Jika anda masih ingat, ada sekumpulan anak yatim pernah mementaskan sebuah persembahan teater bertajuk Kota Kelip-Kelip pada tahun lepas di DPAC, Petaling Jaya.

Pementasan tersebut telah menyebabkan mereka tercalon untuk Boh Cameronian Award dalam 3 kategori iaitu;

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

1. Best Technical & Audio Design: Rayza Mukmin & Anas Ridzuan
2. Best Male Actor: Zubair Samin
3. Best Director: Fazleena Hishamuddin

Kali ini teater Kota Kelip-Kelip akan dipentaskan semula di Penang PAC, Tanjung Tokong, Pulau Pinang pada 24 dan 25 Disember 2016 bermula jam 8 malam dengan mensasarkan masyarakat di belah utara pula.

Ia diarahkan oleh pengarah teater dan aktivis teater, Fazleena Hishamuddin dan dibantu oleh 2 orang penolong pengarah iaitu Aliff Yasraff dan Fathie Shafie serta tim produksi teater.

Pementasan ini melibatkan 10 orang kanak-kanak dan remaja dari 3 rumah anak yatim Teach For The Needs (TFTN) dari Klang, Bangi dan Batu Pahat. Mereka berusia antara 11 hingga 17 tahun.

Sinopsis

Keseluruhan naskah ini lebih kepada kekeluargaan yang menyentuh alam kanak-kanak yang meniti ke alam kedewasaan. Ia secara tak langsung beri refleksi kehidupan pada masyarakat.

Kota Kelip-Kelip mengisahkan tentang 2 orang sahabat (Saufy dan Azam) yang pernah tinggal di sebuah Rumah anak yatim yang dikenali sebagai Rumah Seri Muda.

Rumah Seri Muda merupakan sebuah penginapan ajaib di mana anak-anak yang tinggal di dalam rumah tersebut tidak akan menjadi dewasa dan akan kekal menjadi kanak-kanak.

Tiada peraturan tertentu yang dikenakan, mereka bebas bermain siang dan malam; Rumah Seri Muda umpama syurga kepada mereka semua.

Setiap hari mereka akan bermain aktiviti ‘drama’ dan melakonkan watak-watak dari buku-buku yang ada di rumah itu. Apai selaku ketua rumah, akan menentukan cerita apa yang akan mereka lakonkan.

Sebagai seorang ketua, Apai seolah menjadi pelindung dan dihormati serta digeruni oleh anak-anak di rumah itu. Satu hari, salah seorang dari mereka merasakan bahawa drama-drama yang mereka lakonkan itu tidak lagi menghairahkan dan menyeronokkan.

Sebuah skrip drama baru dicipta oleh Apai untuk mereka lakonkan. Namun, tercetus konflik dan perdebatan antara mereka.

Di Sebalik Tabir

Recap bagaimana bakat-bakat muda ini ditemui pada tahun lepas juga menarik untuk diketahui anda. Kami pernah menulisnya di sini.

Latihan intensif pada tahun ini dilakukan selama 2 minggu di Sungai Penchala juga agar mereka selesa dan serasi seperti mana tahun lepas. Walaupun teater ini dibintangi oleh kanak-kanak dan remaja, mereka boleh terima dan buat apa yang diarahkan.

Tambah menarik, dalam satu video temubual, skrip yang ditulis adalah berdasarkan personaliti kanak-kanak dan remaja ini. Jadi, ini membolehkan mereka berlakon dengan jujur dan membuatkan “rasa” itu diterima oleh para penonton.

TFTN Dan Anak-Anak Yatim

Teach For The Needs (TFTN) ialah sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang beri pendidikan secara percuma kepada kanak-kanak anak yatim dan anak miskin. Hasil penjualan tiket teater akan disalurkan ke TFTN bagi menjaga kebajikan anak-anak ini.

Projek teater sebegini beri peluang mencungkil bakat dan minat di kalangan kanak-kanak dan remaja yang sekaligus mengajar mereka erti disiplin dan bina keyakinan menerusinya sambil mengenali peluang dalam bidang lakonan.

Jika anda mahu tahu apakah konflik yang terjadi di antara mereka? Apakah keajaiban Rumah Seri Muda sudah berakhir? Bagaimana agaknya kesudahan nasib anak-anak ini? Saksikan semuanya dalam pementasan Kota Kelip-Kelip.