Mungkin ada di antara anda telah mengetahui tentang kisah seorang gadis Malaysia yang telah mengembara secara solo ke Afghanistan.

Untuk pengetahuan, Vocket pernah berkongsi kisah pengembaraan solo Et pada Mac tahun ini.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca: Travel Solo Ke 6 Negara Termasuk Afghanistan, Gadis Ini Pernah Disangka Pengintip Dan Anggota Isis

Terkini Siti Noridah atau dikenali sebagai Et telah berkongsi pengalaman kembara solo beliau dalam buku bertajuk Travelog Et Kembara Afghanistan.

Vocket berjaya menghubungi Et dan beliau telah sudi berkongsi sebahagian dari kisah dari buku ini untuk tatapan anda.

Jom ikuti teaser dari pengembaraan menarik Et ini.

travelog-et-2

November 2014

Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai di Kabul, Afghanistan.

Taxi?”

Kabul city. How much?” saya bertanya kepada pemandu teksi yang berusia sekitar 40-an dan berserban.

“700 Afghanis” pemandu teksi menjawab sambil menunjukkan 7 jari ke muka saya.

Jauh lebih murah jika dibandingkan dengan yang mula-mula saya tanyakan tadi. Berdasarkan congakan, lebih kurang 10 USD sahaja. Saya beritahu pemandu teksi mahu ke Sal Sal Hotel di Zhargona Maidan, Shar-e Naw. Sal

Sal Hotel adalah hotel yang direkomen oleh Kausar, kawan baik Raji yang saya jumpa di Peshawar sebelum ini.

Pemandu teksi mengangguk sebagai tanda dia tahu tempat itu. Tanpa membuang masa, dia terus mengangkat “backpack” dan menyimpan terus ke dalam bonet kereta.

Di dalam teksi, ada seorang budak lelaki berumur sekitar 12 tahun. Kalau tak salah saya, budak lelaki itu ialah anak pemandu teksi. Mereka kelihatan mesra sambil menyanyi bersama lagu Farsi yang berkumandang kuat di dalam teksi.

Teksi meluncur laju di jalan. Terdapat banyak juga kenderaan dan sesekali teksi terpaksa memperlahankan kelajuan kerana kesesakan lalulintas. Kiri kanan jalan terdapat banyak bangunan yang kelihatan agak usang. Walaupun di tengah bandar, debu terlihat di mana-mana.

Kenderaan pacuan empat roda penuh dengan askar bersenjata yang bertopeng juga adalah pemandangan biasa di Kabul. Walaupun baru beberapa minit saya menjejakkan kaki di Kabul, tapi sudah lebih 5 atau 6 kenderaan penuh dengan kumpulan militari yang beruniform sebegitu.

Jika ada yang tidak bertopeng, muka mereka kelihatan amat serius. Seperti tidak pernah senyum.

Sedikit demi sedikit saya mula dapat merasakan bahang dan aura keras di bumi Afghanistan. Mungkin saya sepatutnya perlu berasa gerun dengan keadaan persekitaran yang dipenuhi dengan pasukan bersenjata, atau pun bila saya lihat banyak kawasan yang dipenuhi dengan dawai berduri tersangkut di setiap pagar batu.

Suatu pemandangan yang memberi signal bahaya amat jelas. Namun anehnya saya berasa lebih teruja. Teruja dengan keadaan yang amat jauh berbeza daripada tempat asal saya.

Teksi berhenti betul-betul di depan hotel bajet Sal Sal Hotel. Tidak susah untuk mencari hotel ini kerana lokasinya yang begitu strategik di tengah bandar baru Kabul atau lebih dikenali sebagai Shar-e-naw.

Kedudukan bandar Kabul yang terletak di kawasan berketinggian 1700 meter dari aras laut dan kebetulan waktu itu sudah hampir masuk musim sejuk, sememangnya berjaya membuat badan saya menggigil bila berada agak lama di luar. Cuaca di Kabul sejuk, kering, berangin dan juga berdebu.

Bersambung di Travelog Et Kembara Afghanistan.

travelog-et-4

Dan berikut adalah komen dari salah seorang rakan beliau iaitu Badrul Hisham yang juga merupakan penulis buku Advantura Pulang Ke Malaya.

Inspiring gile!

Dalam banyak orang yang aku jumpa, inilah antara orang yang legend dan masih hidup. Ni antara satu perbualan.

Siti Noridah Et = ET

Sham: Waktu kat Afghanistan tu, ET sorang ke? habis tu ET travel macam mana?

ET: Memang sorang. Siap kena tangkap askar lagi dituduh spy Pakistan. Pastu hotel pula macam bunker. Siap ada senjata dan part guard. Ada satu hari tu nak travel ke kawasan pedalaman, on the way tu jalan memang banyak Taliban. tapi nak buat macam mana. Tu je cara yang paling murah.

Dalam hati aku, serius epik bai perempuan ini. Aku dengar cerita ini pon tangan dah berpeluh ketakutan.

Sham: Macam mana ayah ET bagi ET travel 6 bulan?

ET: Ayah ET orang tabligh. Hehehe. Ayah pesan jaga 2 benda ni. Jaga solat dan jaga aurat.

Aku dah speechless. Tak sangka ada Perempuan Melayu macam ni. WHAT a LEGEND!

travelog-et-3

Berikut pula adalah sinopsis dari travelog ini;

Buku ini mengisahkan cerita pengembaraan luar biasa Siti Noridah Ab. Rahaman yang telah ke negara bergolak Afghanistan secara solo pada musim luruh 2014 yang lalu. Beliau pernah ditangkap dan disoal siasat oleh askar Afghanistan dan dituduh sebagai agen perisik daripada Pakistan.

Semangat untuk mengembara ke tempat yang jarang dikunjungi membawa beliau ke sana untuk melihat sendiri realiti kehidupan warga Afghanistan yang telah lama terasing daripada dunia luar selepas era peperangan.

Yang biasa kita dengar diberita utama dunia hanyalah tentang bom berani mati, puak Taliban, konflik politik dan peperangan. Tapi ternyata, ada sesuatu yang manis dan indah boleh ditemui di Afghanistan.

Semoga kisah beliau menjadi teladan dan juga inspirasi kepada mereka yang ingin menjejakkan kaki di Afghanistan juga satu hari nanti.

travelog-et-1

Kami pasti jika anda seorang yang meminati kisah pengembaraan, kisah seperti ini adalah sesuatu yang sukar untuk dilepaskan.

Setakat ini Vocket dimaklumkan 1000 pra tempahan telah diterima oleh Et.

Buku yang diterbitkan sendiri oleh Et ini masih dibuka untuk pra tempahan. Anda boleh ke Page Travelog ET Di Facebook untuk info lanjut dan cara membuat tempahan serta mengikuti perkembangan terkini tentang buku ini.

Dikesempatan ini Vocket ingin mengucapkan tahniah kepada Et di atas kejayaan beliau ini. Kami yakin di saat Et keluar mengembara solo satu ketika dahulu, beliau tidak akan pernah menyangka akan melangkah sehingga ke tahap ini apabila kembali ke Malaysia.

Semoga Travelog Et ini dapat membawa satu lagi dimensi inspirasi buat anak-anak muda di negara ini untuk keluar mengembara dan kembali dengan berbagai kisah yang bakal membuat kami rakyat Malaysia berbangga dengan kecekalan dan semangat jitu di jiwa kalian.

Jangan lupa untuk baca kisah ET yang pernah muncul di Vocket sebelum ini: Travel Solo Ke 6 Negara Termasuk Afghanistan, Gadis Ini Pernah Disangka Pengintip Dan Anggota Isis

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram