Sebuah teater ‘Mona Ke Daerah M’ karya Amar Amir akan berlangsung di Auditorium Dewan Budaya dan Pustaka pada 21 Disember hingga 23 Disember 2018 anjuran Akademi Seni Teach for The Needs (TFTN) dengan kerjasama produksi yang dipimpin oleh Fazleena Hishamuddin.

Pendidikan melalui seni teater kepada anak-anak yang kurang bernasib baik (anak-anak yatim) telah dimulakan oleh Teach For The Needs (TFTN) melalui Akademi Seni TFTN (ASET) dengan 3 buah program khas yang telah berlangsung iaitu Festival Teater Anak TFTN (Teach for the needs) pada Ogos 2014, dan diikuti dengan dua pementasan Teater Kota Kelip-Kelip pada 13-14 Jun 2015 di DPAC Damansara Perdana dan 24 & 25 Disember 2016 di Penang Pac, Pulau Pinang.

Pementasan Mona ke Daerah M merupakan kesinambungan program pendidikan anak-anak pinggiran melalui medium teater. Kertas kerja ini akan membincangkan secara lebih lanjut mengenainya.

Untuk pengetahuan anda, teater ini mengisahkan Mona, seorang kanak-kanak perempuan berumur 12 tahun yang ditemani Bobby, anak patung kesayangannya masuk ke Daerah M demi mencari adiknya Hana, yang dibawa lari oleh Mega, seorang watak kartun popular. Mona menempuh pelbagai cabaran di Daerah M sebelum akhirnya bertemu Mega.

Teater ini juga menampilkan Amirul Affendi sebagai penampilan khas dimana beliau akan berganding bahu dengan anak-anak di dalam teater muzikal ini. Tujuan utama penampilan Amirul Affendi di dalam teater ini adalah untuk meningkatkan lagi motivasi anak-anak sekaligus mendekatkan lagi mereka untuk terus berkarya seni.

Tujuan utama pementasan ini adalah untuk memberi pendedahan dan galakan kepada mereka untuk menceburi bidang seni teater dan melihatnya sebagai satu cabang kerjaya yang boleh diterokai. Malah, dapat membina keyakinan diri dan disiplin yang tinggi dalam diri anak-anak.

Harga tiket pementasan teater ini bermula dari RM40 dan anda boleh membeli tiket dengan melayari laman web rasmi pementasan Mona Ke Daerah M.