikat perumahan tersebut bebas daripada isu melibatkan scam.

Berdasarkan perkongsian Facebook Pseudoscience Watch, difahamkan MRF Consultant pada awalnya menawarkan rumah serendah RM10 namun sudah habis terjual sekaligus membuatkan mereka menawarkan rumah serendah RM10,000 di seluruh negeri pada ketika ini.